BBB, 15 Zulkaedah 1436 = 30 Ogos 2015 (Ahad):
Satu kekukuhan dari segi pegangan, bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad bukanlah agama baharu, tetapi adalah agama yang telah didukung oleh rasul-rasul dan nabi-nabi sebelumnya. Pengikutnya dikategorikan sebagai `Ahlu al-Kitab`. Sepatutnya Bani Isra`il tidak bersifat - melihat nabi-nabi seperti Musa, Ishaq, Ya`kub hinggalah kepada Yusuf sebagai Nabi-Nabi Bani Isra`il semata-mata, lantaran mereka adalah penegak agama Islam (2: 132). Mereka adalah nabi-nabi bagi umat Islam, bahkan mereka melanjutkan agama yang didukung oleh Nabi Ibrahim a.s. Bukankah Nabi Ibrahim yang disebut oleh Al-Qur`an sebagai `Imam` adalah Nabi yang terkehadapan dari yang lain. Pada Ibrahim menemukan tradisi purba umat dari zaman tamadun Babiliyon dengan tradisi purba Mesir (Isteri Ibrahim, Hajar berasal dari Mesir). Darinya melanjutkan turunan baik-baik kepada Ishak dari isterinya Sarah membawa kepada Ya`kob yang dimegahkan oleh turunan Bani Isra`il. Bukankah melalui Ismail yang berkahwin dengan perempuan dari Bani Jurhum yang melahirkan turunan Ismail membawa kepada Adnan sebagai turunan yang dimegahkan oleh orang Arab ?
Islam yang diteruskan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
membawa pertalian dan tradisi yang kukuh dari segi akidah. Pertalian ini
dikukuhkan lagi dari segi sejarah bahawa Nabi Allah Ibrahim Pengasas Ka`bah
mempunyai visi yang jauh pandangan dengan meletakkan turunannya Ismail melalui
Hajar menghuni Makkah dengan penemuan matair Zamzam. Sumber air ini telah
menarik suku Jurhum Arab menghuni Makkah dan menjadi tempat persinggahan
peniaga-peniaga dari Sham, Mesir dan Yaman. Maka Makkah mengorak maju. Ibrahim
dengan visinya yang luas membina bersama anaknya Ismail Ka`bah sebagai pusat
ibadat (2: 125). Dengan visinya yang luas dan sebagai Pemimpin (Imam), pengasas
bagi kemakmuran Makkah Ibrahim menyediakan infra-struktur pembangunan dan
melihat sambil berdoa, bahawa semoga Makkah menjadi negara aman yang mempunyai
rezeki yang melempah ruah. Doa Nabi Allah Ibrahim yang menjadi kenyataan
sesungguhnya menjadi kekuatan tradisi bagi turunan Arab, khususnya Nabi
Muhammad yang didoakan oleh Nabi Allah Ibrahim bagi kelahirannya sebagai Rasul
(2: 126-129). Kekuatan dari segi tradisi dan pengukuhan yang diberi oleh
Al-Qur`an adalah aset dan kekukuhan bagi Nabi Muhammad berdepan dengan
seterunya dari kaum Quraisy yang menyeleweng dan tidak tahu menilai tentang
kekukuhan tradisi dan budaya yang mereka miliki, bahkan lebih dari menentang
kelahiran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., juga berdepan dengan
kemegahan Bani Isra`il dengan kelebihan dan turunan yang ada pada mereka dari
nabi-nabi dan Rasul, meskipun sesungguhnya mereka juga sebagaimana kafir
Quraisy tidak menyedari aset dan kelebihan yang ada pada mereka, sebaliknya
bersikap menentang terhadap apa yang dibawa oleh Rasul-Rasul dari kalangan
mereka seperti sebagaimana mereka lakukan terhadap Nabi Musa dan Isa dan
nabi-nabi yang lain.
Mengenai apa yang digalurkan oleh Al-Qur`an
(2. 122-141), Abdullah Yusuf Ali merumuskan pandangannya:
K.48 (2. 122 -141) adalah sebagaimana berikut:
Kalaulah golongan Ahlil-kitab itu berpegang
Kepada Nabi Allah Ibrahim. Hendaklah mereka
meneliti
Sejarah hidupnya, zuriatnya termasuklah
Kedua-dua Isra`il dan Isma`il. Nabi Ibrahim
Adalah seorang salih. Nabi lantikan Tuhan.
Seorang Muslim, demikian pula anak cucunya
Nabi Ibrahim dan Isma`il membinakan
Ka`bah sebagai Rumah Allah.
Dan mensucikannya’ untuk menjadi pusat
Ibadat bagi seluruh dunia
Kerana Allah adalah Tuhan bagi semua bangsa
manusia.
(Al-Qur`nu`l-Karim Terjemahan Dan Huraian
Maksud, Jil 1: 61).
Fakta-fakta yang dibawa oleh Al-Qur`an
al-Karim adalah fakta-fakta sejarah secara padat dan ringkas mengenai sejarah
wujud manusia sejak Nabi Allah Adam a.s., bahkan sebagai tapak bagi kewujudan
manusia ini juga banyak disentuh Al-Qur`an dari kejadian langit dan bumi,
cakerawala, planet dan bintang-bintang sebagai kawasan pergerakan manusia dalam
kewujudan fizikal mereka. Apa yang diperkatakan adalah fakta-fakta yang merupakan
cabaran bagi manusia mengolah dan menghuraikannya.
Apa yang kita nampak selama ini pihak yang
melihat Al-Qur`an adalah dengan mata `Agama` yang sempit. Perbalahan yang
mengekang kelahiran agama `Islam` terus menjadi tema utama di dalam perbahasan
dan berterusan. Al-Qur`an adalah kitab bagi `Keseluruhan` Sepatutnya pertikaian
tentang `Kebenaran` sudah berlalu,
kerana terbukti tentang kebenaran. Dokumen berharga dan segala pernyataan di
dalamnya diterima dan bukan setakat diamalkan secara agama sahaja, tetapi
hendaklah dikaji. Sebagai contoh dilihat dari sudut sejarah, amat banyak
fakta-fakta yang dikemukakan oleh Al-Qur`an, tetapi kebenaran yang diterima
bersifat permukaan dan selapis. Amat banyak fakta-fakta yang bersifat sejarah
ini perlu dikaji dan dihurai.
Sebagai kitab bagi keseluruhan bidang, maka
selain dari dapat dikaji dari aspek sejarah, sudah tentulah terbuka untuk
dikaji bidang-bidang keilmuan yang lain seperti sains kejadian langit dan bumi,
astronomi, bidang klimet dan cuaca, kehidupn dan kepupusan, aspek tenaga,
lautan dan khazanah, permakanan dan kesihatan dan berbagai-bagai bidang lagi yang
semuanya dapat memperkukuhkan kebenaran Islam dan memperkukuhkan dari segi
akidah pegangan. Semua kajian dan dapatan tidak lain dari memberi manfaat
kepada keilmuan dan kemajuan manusia itu sendiri.
Kita semua mempunyai satu tradisi mantap yang
kita warisi. Iaitu `Tradisi Kebenaran` yang menyatukan yang harus kita pegang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment