BBB, 01
Zulkaedah 1436 = 16 Ogos 2015 (Ahad):
Dari segi menerbitkan tafsir terjemahan, maka
kita dapati usaha menerbitkan Tafsir Ibn Kathir di dalam bahasa
Indonesia-Melayu pada peringkat mutakhir adalah usaha murni yang patut dipuji.
Usaha ini dilakukan oleh Pustaka Ibnu Kathir, Jakarta yang pertama diterbitkan
pada Ogos 2007. Pada cetakan ketiga
1430H/2009M. bersamanya berjaya
diterbitkan jilid ke 9 yang melengkapkan penerbitan bagi keseluruhan terbitan
Tafsir Ibn Kathir terkini. Sebelum dari ini dikatakan Tafsir Ibn Kathir ini
pernah diterbitkan secara terbitan lama secara bervariasi di Indonesia, tetapi
terbitan kali ini diterbitkan secara lebih ringkas dengan menyaringnya dari Hadith-Hadith
Daif yang lemah dan memperkemaskannya dari segi susunan dan diterbitkan dalam
bentuk dan jilid yang baik sebanyak 9 jilid.
Teks yang menjadi rujukan dan ambilan bagi
Tafsir Ibn Kathir mutakhir kini adalah berasal dan diambil dari naskhah lama
yang dicetak oleh Dar al-Kutub al-`Arabiyyah – Isa al-Halabiy wa Shurakah, Mesir
penerbit lama bagi kitab-kitab berbahasa Arab dan juga penerbit kitab-kitab di
dalam bahasa Melayu (Jawi) pada peringkat awal. Naskhah ini diusahakan
menerbitkannya oleh Penerbit Darus Salam , Riyadh, Arab Sa`udi diusahakan oleh
satu pasukan yang diketuai oleh Shaykh Safiyyul-Rahman al-Mubarakpuri. Antara
yang diusahakan ialah, membuang mana-mana Hadith Daif dn meringkaskan rawi
kepada perawi Hadith terdekat, tetapi tidak meninggalkan aspek-aspek bahasan
yang penting. Hasilnya kitab tafsir berkenaan menjadi lebih ringkas dan lebih
kemas. Judul asal, iaitu Tafsir Al-Qur`an l-Azim ditukar kepada:
Al-Misbah al-Munir fi Tahdhib Tafsir Ibn
Kathir diterbitkan oleh Penerbit Darus Salam, Riyadh, Arab Saudi. Kepada
Penerbit ini pihak Pustaka Ibn Kathir telah memohon izin (Kebenaran R.A.
1428/April 2007) untuk menterjemah dan menerbitkan tafsir berkenaan di dalam
bahasa Indonesia-Melayu.
Antara langkah-langkah yang diambil bagi
terbitan terjemahan ini bahawa:
1) Kumpulan yang mengusahakan pernerbitan memastikan menampilkan
Hadith-Hadith yang sahih
2) Kalau ada yang daif ianya hendaklah disokong oleh Hadith lain yang
sekurang-kurangnya mencapai darjah qabul, tetapi kategori sedemikian adalah
amat sedikit
3) Memberi nombor-nombor ayat di dalam tafsiran
4) Mengusahakan sumber rujukan terhadap Hadith-Hadith yang disertakan
5) Memberi catatan kaki Hadith dan memberi rujukan nombor Hadith
6) Menambah sub judul bagi yang perlu
7) Melakukan terjemahan secara teliti dan berwibawa.
Berhubung dengan kepentingan Tafsir Ibn Kathir
penerbitnya menyatakan bagi cetakan pertama:
``Tafsir Ibn Kathir merupakan kitab paling
penting dan agung yang pernah ditulis dalam menafsiri kitab suci Al-Qur`an dan
paling banyak diterima dan tersebar di tengah umat ini. Penulisnya telah
menghabiskan waktu yang sangat lama untuk menyusunnya. Tidak mengherankan jika
penafsiran beliau sangat kaya dengan riwayat (baik Hadith maupun athar), bahkan
hampir seluruh Hadith periwayatan Imam Ahmad yang terdapat dalam kitab
Musnad tercantum dalam kitab tafsir ini.
