August 15, 2015

Lagi Ciri Tafsir Tarjuman Al-Mustafid


BBB,  29 Syawal 1436 = 14 Ogos 2015 (Jumaat):


Slain dari tumpuan diberikan terhadap ikhtilaf pendapat mengenai kaedah bacaan setengah ayat-ayat Al-Qur`an yang diletak di bawah judul (Faidah), satu ciri lagi   di dalam penafsiran Tarjuman Al-Mustafid, bahawa penafsir yang diikuti terjemahan ialah menyebut tentang keistimewan surah dan kepentingan.  Sebagai contoh kata pentafsir:
``Ini Surah Al-Fatihah iaitu tujuh ayat yang dibangsakan ia kepada Makkah yakni yang turun di Makkah, maka tersebut di dalam Baydhawi bahawa Fatihah itu penawar bagi tiap-tiap penyakit dan tersebut di dalam `Manafi` Al-Qur`an`  barangsiapa membaca dia adalah baginya daripada pahala yang tiada dapat menggandai dia kitab dan memberi manfaat akan berbaik-baik orang dan perkasih. Wallahiu a`lam.
Berhubung dengan Surah Al-Baqarah, kata pentafsir::
``Maka tersebut di dalam Baydhawi belajar dia thabit berkat dan meninggalkan dia itu menyesal dan tiada kuasa akan dia ha(m)batan. Dan tersebut di dalam Manafi` Al-Qur`an barang siapa menyurat dia maka dicatitnya atas dirinya nescaya hilang daripadanya segala penyakitnya dan demikian lagi jikalau digantung atas katip kanak-kanak nescaya dimudahkan Allah Ta`ala ia menceraikannya atas susunya dan tiada ketakutan segala yang menyakiti dan jin jikalau digantungkan orang yang dicabul oleh syaitan nescaya hilang daripadanya yang demikian itu. Wa Allah a`lam. (hlm. 3).
Dan contoh terakhir diambil dari Surah Al-Kafirun tentang kepentingan dan keistimewaan, kata pentafsir:
``Maka tersebut dalam Baydhawi hadith barangsiapa mengaji Surah Al-Kafirun maka adalah ia seolah-olah mengaji Qur`an dan jauhlah daripada  maraddah segala syaitan dan jauhlah ia daripada sharr.`` (hlm. 608).
Pentafsir juga gemar menyelitkan `Kisah` yang berhubungan dengan ayat. Tidak ada kisah dalam tafsiran terhadap Surah Al-Fatihah yang hanya mengambil ruang satu halaman sahaja, tetapi pada awal Surah Al-Baqarah yang berkait dengan maksud ayat:
 ``Yang mereka beriman dengan apa yang diturunkan kepada engkau dan apa yang diturunkan sebelum dari engkau.`` (Al-Baqarah: 4)
Diperturunkan:
[Kisah]   Pada suatu qaul yag tersebut di dalam Khazin bahawasanya Allah Ta`ala telah me(n)janjikan kaum Bani Israil atas lidah Nabi Allah Musa bahawa ia lagi akan menurunkan rasul akan dia daripada anak cucu Nabi Allah Ismail maka tatkala berpindah Rasulullah s.a.w. ke Madinah pada hal di dalamnya beberapa makhluk yang amat banyak maka diturunkan Allah Ta`ala surah ini akan menyempurnakan janji, wallah  a`lam.`` (hlm. 3).
Di dalam Surah Al-A`raf bagi ayat menceritakan tentang Adam dan Hawwa` di Syurga sebelum dikeluarkan  kedunia (Al-A`raf: 19) dibawa:
[Kisah] Disebut di dalam Khazin adalah pakaian keduanya itu daripada nur tidak dilihat seorang kan aurat seorang maka tatkala mengenai keduanya dosa maka nyatalah bagi keduanya aurat keduanya. Wa Allah a`lam (hlm. (hlm. 153).
Berhubung dengan Surah Al-Kahfi dibawa:
[Kisah]  Tatkala ditanyai oleh orang Makkah akan Nabi s.a.w. daripada khabar bagi segala orang yang di dalam guha itu maka sahut Nabi s.a.w. lagi akan kukhabar esok hari pada hal tiada dikatanya insya Allah Ta`ala (ayat Qur`an bermaksud: Jangan engkau katakan sesuatu aku buat itu esok melainkan dikehendaki Allah) dan jangan kau kata bagi sesuatu bahawa lagi aku berbuat demikian-demikian itu esok hari melainkan dan memakai mushiat Allah seperti bahawa kau kata insya Allah Ta`ala ... (hlm. 297).
Demikianlah terdapat begitu banyak kisah-kisah yang dibawa oleh pentafsir.
Daripada perhatian yang dibuat didapati pentafsir tidak mengambil pendekatan secara sedar kaedah mentafsir ayat Al-Qur`an dengan ayat Al-Qur`an, iaitu kaedah pentafsiran yang paling kukuh. Pengambilan yang dibuat adalah secara bukan sebagai kaedah  atau pendekatan pentafsiran. Begitu juga didapati pentafsir juga tidak menggunakan Hadith Nabi sebagai kaedah pentafsiran. Pentafsir juga tidak menjadikan `Asbab al-Nuzul` sebagai satu kaedah pentafsiran yang penting, walaupun dalam setengah penerangan, contoh di dalam setengah (Faidah) sebenarnya adalah `Asbab al-Nuzul`
Dari segi rujukan yang dibuat terhadap sumber-sumber kitab, nampaknya rujukan yang dibuat di sana sini,  terhadap dua sumber iaitu Tafsir Khazin dan Baydhawi, mungkin dimaksud kepada tafsir Baydhawi sendiri atau dari karangan Baydhawi yang lain.  Selain daripada itu Pentafsir tidak memberi penegasan tentang hukum,-hukum di dalam penafsiran, sebaliknya dibicarakan secara tidak langsung dalam penterjemahan dan penafsiran.
Pendek kata pendekatan dan penekanan oleh pentafsir juga terjemahan agak berbeza dari tafsir-tafsir umum. Aspek-aspek yang diberi tumpuan seperti ikhtilaf pembacaan sebagai pendekatan, walaupun baik, tetapi tidak diberi penekanan oleh penafsir-penafsir biasa. Begitu juga memberi perhatian yang lebih terhadap kisah-kisah agak berlainan dari pendekatan-pendekatan tafsir yang lain. Pentafsir juga menyebut tentang kepentingan dan keistimewaan setengah ayat-ayat Al-Qur`an dari khasiat perubatan yang tidak diberi perhatian oleh pentafsir-pentafsir yang lain. Sebaliknya `Asbab al-Nuzul`, tafsiran ayat Al-Qur`an dengan ayat Al-Qur`an juga Hadith serta penekanan tentang ayat-ayat hukum yang menjadi pendekatan popular dalam pentafsiran nampaknya tidak menjadi kaedah tafsiran bagi Tafsir Baydawi atau Tarjuman al-Mustafid
Namun sebagai tafsir terjemahan  terawal di dalam bahasa Melayu, Tafsir Baydhawi dan terjemahan sebagai Tarjuman al-Mustafid mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam keilmuan tafsir berbahasa Melayu dan perkembangan Islam dan keilmuan itu sendiri.

Sekian. 


No comments:

Post a Comment