BBB, 06
Zulhijjah 1436 = 20 September 2015
(Ahad):
Hud adalah surah ke 11, selepas Surah Yunus. Sebagaimana Surah Yunus mengambil tema tokoh Rasul – Yunus, maka demikianlah juga dengan Surah Hud. Surah Hud adalah diturunkan di Makkah, mengandungi 123 ayat. Sebagaimana Surah Hud menggunakan pendekatan sastera – cerita, demikianlah dengan Surah Hud. Sebagaimana Surah Yunus, walaupun judul sebagai Surah Yunus, maka kandungannya tidak semuanya menceritakan tentang Nabi Yunus, maka demikianlah dengan Surah Hud, juga sebahagian kecil saja menceritakan tentang Nabi Hud. Namun lebih banyak maklumat tentang Nabi Hud berbanding dengan Nabi Yunus di dalam surah sebelumnya.
Di dalam Surah Hud selepas pendahuluan tentang
hikmat-hikmat terkandung dalam Al-Qur`an (11.1) dan dakwah agar menyembah Allah
dan memohon keampunanNya (11. 2-3) serta menegaskan bahawa langit dan bumi
serta `arasynya dicipta dalam enam hari (11.7) dan insan seharusnya bersyukur
dengan nikmat Allah dan tidak kufur (11.9-10) serta menyebut tentang
keistimewaan Al-Qur`an dan mencabar sesiapa yang dapat menggubah seumpamanya
(11.12-13) dan seharusnya insan beriman dan beramal salih yang melayakkannya ke
syurga (11.23-24), maka barulah masuk kepada tajuk cerita yang berhubung dengan
kerasulan, tetapi cerita berhubung dengan Nabi Allah Nuh lebih didahulukan dari
pada cerita Nabi Yunus (11.25-49).
Cerita tentang Nabi Allah Hud bermula dari
ayat (11.50-60). Kemudian diikuti dengan cerita nabi-nabi yang lain seperti
Nabi Salih (11.61-68), dituruti cerita Nabi Ibrahim, Lut, Ishaq, Ya`kub
(11.69-83), kemudian disebut tentang Nabi Shu`ayb (11.84-85), kemudian dirujuk
kembali bersama Nabi Shu`ayb (11.87-95), kaum Nuh, Hud, Salih dan kaum Lut.
Berikutnya ialah tentang Nabi Musa (11.96-111).
Kemudian diikuti dengan penutup yang menuntut
perhatian Nabi Muhammad s.a.w. tentang kisah-kisah yang dibentang sebagai
teladan dan sempadan (11.112-123) sebagaimana kata ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-Rasul
itu, Kami ceritakan kepadamu ( wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu
dengannya dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran
serta peringatan bagi orang-orang beriman`` (11.120).
Gaya memberi judul yang dipetik dari
sebahagian dari maklumat dari sesuatu surah, bukan saja bagi Surah Hud, tetapi
juga bagi surah-surah yang lain seperti Al-Baqarah, Yunus dan lain-lain lagi.
