BBB, 25 Zulkaedah 1436 = 09 September 2015
(Rabu):
Surah Aali Imran surah ketiga di dalam susunan Al-Qur`an dan adalah merupakan surah yang panjang (Aali Imran 200 ayat) selepas Surah Al-Baqarah (286 ayat). Ada beberapa persamaan dapat dilihat antara Surah Al-Baqarah dengan Surah Aali Imran, bahawa kedua-duanya diturun di Madinah (Surah Madaniyyah). Kedua-dua surah ini bermula selepas basmalah dengan huruf ringkas – Alif –Lam –Mim yang maksudnya Allah sahaja yang mengetahui. Permulaan dengan ungkapan berdasarkan huruf adalah sesuatu yang baru yang tidak pernah diungkapkan sepertinya sebelaumnya. Ia bukan semata mistri, tetapi bersifat mukjizat Al-Qur`an yang sehingga kini, walaupun ada yang mengandaikan maksud dari ungkapan huruf berkenaan dan yang lain juga yang bermula dengan huruf-huruf ringkas tidak dapat mempastikan apakah yang dimaksudkan sebenarnya dengan huruf ringkas berkenaan.
Berlainan dengan kebanyakan surah-surah yang
turun di Makkah yang kebanyakannya bersifat pendek-pendek dan ayat-ayat
kebanyakannya mempunyai rentak dan rima akhir yang sama dan indah, berlaku perulangan
rima dan irama contoh Surah Wa al-Duha dan kebanyakan surah-surah dalam juz` 29
– 30, tetapi bagi surah Aali Imran dan Surah Al-Baqarah membawa gaya dan
susunan bahasa yang berlainan dari surah-surah pendek yang diturunkan di
Makkah. Bahasa bagi Surah Aali Imran (juga Al-Baqarah) ialah bahasa yang
bersifat prosa yang tidak bersifat puisi. Ianya bersifat pernayataan maklumat
yang tidak sengaja dihiasai elemen-elemen seni yang cenderung kepada puisi,
berirama, berentak dan bersanjak.
Dilihat kepada gaya dan stail ayatnya juga
selain penyampaian maklumat dan kandungan secara langsung, bahawa ayat-ayatnya
adalah panjang-panjang berbanding dengan surah-surah dalam juz` 29 -30 yang
disebutkan. Ayat panjang-panjang dan langsung adalah sesuai sebagai penyampaian
maklumat secara nyata dan jelas yang ditujukan kepada rasul, umat dan
masyarakat awam.
Pada awal Surah Aali Imran Allah menyatakan atau mewahyukan kepada Nabi
Muhammad Al-Qur`an Kitab Suci yang mengandungi kebenaran dan mengesahkan
kandungan kitab-kitab yang telah diturunkan dahulu sebelum diselewengkan.
Dialah yang menurunkan Kitab Taurat dan Injil sebelumnya yang diikuti (Al-Qur`an)
memberi pertunjuk kepada manusia.
Sebagaimana Surah Al-Baqarah, begitulah Surah
Aali Imran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. berfokus kepada
masyarakat, iaitu masyarakat di Madinah, sebagaimana juga Surah Al-Baqarah
sebelumnya. Nama bagi Surah Al—Baqarah adalah diambil dari satu maklumat dalam
Al-Qur`an, bahawa kaum Bani Israil diperintah menyembelih lembu, bagi menjawab mistri
persoalan pembunuhan, setelah mereka banyak mengemukakan pertanyaan sebelum
dapat melakukan perintah berkenaan. Walaupun tajuk bagi surah ialah Surah
Al-Baqarah, tidak bererti seluruh kandungan di dalam surah berkenaan cerita
berkenaan dengan `Al-Baqarah`. Begitu juga judul bagi surah ketiga selepas
surah Al-Baqarah (kedua), iaitu mengenai keluarga Aali Imran, tidak bererti
kesemua kandungan di dalam Surah Aali Imran mengenai keluarga Aali Imran.
Kedua-dua surah misalnya mengandungi aspek akidah, kenyataan tentang nabi-nabi
dan sebagainya, tetapi pada dasarnya kedua-duanya membawa persoalan yang
berlainan.
Bagi mentafsirkan Surah Al-Baqarah Syed Qutb
memecahkan surah berkenaan kepada 21 bahagian yang ditafsirkan satu bahagian
kepada satu bahagian. Adapun bagi Surah Aali Imran dipecahkan kepada 7 bahagian
sahaja sebagaimana berikut dengan kandungan utama diberi sebagai judul
pengenalan bagi setiap bahagian.
