September 24, 2015

Niat Tidak Baik Menghasilkan Tindakan-Tindakan Tidak Baik


BBB, 09 Zulhijjah 1436 = 23 September 2015 (Rabu)



Niat saudara-saudara Yusuf sebagaimana diputuskan dalam permuafakatan mereka untuk  membuangkan Yusuf ke perigi terasing agar ia ditemui dan dipungut oleh sebarang musafir yang melaluinya, adalah niat yang tidak baik dan songsang. Adalah menjadi prinsip Islam dan juga prinsip alamiah bahawa sesuatu perkara baik dilakukan dengan baik, biasanya bersifat terbuka dan tiada masalah, pelaku dan penerima menerima secara rela dan senang hati. Tetapi jika sesuatu yang hendak dilakukan itu tidak baik dan curang, pelaku atau pelaku-pelakunya merasa tidak selesa dan teragak-agak. Lantaran dari segi psikologinya hakikat dalaman tidak sama dan tidak selari dengan luaran. Maka berlakulah sikap berpura-pura dan tidak natural, kerana pelakunya berusaha menutup hakikat dalaman dengan sikap luaran, bahkan dari `body language` dapat dibaca sikap pura-pura dan tidak real. Demikianlah sikap yang diambil oleh saudara-saudara Yusuf yang boleh disifatkan luar biasa dan pelik tidak selari dengan perlakuan normal dan kebiasaan mereka. Percakapan mereka dengan orang tua mereka bagi meminta izin mendedahkan yang mereka tidak dipercayai sebagaimana di dalam ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Mereka (pun pergi berjumpa dengan bapa mereka) berkata, ``Wahai bapa kami ! Mengapa bapa tidak percaya kepada kami tentang Yusuf. Pada hal sesungguhnya kami sentiasa bertulus ikhlas mengambil berat kepadanya ? (12.11)
``Biarkanlah dia esok, turut serta bersama-sama kami, supaya dia bersukaria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya, dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya` (12.12).
Sebenarnya adik beradik Yusuf sendiri telah mendedahkan hakikat sebenarnya yang mereka tidak boleh dipercayai. Dalam kata yang lain `Mereka Adalah Bendusta`. Kedustaan ini adalah hasil atau natijah dari niat mereka yang tidak betul.
Dari suasana, gaya percakapan dan `body language` adalah di dalam firasat dan difahami oleh Ya`kob. Lantas Baginda melahirkan kebimbangan dan ketidakyakinan. Kekhuatiran itu tentulah hasil dari pengalaman dan sikap mereka terhadap Yusuf, lantas Ya`kub melahirkan pendapatnya dengan menjawab:
``Dia berkata, pemergian kamu membawanya bersama, janganlah mendukacitakan daku, dan aku pula memang bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya.`` (12.13).
Mereka sekali lagi berpura-pura dan sekali lagi berdusta apabila menjawab,
``Berkata mereka itu, ``Kalau dia dimakan oleh serigala, sedang kami ramai jumlahnya. Sesungguhnya kami sudah tentu orang-orang yang rugi.`` (12.14).
Jawapan yang diberi oleh saudara-saudara Yusuf, sesungguhnya tidak menunjukkan komitmen yang tinggi di dalam menjaga keselamatan Yusuf.
Kita dapat memahami situasi yang dialami Ya`kub yang pada hakikat Baginda menyayangi semua terhadap anak-anak, tetapi memikirkan sikap anak-anak berkenaan yang kurang boleh dipercayai dan kalau tidak dibenarkan, makin meningkat tuduhan anak-anak bahawa Baginda lebih menyayangi Yusuf daripada mereka semua. Maka di dalam keadaan bimbang Ya`kub terpaksa membenar dan melepaskan Yusuf pergi bersama mereka. Budaya bersosial, termasuk berkelah adalah mencerminkan status sosial keluarga Ya`kob di tengah masyarakat.
Lanjutan dari rancangan jahat yang diatur oleh adik beradik Yusuf, mendedahkan sifat dusa dan bohong mereka terhadap bapa mereka Ya`kub, iaitu melaksanakan rancangan jahat mereka untuk mengasing dan mencampakkan Yusuf ke dalam perigi sebagaimna ayat Al-Qur`an mendedahkan, bermaksud:
``Setelah mereka pergi dengan membawanya bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dasar perigi (mereka memang melakukan sedemikian) – (12.15).
Dalam sesebuah cerita yang menarik dan berjaya, bahawa di dalam cerita berkenaan berlakunya ketegangan-ketegangan yang khalayak turut merasakan ketegngan berkenaan yang dari segi kesannya menimbulkan rasa marah, keciwa atau kesal dan mengharapkan sesuatu balasan  akan berlaku terhadap pelaku yang dianggap di luar kewajaran atau melampau dan mengharapkan balasan yang setimpal akan diterima mereka.
Peristiwa `kehilangan Yusuf` yang pada hakikatnya adalah merupakan siri pendustaan yang dilakukan oleh adik beradik Yusuf adalah merupakan satu dari ketegangan di dalam cerita, khususnya dialami oleh Ya`kub dengan kehilangan Yusuf.
Pendustaan saudara-saudara Yusuf dengan lakonan pura-pura mereka kepada bapa mereka, seperti maksud ayat Al-Qur`an:
``Dan mereka itu datang kepada bapa mereka pada waktu senja sambil pura-pura menangis.`` (12.16)
Sambil berpura-pura menagis itu,
``Mereka berkata, ``Wahai bapa kami ! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu dan kami telah meninggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu ia dimakan oleh serigala dan sudah tentu bapa tidak akan percaya kepada kata-kata kami ini, sekalipun kami adalah orang-orang benar.`` (12.17). Demikian mereka cuba meyakinkan bapa mereka dengan kepura-puraan dan sikap dusta mereka.
Puncak kedustaan yang dilakukan oleh saudara-saudara Yusuf apabila mereka mendustakan tindakan mereka dengan mengemukkan baju berdarah yang tidak berlaku kerosakan pada baju berkenaan. Al-Qur`an menyatakan, bermaksud:
``Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu), mereka melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa  mereka berkata, ``Tidak ! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jua yang dipohonkan pertolonganNya mengenai apa yang kamu katakan itu.`` (12.18).
Gambaran tentang keluarga Nabi Ya`kub dengan karinah anak-anaknya  - saudara-saudara Yusuf, merupakan episod pertama dari episod-episod yang juga sebagai plot yang membina penceritaan kisah Yusuf ini yang bertemakan `Irihati Dan Dengki Saudara-Saudara Yusuf Terhadap Yusuf.``

Sekian.

No comments:

Post a Comment