August 30, 2015

Menghayati Rumusan Dari Al-Qur`an - Bongkaknya Bani Isra`il - Surah Al-Baqarah


BBB,  14 Zulhijjah 1436 = 29 Ogos 2015 (Sabtu):



Telah disebutkan bahawa Abdullah Yusuf Ali memecahkan persoalan utama di dalam Surah Al-Baqarah yang diberi rumusan secara puisi kepada 10 pecahan. Pecahan pertama mengenai `Keimanan` dan pecahan kedua mengenai `ke Khalifah-an`.
Bagi pecahan bagi kumpulan ketiga ialah ayat Surah Al-Baqarah (2. 40 – 86). Dalam ayat-ayat berkenaan adalah mengenai kaum Bani Isra`i yang menyembunyikan kebenaran dan menegakkan kebatilan. Mereka kufur dengan nikmat dan kelebihan yang diberi Allah kepada mereka seperti selamat dari kekejaman Fir`aun serta menyelamatkan mereka dari kebuluran di pasang pasir. Mereka bongkak, mensyirik Allah dan menumpahkan darah. Mereka akan menerima azab di hari kiamat dengan sepedih-pedih azab.
Rumusan yang dibuat Abdullah Yusuf Ali terhadap ayat-ayat  K 46 (2. 40-86):
Di kalangan bangsa manusia bangsa manakah  yang
 Mempunyai peluang-peluang yang tertinggi
Di dalam bidang rohani daripada Bani Isra`il ?
Tetapi berkali-kali mereka mengalami kegagalan
Dalam bidang Rohani
Mereka memberontak melawan Nabi Musa a.s. dan
Mereka merungut-rungut dalam belantara.
Dan para Nabi mereka bunuhkan
Dan ayat-ayat Tuhan mereka tolaknya: Mereka palsukan
Kitab Suci dan berpaling belakang kepada kebajikan.
(Al-Qur`anu`l-Karim, Terjemahan Dan Huraian, Jil. 1: hlm. 30).
Manakala pecahan empat, iaitu dari ayat (87-121) adalah mengenai:
Sikap angkuh dan kufur Bani  Isra`il terhadap Nabi Musa. Mereka menganggap mereka berhak masuk syurga, kalau disiksa hanya dalam tempoh yang pendek. Mereka menegah Rasulullah dan orang Islam dari beribadat di masjid. Sesungguhnya mereka tidak reda dengan orang Islam dan maukan orang Islam mengikut mereka (Yahudi dan Nasrani).
Di dalam hal ini kata Abdullah Yusuf Ali: K 47 (2. 87 – 121):
Umat Nabi Musa dan umat Nabi Isa
Telah dikurniakan wahyu: tetapi sayang !
Mereka tidak setia kepada cahaya ajaran mereka sendiri
Dan dalam mengikuti keinginan maka mereka, menjadikan
Sempit:
Ajaran Tuhan yang bersifat sarwajagat. Pada mereka
Nampaknya tidak munasabah bahawa Cahaya-Nya
Akan menerang Semenanjung Arab dan memperbaiki
Alam ini. Tetapi Sunnahnya adalah menghairankan
Dan ianya jelas bagi mereka yang beriman.
(Al-Qur`anu`l-Karim. Terjemahan Dan Huraian Maksud, Jil. 1, hlm. 58).
Sebagaimana pernah dibicarakan, sekiranya seorang mempelajari sirah dan sejarah, maka orang bermaklumat sirah dan sejarah lebih faham mengenai apa yang terkandung di dalam firman Allah dalam Surah Al-Baqarah sebagaimana di bicarakan di atas. Surah Al-Baqarah ini adalah diturunkan di Madinah selepas Hijrah al-Rasul s.a.w.  Ia adalah realiti sejarah yang dihadapi Rasulullah s.a.w.  dan merupakan siri tentangan musuh-musuh Islam terhadap Islam. Jika di Makkah, maka Rasulullah s.a.w. menghadapai kafir Quraysy yang tercabar dari dakwah Rasulullah s.a.w. dan merasa tradisi budaya Jahaliyyah yang mereka amalkan selama ini tergugat. Mereka angkuh dan dari segi psikologi ego mereka tercabar, mereka bukan mengambil kira benar atau salah pegangan mereka, mereka mau pertahankan kewibawaan mereka dan menentang dakwah Rasulullah s.a.w. sehingga mereka berjaya `menyingkirkan` Rasulullah dari bumi Makkah, sedangkan bagi orang Islam ia adalah merupakan strategi dari segi dakwah.
Tetapi apabila Rasulullah s.a.w. dan pengikut-pengikut berhijrah ke Madinah dan mendapat sambutan penduduk, di samping menyatukan orang Muhajirin dan Ansar, maka orang-orang Islam  menghadapi keangkuhan orang-orang Yahudi yang berperanan penting dari segi penguasaan ekonomi masyarakat. Mereka ego dan bermegah dengan kedudukan, lantaran Kaum Bani Isra`il mempunyai tradisi kenabian yang dibangkitkan dari kalangan kaum mereka. Mereka memandang rendah dan tidak mau mengiktiraf apa lagi mengikut Rasulullah s.a.w. Sebaliknya mau orang Islam mengikut mereka  atas agama Yahudi atau Nasrani. Allah menempelak mereka dan mendedahkan sikap mereka yang menentang Nabi Musa dan sikap mereka yang angkuh. Cabaran orang Yahudi terhadap Islam ini di atasi oleh Rasulullah dengan mengkesampingkan mereka dari masyarakat umat lantaran mereka menentang Islam dan menjadi duri dalam daging bagi umat Islam di Madinah, akhirnya mereka diusir dari bumi Madinah, lantaran mereka mengkhianati Rasulullah dan umat Islam.
Apa yang digambarkan oleh Al-Qur`an, terutama tentang sikap orang Yahudi, adalah realiti sejarah yang dilalui orang-orang Yahudi. Mereka, walaupun bermegah mempunyai siri nabi-nabi, tetapi mereka bukan dari kalangan mereka yang setia. Dalam sejarah, sebagaimana didedahkan oleh Al-Qur`an mereka tidak henti-henti bermasalah dengan dakwah dengan nabi dan Rasul dari kalangan mereka. Apa lagi apabila  Rasul terakhir bukan dari kalangan, seperti yang diharap kebangkitan Rasul akhir zaman dari kalangan keturunan Yahudi, tetapi bukan dari turunan Yahudi, sebaliknya adalah dari keturunan Arab. Ini menambahkan dendam kesumat mereka terhadap Rasulullah dan orang-orang Islam.

Sekian.

1 comment: