BBB, 27 Zulkaedah 1436 = 11 September 2015
(Jumaat):
Mulai hari ini Penulis mulai membaca tafsir
Surah al-Nisa` dari Fi Zilal Al-Qur`an bagi memahami kandungannya bersama
dengan beberapa tafsir lain bagi mengukuhkan kefahaman. Memahami Surah al-Nisa`
mencetuskan ingatan Penulis kepada rangka Takmilah berhubung dengan kertas
kerja Penulis berjudul `Sistem Perundangan Dan Pengaruh Adat Dalam Pemerintahan
Kesultanan Melayu: Pendekatan Takmilah` yang telah Penulis bentangkan di
Seminar `Baldah Tayyibah` di Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan (PADAT) pada 5
September 2015 lepas anjuran Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor dengan
kerjasama PADAT.
Membaca Surah Al-Nisa` yang berhubung dengan
pembentukan keluarga muslim , iaitu surah yang datang selepas Surah Al-Baqarah
yang dalam rangka sejarah ialah permulaan mendirikan negara Madinah yang
falsafah, prinsip dan aturan-aturan mulai diturunkan di dalam masyarakat majmuk
umat di Madinah yang terdiri dari kaum muslimin - Muhajirin dan Ansar (Aus dan
Khazraj), kalangan kuffar dan Yahudi, sedangkan Surah Aali `Imran juga
diturunkan di Madinah yang memperkukuhkan lagi aspek-aspek yang tertera di
dalam Surah Al-Baqarah dengan tambahan maklumat berhubung dengan kalangan yang
menganut Agama Nasrani. Dengan Surah Al-Nisa` yang merupakan sebagai cerminan
Undang-Undang Keluarga Islam, ditambah dengan wujudnya Perlembagaan Madinah
(Sahifah Madinah) digubal oleh Rasulullah bagi masyarakat majmuk di Madinah, maka
Penulis melihat ia adalah merupakan sebahagian dari prasarana bagi mengukuhkan
pembinaan negara Madinah. Pembicaraan berhubung dengan pembinaan Negara Madinah
ini dapat dilihat, dibina, diisi dan digalur dari segi pembicaraannya merurut
rangka Takmilah. Rangka Takmilah yang diaplikasi dalam Seminar Baldah Tayyibah
di PADAT, digunakan kembali di sini dengan sedikit perubahan dan penyesuaian.
Rangka Takmilah bagi penggunaan di sini adalah sebagaimana berikut:
Rangka Takmilah (Rujuk).
Dalam rajah tiga segi di atas di dalam kotak
semi empat segi mencerminkan hasrat pembinaan negara menjadi negara yang di
sifatkan sebagai Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur (Saba`: 15). Pembinaan adalah
melalui pembinaan tamadun dan peradaban negara dan ummah. Bagi mencapai Baldah
Tayyibah wa Rabbun Ghafur ialah melalui peningkatan kualiti tamadun dan
peradaban ummah di dalam negara berdaulah. Di dalam negara berkenaan semestinya
wujud ummah Islam dan bukan Islam. Di dalam negara dan ummah ini dapat dilihat
masyarakatnya yang asalnya terdiri dari individu membentuk keluarga, institusi
dan masyarakat yang merangkumi semua di dalamnya.
Di dalam hal ini perkara yang penting di dalam
pembinaan negara dan ummah ialah bagaimana meningkatkan kualiti Negara dan ummah
dari segi tamadun dan peradaban hingga mencapai status sebagai Baldah Tayyibah
wa Rabbun Ghafur. Pendekatan adalah berdasarkan pendekatan Islamik, lantaran
konsep Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur mencerminkan negara dan ummah Islam
yang juga terdapat di dalamnya yang bukan Islam.
Peningkatan adalah melalui peningkatan tamadun
melalui pencapaian minda, iaitu kemajuan tampak seperti kemajuan dari segi
fizikal, ekonomi, perumahan, perhubungan, pertanian, pembuatan (industri) dan
sebagainya yang tidak dapat dicapai melainkan dengan ilmu. Manakala kemajuan
dari segi peradaban, iaitu peningkatan kualiti kemajuan melalui rohani dan
keagamaan dan serta kemanusiaan seperti kemajuan dalam bidang seni dan
kesedaran tinggi dari segi kemanusiaan seperti cintakan ilmu, berkasih sayang,
memberi penghargaan tinggi terhadap kejujuran, menjaga alam, rahmat dan kasihan
belas kepada yang susah, membenci rasuah dan penyelewengan. Peningkatan kualiti
kerohanian dan kemanusiaan yang merupakan aspek peradaban ini tidak dapat dicapai
melainkan dengan keilmuan kerohanian, kemanusiaan dan kealaman.