Bil. Ayat Judul
1. 1 –
32 Islam
mengiktiraf kitab Suci sebelumnya Taurat-Zabur dan lain-lain
2. 33 – 64 Pemilihan Adam, Nuh, Aali
Ibrahim dan Aali Imran – Isa bin Maryam
3. 65 – 92 Ibrahim bukan Yahudi dan
Nasrani, tapi membawa agama Hanif (Islam)
4. 93 – 120 Persaudaraan Islam berpegang
pada tali Allah
5. 121 – 179 Kemenangan Peperangan Badar dan
pengajaran dari Peperangan Uhud
6. 180 - 189 Jangan bersifat bakhil. Setiap
yang hidup mengalami kematian
7. 190 - 200 Iktibar dari kejadian malam dan
siang. Mohon keampunan Tuhan
Ternyata setiap pecahan yang dibuat oleh Syed
Qutb bagi juz` tiga (Aali Imran) ini agak panjang, panjangnya iaitu antara 20
hingga 30 ayat kecuali bagi pecahan 6 dan 7, iaitu sembilan dan sepuluh ayat.
Kebaikan dari perangkuman kepada jumlah ayat yang
banyak ini pentafsir dapat melihat persoalan keseluruhan untuk ditafsirkan
secara meluas dalam perspektif yang lebih luas sebelum turunm membicarakan
kepada aspek-aspek yang lebih detail di dalam ayat-ayat.
Sebagai contoh bagi pecahan pertama yang
bermula dari ayat 1 kepada 32 dapat
dilihat dari perspektif meluas dan menyeluruh tentang akidah pegangan umat
Islam dan menanggapi kekuasaan Allah . Bagaimanakah seharusnya seorang yang
beriman menyedari kedudukannya dalam alam dalam hubungannya dengan Pencipta
yang seharus membentuk sudut pandangan selaku seorang beriman dan hubungannya
dengan makhluk ciptaan Allah.
Manakala bagi bahagian kedua ayat 33 – 64, jika di dalam Surah Al-Baqarah, kita
berdepan dengan maklumat Nabi Musa dalam hubungannya dengan Bani Israil dan
tindak tanduk mereka dalam hubungan dakwah Nabi Musa dan agama Yahudi, maka di
dalam Surah Aali Imran ini kita berdepan dengan maklumat tentang Isa `a.s. dan
ibunya Maryam. Melalui surah ini kita dapat memahami bukan saja tentang Isa dan
Maryam, tetapi tentang kelahiran agama Kristian dan aspek-aspek akidah yang
menjadi pegangan mereka. Jadi melalui dua surah, iaitu Al-Baqarah dan Aali
Imran kita dapat memahami agama Yahudi dan pendukung-pendukungnya yang lebih
disifatkan tidak setia dan konsep agama Kristian itu sendiri yang langsung
dijelaskan oleh Al-Qur`an
Demikianlah tafsiran dibuat oleh Syed Qutb secara
panjang lebih bagi setiap pecahan yang dibuat.
Walau bagaimana di samping kebaikan merangkumi
sejumlah ayat yang agak banyak, ada juga permasalahan. Umpamanya pembaca tidak
dapat meneliti persoalan ayat demi ayat sebagaimana tafsiran yang dibuat secara
ayat demi ayat. Tafsiran ayat demi ayat dapat memberi kemudahan para pembaca
merujuk langsung aspek-aspek yang terkandung di dalam sesuatu ayat.
Pada dasarnya gaya bahasa Syed Qutb sebagai
seorang penulis dan sasterawan adalah tinggi, ditambah dengan keluasan idea,
imaginasi dan kreativitinya di dalam berbahasa. Tafsirnya lebih bersifat
`Tafsir Idea` yang sudah tentulah berpaksikan
kepada teks Al-Qur`an di samping turut digunakan Al-Hadith, sebab itu perlu
kepada kesungguhan dan ketelitian pembaca bagi mengikuti penjelajahan idea dan
pengolahan dalam pentafsirannya.
Sekian.
Terima kasih di atas pencerahan. Sekadar pembetulan: keluarga Aaali Imran (seolah olah Aali adalah nama orang tetapi ia senbenarnya bermaksud keluarga) sepatutnya keluarga Imran sahaja. Begitulah juga : malam lailatul qadar. Saya yakin tuan tahu perkara ini. Cuma itulah kebiasaan kita....
ReplyDelete