Beliau pun menggunakan rujukan-rujukan penting
lainnya yang sangat banyak, sehingga menjadikan karya beliau ini sangat kaya
akan manfaat dalam berbagai disiplin ilmu agama (seperti Aqidah, Fiqih, dan
lain-lain). Kerananya sangat wajar apabila Imam Al-Suyuti rahimahu Allah
memujinya dan berkata, ``Belum pernah ada kitab tafsir yang semisal
dengannya.`` (hlm. XX).
Ibn Kathir nama ringkas bagi tafsir yang
dihasilkan oleh Imam yang mulia Abu al-Fida Imaduddin Ismail bin `Umar bin
Kathir al-Qurashiyy al-Bushrawi berasal dari Kota Basrah. Beliau dilahirkan di
Mijdal, sebuah tempat di Kota Basrah pada tahun 701H/1302M. Dan meninggal di
Damshik pada tahun 774H/1373M. Ayahnya seorang Khatib yang meninggal ketika
beliau berusia 4 tahun dan beliau dibesar dan dididik oleh keluarganya Shaykh
Abdul Wahhab. Ketika berumur 5 tahun berpindah ke Damshiiq, dikota ini ia
mendalamkan ilmu pengetahuannya. Antara gurunya ialah Shaykh Burhanuddin
Ibrahim bin Abdul Rahman al-Fazari (m. 729H.), Isa bin al-Mut`im, Ahmad bin Abi
Talib (730H.), Baha`uddin al-Qasi bin
Muzaffar bin `Asakir dan beberapa yang lain.
Ibnu Kathir tidak saja menghasilkan Tafsir
Al-Qur`an Ibn Kathir, tetapi juga
mengarang antaranya, Al-Bidayah wa al-Nihayah tentang sejarah (14 jilid), Al-Takmil
fi Ma`rifat Thiqat wa al-Du`afat wa al-Mujtahid, Al-Hadyu wa al-Sunan fi
Ahadith al-Masanid, Tabaqat al-Shafi`yyah dan beberapa yang lain.
Beliau melahirkan murid-murid yang terkenal antaranya ialah Ibn
Haji, Ibn `Imad al-Hanbali dan ramai lagi (hlm. 11 -15).
Penghasilan Tafsir Ibn Kathir menambahkan bahan ilmiah di dalam bidang
tafsir dalam bahasa Indonesia-Melayu.
Ini adalah merupakan penerbitan tafsir secara terjemahan terbesar di dalam
bahasa Indonesia-Melayu, selepas terjemahan dilakukan oleh Shaykh Abdul Rauf
al;-Fansuri al-Singkeli terhadap Tafsir Baydawi. Terjemahan terhadap Tafsir
Baydhawi yang diberi judul Tarjuman al-Mustafid menurut gaya lama dengan
ciri-cirinya tersendiri, tetapi Tafsir Ibn Kathir, walaupun dari turath yang
juga lama, tetapi penerbit mengusahakan penerbitannya dengan gaya dan
persembahan yang baru yang tidak meninggalkan ciri-ciri tradisi terutama
mengukuhkan tafsiran ayat Al-Qur`an dengan ayat Al-Qur`an dan Hadith juga
diperkukuhkan dengan pendapat sahabat, tabi`in dan pendapat ulama-ulama yang
muktabar. Tafsir Ubn Kathir mengukuhkan tafsiran bertolak dari usul dan akar
membawa kepada perkembangan yang lebih luas dan tidak terputus sebagaimana
tafsir yang lebih mementingkan tafsiran secara fikiran dan menyesuaikan dengan
situasi semasa dan moden. Bagi pengaji-pengaji tafsir akan mendapati bahawa
Tafsir Ibn Kathir menyediakan wadah dan asas keilmuan tafsir seutuhnya sebelum
bertolak kepada perluasan yang tanpanya tidak bertolak dari asas yang kukuh.
Kita berharap lebih banyak akan lahir
tafsir-tafsir yang mengukuh tradisi tafsiran di samping lahirnya tafsir-tafsir
moden yang lebih mengolah dan menyesuaikan persoalan dengan situasi semasa.
Hendaknya berbagai pendekatan akan lebih memperkayakan pendekatan dan pengajian
tafsir.
Sekian.
No comments:
Post a Comment