September 14, 2015

Keluarga Penting Bagi Pembinaan Masyarakat Ummah Dan Negara


BBB,  29 Zulkaedah 1436 = 13 September 2015 (Sabtu):



`Pandangan Wujud` memaparkan kedudukan sesuatu entiti pada peta kewujudan dan juga hirakinya dalam kedudukan serta bagaimana seharusnya dia berfungsi. Membicarakan tentang kedudukan insan, bahawa insan diberi taraf `Khalifah`  di muka bumi (1. 34). Bagi melengkapkan konsep kekhalifahan ini perlu ada masyarakat, umat dan negara serta keperluan bagi menjalankan fungsi kekhalifahan itu.
Telah dibicarakan bahawa Surah Al-Baqarah dan Aali Imran memberi garis panduan bagi bernegara. Keperluan ini semakin perlu selepas kemenangan Rasulullah s.a.w dan tentera Islam  dalam peperangan Badar pada tahun kedua Hijrah yang makin memperkukuhkan Islam. Jika dari awal Islam semasa di Makkah dan semasa perpindahan ke Madinah tumpuan dan pendidikan lebih bersifat dalaman (rohani) bagi memperkukuhkan benteng aqidah, maka selepas Hijrah, sambil pembinaan dan mewajakan dalaman terus dilakukan, tetapi keperluan lahir dan bersifat nyata diberi keutamaan, iaitu  mewujudkan `Negara Islam` bagi membina ummah (Syed Qutb, Fi Zilal al-Qur`an Jil 1, 1400/1980: 555).
Di dalam pembinaan masyarakat Ummah, maka unit keluarga di dalam masyarakat adalah penting. Ibarat negara sebuah bangunan, maka unit keluarga adalah ibarat batu bata yang tersusun bagi menegakkan bangunan tersebut. Keluarga dimaksudkan seharusnya berkualiti yang tidak merosakkan susun lapis bangunan berkenaan. Bagi unit keluarga Islam yang terdiri dari ibu bapa, anak-anak dan mungkin datuk lelaki dan perempuan seharusnya berusaha menjadikan keluarga sebagai keluarga contoh dan mithali. Secara kasar keluarga mendidik anak-anak dengan nilai akhlak yang mulia, patuh kepada suruhan agama, berpengajian hingga ke peringkat tertinggi, bersumber rezeki yang mencukupi dan berkediaman dan berkenderaan yang selesa dan bergaul dengan jiran tetangga , sesama kakitangan bekerja dan masyarakat secara baik.
Dengan mempunyai unit keluarga yang baik, maka dari unit-unit keluarga yang baik ini dapat membina kelompok dan masyarakat yang baik. Masyarakat yang baik yang masing-masing mempunyai kebolehan dan kemahiran di dalam bidang masing-masing, maka jika ianya menjadi pentadbir, maka ianya menjadi pentadbir yang berpengetahuan dan cekap menjalankan urusan, jika ianya diamanahkan menjaga sesuatu agensi, maka agensi berkenaan menjadi maju dan dibanggakan, jika ianya menjadi peniaga atau pengusaha, maka ianya menjadi peniaga atau pengusaha yang maju yang banyak menyediakan kemudahan kepada masyarakat, jika ianya diberi amanah mengendalikan institusi pendidikan, maka institusi berkenaan maju dan mengeluarkan pelajar cemerlang di dalam berbagai segi,  termasuk melahirkan kepimpinan, maka jika menjadi pemimpin, maka ianya  adalah pemimpin yang mempunyai misi dan visi yang memberi manfaat kepada bangsa, negara dan agama. Demikianlah dengan berbagai aspek yang lain yang setiap satu sokong menyokong mengangkat nilai dan kemajuan yang bersifat tampak yang dikenali dengan tamadun dan kemajuan yang tidak tampak dan bersifat kualiti yang menagngkat nilai ilmu, norma dan budaya yang menjadi identiti negara yang dari semuanya mengisi keperluan bagi sebuah negara menjunjung keislaman, keilmuan, kebudayaan, kesenian dan kemanusiaan.