Di dalam hubungan dalam pembinaan negara yang
bersifat Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur, idealnya setiap individu dibina
menjadi manusia berpengetahuan dari segi ilmu dan rohani yang melayakkannya
menjadi sebagai satu unit keluarga mithali. Daripada individu sepertinya
membentuk keluarga mithali. Institusi yang terbina dalam masyarakat seperti
institusi pelajaran, perusahaan, kebajikan, sukarelawan dan sebagainya
dikendalikan oleh mereka yang berwibawa dan tinggi dari segi ilmu pengetahuan.
Mereka di dalam kehidupan hari-hari dalam masyarakat adalah mengamalkan
nilai-nilai tinggi yang menjadi adab dan budaya masyarakat terpilih dan
terpelajar. Dari kalangan rakyat yang bertamadun dan berperadaban tinggi inilah
melahirkan pemimpin-pemimpin yang berkualiti tinggi yang menjadi pemimpin dan
mengendalikan pemerintahan negara. Pemerintahan melalui konsep syura yang
memandu pemerintahan, misalnya pemerintahan secara berparlimen yang mempunyai
ketua negara – misalnya pemerintahan bersultan, khalifah, presiden dan
sebagainya.
Di dalam konteks negara Baldah Tayyibah wa
Rabbun Ghafur, negara Islam yang mengambil contoh negara Madinah, maka prinsip
dan perundangan negara berasaskan Islam adalah menjadi prinsip pemerintahan
yang tunduk di bawahnya segala peraturan dan nilai-nilai yang lain yang di dalam
rangka Takmilah dilambangkan dengan Sabda Rasulullah yang melambangkan juga
berpegang kepada Sunnah. Manakala panduan dan perlembagaan tertinggi berasaskan
firman, ialah berpandukan kitab Allah. Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur adalah
memberi keadilan dan pembelaan terhadap rakyat tanpa mengira kedudukan, bahkan
tidak membedakan dari segi keturunan dan pegangan keagamaan.
Pembinaan Negara Madinah sebagai model negara
umat Islam dapat didekati dari segi penghuraian dan panduan pembinaan dan
bernegara secara Takmilah. Ini dapat bertolak dari usaha membina ummah –
individu dan masyarakat sejak dari era Makkah yang mendapat begitu banyak
halangan. Era ini lebih merupakan pengukuhan jiwa dan kerohanian dan dalaman.
Bila berpindah ke Madinah, maka jiwa individu dan umat yang telah diasuh oleh
Rasulullah s.a.w. menjadi jiwa dan umat yang berkualiti tinggi, termasuk
kemudian dapat membentuk golongan Ansar yang juga dididik dan diasuh dengan
pendidikan dan niali-nilai Islam yang tinggi. Mereka menjadi masyarakat umat
yang berkualiti. Pengasuhan dan pembinaan jiwa dan diri yang cekal ini terus
dipupuk melalui nilai dan peraturan yang diturunkan bagi membina masyarakat
umat seperti yang terkandung di dalam Surah Al-Baqarah yang terawal turun di
Madinah dan juga nilai dan peraturan
yang diturunkan melalui Surah Aali Imran. Ini tentulah sama menjadi sumber
didikan dan pembinaan masyarakat melalui bimbingan Sunnah dan juga dukungan
dari para sahabat. Turunnya Surah Al-Nisa` bagi menyusun dan membina unit-unit
individu dan keluarga yang bermutu sebagai contoh dan model bagi masyarakat
ummah. Aspek-aspek yang lain akan ditambah dalam pendekatan dan pemahaman dari
sudut Takmilah. Sudah tentulah dalam peluasan pengolahan banyak lagi rangka rajah
akan diketengahkan yang dapat mengukuhkan pendekatan dan memudahkan kefahaman.
Ia tidak lain dari salah satu teknik, mekanisme dan pendekatan dalam tafsiran
dan kefahaman terhadap kandungan Al-Qur`an itu sendiri.
Sekian.
No comments:
Post a Comment