August 6, 2015

Tafsir Pimpinan Al-Rahman Paling Popular Digunakan


BBB,  20 Syawal 1436 = 05 Ogos 2015 (Rabu):


Tafsir ringkas yang dihasilkan pada peringkat mutakhir dan paling popular digunakan ialah:
       TAFSIR PIMPINAN AL-RAHMAN KEPADA PENGERTIAN AL-QUR`AN
Diterjemah serta diberi penjelasan oleh Shaykh Abdullah bin Muhammad Basmih seorang penulis agama terkenal yang pernah memimpin Majalah Qalam di Singapura dan berpindah dan berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri yang dikenali sebagai Pusat Islam pada masa itu dan kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ada beberapa faktor yang menjadi tafsir ini begitu terkenal dan menjadi rujukan utama bagi penterjemahan ayat-ayat Al-Qur`an ialah:
1)      Dihasilkan oleh seorang penulis/pentafsir berwibawa di dalam bidang penulisan dan keagamaan.
2)      Penerbitan secara rasmi oleh Jabatan Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri dan diberi kata-kata aluan oleh Perdana Menteri pada masa itu, iaitu Y.A.B. Dato` Seri Mahathir Mohamed. Ia seolah-olah kitab tafsir yang diiktiraf, bahkan diterbitkan oleh pihak kerajaan.
3)      Tafsir disemak oleh ulama  berwibawa pada masa itu Haji Mohd. Nor bin Haji Ibrahim Mufti Kerjaan Negeri Kelantan.
Lantaran itu tafsir yang siap pada akhir 1960an ini mendapat sambutan yang hangat. Tafsir yang mulai cetak pertama pada yahun 1968 sehingga 1985 telah diulang cetak bagi kali ketujuh. Kini ulang cetak terus bertambah.
Dalam kata-kata aluan Dr. Mahathir terhadap penerbitan Tafsir Pimpinan Al-Rahman ini, kata Dr. Mahathir:
``Dengan terbitnya kitab tafsir edisi jawi (Cetakan keenam), ini bermakna kita telah berjaya melengkapkan satu lagi kitab `Tafsir Pimpinan Al-Rahman` 30 juz` dalam satu jilid yang sebelum ini hanya diterbitkan dalam tulisan rumi.
Saya memang menyedari betapa perlunya usaha-usaha seperti ini senentiasa diberi keutamaan. Ini memandangkan betapa perlu umat Islam di masa ini benar-benar dapat memahami ajaran Al-Qur`an melalui tafsir yang jelas lagi lengkap. Umat Islam akan dapat menyedari di manakah mereka berada dan ke mana pula tujuan mereka selepas hidup ini. Oleh kerana itulah saya merasa sukacita apabila mendapat tahu apabila kitab ``Tafsir Pimpinan Al-Rahman``terbitan Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri – Edisi Rumi dan Jawi – mendapat sambutan yang sangat baik dari seluruh masyarakat Islam di negara ini. Saya yakin edisi Jawi ini akan memberi sumbangan yang sangat besar kepada umat Islam.`` (hlm. VII-VIII).
Tuan Haji Mohd. Nor Bin Haji Ibrahim sebagai penyemak dalam kata pengantarnya kepada penerbitan Tafsir Al-Rahman katanya,
``Jika kita ingin dan sewjibnya ingin – mengembalikan keadaan zaman gemilang kita yang lampau maka perlulah kita kembali kepada Al-Qur`an, kembali memahami, mengkaji dan seterusnya mengamalkan isi-isi pengajarannya yang mulia dan tinggi tarafnya dan jalan yang wajar untuk mempelajari maksud kandungan Al-Qur`an, ialah memahami akan makna-makna ayatnya, maka di sinilah terletaknya kepentingan adanya terjemahan Al-Qur`an dengan gaya bahasa yang dapat difahami oleh orang ramai kita Islam.`` (hlm. IX).
Menurut pentafsir (Abdullah Basmih) bersama penyemak ( Haji Mohd. Nor bin Haji Ibrahim), ``
``Sebenarnya segala yang terkandung dalam `Pimpinan Al-Rahman` kami susunkan dan kajikan sesudah kami kaji berbagai-bagai kitab tafsir dan kami pilih pendapat-pendapat yang kami fikirkan munasabah serta mudah difahami oleh orang ramai kita Islam..`` (hlm. XI).
Kata Abdullah Basmih bagi cetakan keenam:
``Cetakan keenam ini sama kandungannya dengan cetakan yang pertama yang telah diterbitkan berpenggal-penggal dalam tiga jilid kecuali
1.       Beberapa tempat yang memerlukan penjelasan telah diberikan penjelasan.
2.       Beberapa ayat telah dikemaskan lagi susunan kata terjemahannya, supaya bertambah jelas dan mudah difaham.
Kepada Allah jualah dipohonkan taufik dan hidayah dalam segala keadaan.
Mudah-mudahan kita semua senentiasa mempelajari, memahami dan mengamalkan ajaran Al-Qur`an dan Sunnah Rasul selagi hayat dikandung badan.`` (Abdullah Basmih, 1983: XII).
Dari segi format penulisan dan penyusunan adalah didapati edisi jawi yang menjadi rujukan Penulis adalah mudah dan terang. Pentafsiran adalah dilakukan secara terus menerus dari satu surah kepada surah yang lain. Bagi setiap surah sebelum masuk kepada surah berkenaan diberi muqaddimah bagi surah. Pada surah, selepas nama surah diberi bilangan  surah, dimanakah diturun dan berapa jumlah ayat dan juz` ke berapa dan barulah masuk kepada basmalah bagi awal surah.
Bagi muqaddimah bagi surah diberi satu halaman bagi menerangkan tentang surah yang bakal dibaca
sebelah kiri bersama tafsiran.
Bagi teks l-Qur`an adalah diletak pada bahagian kanan secara seturut dengan diberi no. ayat.   Bagi setiap tafsiran ayat dan no. ayat diletak pada bahagian kiri halaman yang sama dengan tulisan lebih kecil dari teks surah yang lebih besar dan lebih hitam tulisannya (ayat Al-Qur`an). Ini bererti sebagaimana kitab Tafsir l-Wajiz oleh Wahbah al-Zuhaily dapat dibaca ayat-ayat Al-Qur`an secara berterusan sebagai kandungan ayat Al-Qur`an biasa yang disertakan no. bagi setiap ayat, maka tafsiran yang diberi pada juga bernomber yang memudahkan bacaan dan memudahkan pula untuk dilihat dari segi makna teks dan tafsiran yang diberi. Bagi setiap ayat dan terjemahan adalah dilengkapkan pada halaman yang sama. Terjemahan dan huraian adalah lebih memakan ruang dari ruang teks Al-Qur`an sebab itu ruangan terjemahan dan tafsiran lebih banyak perkataan, tetapi dikecilkan dari segi tulisan. Sebenarnya dengan menggunakan tulisan jawi adalah lebih menjimatkan ruang, kerana sebelum diterbitkan dalam tulisan jawi diterbitkan dalam tulisan rumi dalam tiga jilid. Kini diterbitkan dalam satu jilid sahaja setebal 1,463 halaman.
Kini Tafsir Al-Rahman dapat dikatakan tafsir yang paling popular yang terus dirujuk dan dibaca. Untuk dirujuk dari segi terjemahan ayat-ayat, maka tafsir inilah menjadi rujukan wibawa, kerana ia disemak oleh tokoh berwibawa dan diterbitkan oleh pihak pemerintah pula.

Sekian.

No comments:

Post a Comment