August 12, 2015

Pendekatan Tafsir `Ibru Al-Athir Oleh Ahmad Sanhaji


BBB, 25 Syawal 1436 = 10 Ogos 2015 (Selasa):
Sebagai sebuah tafsir yang dihasilkan dari himpunan ceramah-ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Sanhaji bin Muhammad kepada masyarakat melalui radio Singapura – Singapore Broadcastng Cooperation (SBC) selama 25 tahun tahun (Februari 1959 – April 1984) ia adalah hasil yang menarik. Ustaz Ahmad Sanhaji pada masa tersebut begitu popular di kalangan pendengar bukan saja di Singapura, tetapi meluas di Malaysia (Malaya atau Semenanjung Tanah Melayu), Indonesia, Brunei dan di mana jua yang mengikutinya, khususnya di kalangan umat Islam di Asia Tenggara.
Dari segi pendekatan, sebagai sebuah tafsir yang dihasilkan melalui `Ceramah Tafsir` dicorong radio – pada peringkat permulaan masa itu belum ada telivesyen, kita menjangkakan bahawa tafsir berkenaan mempunyai kelainan dari perndekatan tafsir-tafsir biasa, misalnya dengan adanya ungkapan `Tuan-tuan dan puan-puan pendengar yang dihormati sekalian`, atau `Para pendengar yang dikasihi sekalian` atau `Pendengar pencinta tafsir sekalian` dan sebagainya. Sebenarnya tidak ada ungkapan-ungkapan sedemikian. Bahkan tiada salam, pujian kepada Allah dan salawat kepada Rasulullah bagi permulaan percakapan. Bahkan kita tidak ketahui bahagian-bahagian yang disampaikan 15 minit bagi setiap penyampaian di radio sekali seminggu itu. Untuk mengatakan bahawa pentafsir di dalam menyampaikan tafsir memberi makna terlebih dahulu bagi kata-kata, contohnya sebagaimana dilakukan terhadap kandungan kata-kata di dalam Surah Al-Fatihah, tetapi ini dilakukan bagi ayat-ayat bagi Surah Al-Fatihah sahaja sebagai pembukaan dan tafsiran permulaan. Penulis berpendapat untuk tujun penerbitan, bahawa ungkapan dari gaya penyampaian ceramah atau secara lisan sebenarnya telah diubahsuai, menjadikannya sebagai pendekatan karangan sebagaimana pendekatan bagi tafsir-tafsir biasa.


Sebagaimana di dalam kebanyakan tafsir biasa, maka demikian di dalam Tafsir `Ibru Al-Athir – Contoh bermula dari awal Surah Al-Baqarah, pentafsir memetik 7 ayat dari awal surah tersebut diletak pada bahagian kanan  dan diberi terjemahan pada bahagian kiri bertulisan jawi ayat demi ayat sehingga ke akhir petikan bagi ayat ke tujuh. Kemudian pada bahagian bawah dari ayat Al-Qur`an dan terjemahan ialah tafsiran yang seimbang dari penggunaan ruang dengan tafsiran yang sederhana dari segi panjang, iaitu lebih sedikit dari dua halaman.
Bagi Surah Al-Baqarah, pada bahagian huraian pentafsir memaklumkan bahawa kesemua  286 ayat di dalam Surah Al-Baqarah adalah diturunkan di Madinah, kecuali satu ayat sahaja (ayat bil. 21), diturunkan di Makkah. Pentafsir memberitahu ada yang berpendapat ayat yang bermaksud:
``Takutlah kamu  kepada hari yang kemudian, yang akan dikembalikan kamu kepadaNya, mengadap ke hadrat Allah, kemudian disempurnakan balasan amalan seseorang, sedang mereka itu tiada teraniaya.``
Menurut setengah pendapat ulama, terang pentafsir bahawa ia adalah merupakan ayat terakhir diturunkan kepada Rasulullah. Tetapi lebih ramai berpendapat mengatakan ``Hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu ... (Al-Ma`idah: 3) adalah ayat terakhir.
Seterusnya pengambilan sejumlah ayat lagi yang tidak tetap jumlahnya. Bagi pengambilan kedua adalah 13 ayat (ayat 8 -20) dengan diberi terjemah dan diikuti dengan huraian yang lebih panjang, sesuai dengan kepanjangan ayat yang diambil, manakala ambilan ketiga berubah pula kaedah dengan mengambil satu-satu ayat (21) dan ayat (22) dan seterusnya satu-satu ayat kepada ayat (66) yang nampaknya formatnya berubah-rubah kepada jilid-jilid yang lain tidak tetap dan berubah.
Sesuatu jumlah ayat dihimpun bagi satu tafsiran mungkin kerana bersamaan atau berhampiran dari segi persoalan dan tema dan mungkin pula bagi ayat-ayat yang pendik cukup dengan tafsiran bagi satu siaran dalam radio.
Cuma yang agak baik bahawa pentafsir memberi judul-judul sesuai bagi satu atau jumlah ayat dengan tajuk yang sesuai dengan kandungan. Judul-judul yang diberi ialah untuk satu juz`, dan jika ada surah atau surah-surah di dalam satu juz` disebutkan surah dalam susunan judul yang diberi. Contoh bagi juz` 5 `Wal-Muhsanat~ terdapat 140 judul yang diberi terhadap kandungan di dalam juz` tersebut, sebagai contoh antaranya:
*Ayat-ayat Al-Qur`an juz` 5,  (hlm. 1)
*Diharamkan mengahwini isteri orang kecuali hamba sahaya tawanan perang (20)
*Istibra` bagi tuan yang hendak menjadikan tawanan perang itu gundiknya  (22)
*Sebab ayat 24 diturunkan (24)
* Perkahwinan merupakan kawalan yang mendatangkan kesejahteraan (26)
Dan seterusnya kepada jumlah 140 judul yang diberi terhadap kandungan ayat-ayat Al-Qur`an seterusnya.