Demikianlah dari segi susunan bagi panduan dari Al-Qur`an selepas Surah Al-Fatihah yang dapat kita katakan Surah merumuskan `Pandangan Wujud` secara keseluruhan, maka di dalam surak kedua Al-Baqarah ialah surah panduan aqidah, hukum-hukum syara`, muamalat, kejadian alam, manusia dan berkelayakan menjadi khalifah di muka bumi ini, manakala bagi surah Aali Imran menggambarkan keadaan umat Islam yang telah berjaya di dalam peperangan Badar dan pengukuhan sebuah negara yang dikenali dengan Negara Madinah. Rasulullah mengatur pentadbiran dengan mengukuhkan persatuan antara kaum Muhajirin dan Ansar dan memberi perhatian, tetapi waspada kepada golongan Yahudi dan munafiqin. Umat Islam di Madinah disifatkan sebagai umat yang berpegang teguh dengan tali Allah dan sebaik-baik umat dikeluarkan bagi manusia yang menyuruh membuat baik dan mencegah dari perbuatan munkar (3. 103-104 & 110).
Bagi mengukuhkan peraturan bagi unit keluarga, maka di dalam Surah Al-Nisa` yang mengikuti Surah Aali Imran yang sebahagian besar dari ayat-ayatnya turun pada peringkat permulaan Hijrah (Fi Zilal al-Qur`an, Jil.1: 554), maka Al-Qur`an menggariskan panduan bagi `Keluarga Islam`.
Bahawa insan adalah berasal dari keturunan yang satu (Adam) (4.1). Islam mau umatnya menjaga keturunan dan meletakkan perempuan pada tempat yang dihormati. Bagi menjaga keturunan Islam meletakkan garis peraturan yang murni iaitu melalui perkahwinan dan hendaklah menggaulinya dengan baik dalam kehidupan berumah tangga dan jika berlaku perselisihan jangan mengambil tindakan terburu-buru.  Dalam perkahwian suami isteri semestinya bersikap jujur. Suami tidak seharusnya tanpa bukti nyata menuduh isteri curang (4.15). Sebarang perbalahan rumah tangga yang tidak dapat diselesaikan oleh suami isteri, maka mereka boleh melantik orang tengah yang dihormati kedua pihak untuk mencari jalan terbaik bagi mendamaikan kedua pihak yang dapat menyelamatkan rumah tangga dan juga hati dan jiwa anak-anak, jika berlaku perceraian mereka mungkin terabai dan menempuh masa depan yang tidak menentu (4.35).
Melalui perkahwinan melahirkan zuriat-zuriat. Namun antara anak-anak ada yang kehilangan ibu bapa. Islam amat mengambil perhatian terhadap anak-anak yatim. Mereka tidak seharusnya diabaikan oleh masyarakat, sebaliknya memberi perhatian terhadap mereka. Harta-harta yang ditinggalkan oleh ibu bapa anak-anak yatim perlu dijaga dengan baik untuk kepentigan anak-anak yatim berkenaan (4.2). Penyerahan harta kepada anak yatim dilakukan apabila mereka sudah sempurna akal dan layak mengendalikannya sendiri. Sesiapa yang menyelewengkan harta anak yatim atau memakannya tidak menurut batas kebenaran, maka sesungguhnya dia sebagai menelan api neraka (4.10).
Dalam kehidupan berkeluarga juga akan berlaku kematian atau perceraian. Islam juga mengatur pembahagian harta pusaka dengan mengikut bahagian-bahagian yang ditentukan oleh Al-Qur`an dengan pembahagian secara fara`id. Islam menempelak amalan perkahwinan zaman Jahiliyah yang antaranya begitu jijik seperti anak berkahwin dengan ibu, menghimpun adik-beradik sebagai isteri dalam satu masa. Lantaran itu Islam mengatur dan mensenarai mereka yang tidak boleh dikahwini (4.23).
Demikianlah Islam mengatur kehidupan secara berkeluarga dengan begitu indah berdasarkan naluri dan tabi`i manusia. Keizinan kahwin berlaku dengan penuh adab dan menurut aturan syarak. Melalui kehidupan berkeluarga terpupuk kasih sayang dan ibu bapa berusaha mencari nafkah bagi keselisaan hidup keluarga. Mereka berusaha untuk memberi pendidikan yang baik dan dapat memberi khidmat kepada agama, bangsa, negara dan ummah.
Masyarakat yang terdiri dari keluarga yang baik dan terpelajar dan memberi khidmat yang baik berperanan di dalam merealisasikan masyarakat dan ummah yang baik yang sama-sama membangun tamadun dan peradaban ummah di dalam negara Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur.

Sekian.

No comments:

Post a Comment