Dari segi kisahnya Hud adalah berada di tengah
kaumnya , iaitu `Aad bertempat di kawasan
tanah kontang antara Yaman dan `Umman. Merentasi zaman wilayah berkenaan
dimajukan. Saliran dibina, lantaran itu tanaman subur dan ternakan berkembang biak
dan kediaman dibangunkan hingga wilayah mencapai kemakmuran dan kemajuan,
rakyat hidup senang. Namun mereka tidak terarah kepada kebenaran tentang
hakikat kewujudan dan kejadian. Bagi menumpahkan penghormatan sebagai
kesyukuran nikmat hidup yang dialami, mereka membina berhala-berhala bagi
disembahkan. Namun dalam kehidupan kemasyarakatan tumbuh sifat angkuh dan tamak
akibatnya yang kuat memperhambakan yang lemah dan berlaku penindasan. Bagi
memperbaiki keadaan yang pincang Allah membangkitkan dari kalangan mereka
Rasul, iaitu Nabi Hud yng menyeru mereka kepada menyembah Allah, melakukan kebaikan
dalam masyarakat dan Nabi Hud membawa contoh akhlak yang baik. Dia menghujahkan
kepada kaumnya betapa tidak memberi faedah menyembah berhala dan menyeru mereka
menyembah Tuhan Yang Esa. Allahlah Tuhan Yang Esa yang memberi kemakmuran,
bahkan menghidup dan mematikan. Tetapi dakwah Nabi Hud mendapat tentangan,
lantaran beliau dianggap menghina pegangan yang diwarisi dari nenek moyang yang
mereka anggap mereka dapat mendekati dengan Tuhan. Mereka menganggap Nabi Hud
tidak lebih dari mereka yang dia makan seperti mereka makan dan bekerja seperti
mereka kerja, bahkan dianggap lebih rendah kedudukan dari sebahagian dari
mereka. Jadi bagaimana mereka mau mengikut apa yang didakwah oleh Nabi Hud.,
Nabi Hud mengingatkan mereka bahawa kehidupan bukan setakat apa yang dialami,
tetapi ada kehidupan masa hadapan yang lebih kekal. Sebab itu tiap seorang
mesti bersiap sedia dengan amalan kebajikan dan patuh pada Tuhan dengan
amalan-amalan yang disuruh dan menjauhi dari segala larangan. Berkata Hud
kepada kaumnya. Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Wahai kaumku, mintalah ampun kepada Tuhan
kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya supaya Ia menghantarkan kepada kamu
hujan yang lebat serta menambahkan kamu kekuatan, di samping kekuatan kamu yang
sedia ada. Dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan
dosa (11. 52).
Sebaliknya kaumnya tidak mendengar apa yang
diseru oleh Nabi Hud, bahkan mereka menghujah balik, bermaksud:
``Mereka berkata, ``Wahai Hud, ! Engkau tidak
membawakan kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu dan
kami tidak akan meninggalkan penyembahan Tuhan-Tuhan kami dengan sebab
kata-katamu itu. Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu (11.53)..
Saudara bagi Hud, iaitu Salih turut dihantar
bagi membetulkan pegangan kaum `Aad, tetapi kekerasan mereka tidak dapat
dilembut dan diperbaiki. Sebaliknya mereka semakin angkuh dan sombong.
Kesombongan dan keangkuhan mereka dibalas
dengan datang ribut kencang, membawa awan hitam dan pasir dan debu
berterbangan. Pada mulanya mereka menyangka hujan rahmat, tetapi apabila
ternyata ribut taufan yang memusnahkan wilayah asalnya kepada kawasan rosak
binasa dan menghilngkan tempat penghunian.
Adapun Nabi Nuh berada dan berlindung pada tempat
asalnya yang turut sama berlindung pada tempatnya sahabat-sahabatnya dan mereka
yang beriman dengannya - kawasan yang selamat dari angin taufan. Mereka di situ
aman dan tenang sehinggalah terhentinya ribut taufan selama 7 malam lapan hari.
Apabila keadaan kembali tenang dengan kawasan berlaku kerosakan, Nabi Hud dan
pengikut-pengikut berpindah ke Hadramaut. Di situ dia menghabiskan baki dari
umurnya beribadat kepada Allah hingga menemui ajal, kembali ke rahmatullah.
(Muhammad Ahmad Jad al-Maula wa Ashabuhu,
Al-Maktabat al-Tijariyyah al-Kubra, Misr,1389/1969:23-27).
Dapatlah difahami bahawa cerita-cerita yang
diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. bukan sekadar penyampaian cerita
semata-mata, tetapi dengan cerita dapat memaklumkan kepada Rasulullah s.a.w. bahawa
sekatan, kesusahan dan cabaran yang dialaminya di dalam menyampaikan dakwah di
Makkah, bukan saja dialami oleh Rasulullah s.a.w., tetapi oleh Rasul-Rasul
sebelum Baginda. Ini memberi kekuatan dan keyakinan Baginda dalam menyampaikan
dakwah. Cerita-cerita yang disampaikan di dalam dakwah menghairankan mereka
yang didakwah lantaran kecanggihan maklumat dan cerita yang disampaikan yang
selama ini tidak diketahui. Dengan ini lebih menarik minat mereka untuk
menerima dakwah yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Seterusnya dengan
cerita ini lebih memberi kefahaman kepada orang Islam tentang aqidah pegangan
rukun iman yang salah satu daripadanya mempercayai Rasul-Rasul.
Sekian.
No comments:
Post a Comment