Walaupun pentafsir melakukan tindakan yang baik dengan memberi judul bagi persoalan atau tema yang terkandung di dalam ayat-ayat di dalam sesebuah juz` dan surah, tetapi jika kita balik halaman-halaman bagi mencari judul yang diberi, maka kita tidak dapat menemui tajuk yang diberi pada bahagian permulaan, mungkin tidak disertakan untuk mengelak dari kekerapan memberi judul di dalam satu-satu halaman. Pemberian judul ini hanya bagi cetakan Kuala Lumpur (1989), tetapi tidak bagi cetakan awal Singapura (1962). Walau bagaimana dengan memberi halaman bagi persoalan atau tema, kita boleh mendapat maklumat berhubung dengan tajuk dari kandungan makna ayat dan tafsir yang diberi. Pokoknya dari kebaikan dengan memberi judul persoalan atau tema, tetapi ada kelemahan dalam mana judul persoalan atau tema tidak diberi di halaman berkenaan dengan membiarkan pembaca membaca dan memahami kandungan dan tafsiran bagi sesuatu ayat berkenaan.
Dari segi kebaikannya, bahawa pentafsir membuat pengenalan bagi setiap surah sebelum menafsirkannya, misalnya kedudukan surah dalam bilangan surah seturut di dalam Al-Qur`an juga jumlah ayat di dalam satu-satu surah. Juga diberi keterangan mengapa nama bagi surah yang diberi dan apakah kandungan yang terdapat di dalam sesuatu surah. Sebagaimana setengah dari kitab-kitab tafsir memberi sebab-sebab nuzul bagi sesuatu ayat, maka demikianlah bagi tafsir ini. Contoh sebagaimana pecahan dalam juz` `Wal-Muhsanat` di atas dan di tempat-tempat yang lain lagi.
Dilihat dari segi bahasa, dan penguasaan terhadap terjemahan, adalah lancar dan mudah difahami. Kemudahan faham ini perlu, khususnya melalui pendengaran radio – walaupun mungkin kemudiannya diubah sesuai dengan keperluan penerbitan bercetak.
Sebagai sebuah tafsir yang besar dan penting serta lengkap 30 juz` di dalam bahasa Melayu dan memakan masa 25 tahun bagi melengkapkannya Tafsir `Ibru Al-Athir adalah tafsir penting di dalam bahasa Melayu, meskipun tidak setebat Tafsir Al-Azhar Hamka. Tafsir ini dapat diperbaiki dari segi format dan teknik penerbitan secara lebih bermutu agar dengan nilai tambah ini lebih menarik bagi mesyarakat umat Melayu-Islam untuk menatap dan mengambil faedah darinya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment