August 9, 2015

`Al-Azhar` HAMKA, Tafsir Terbesar Dalam Bahasa Melayu: Terhasil Dalam Penjara


BBB,  23 Syawal 1436 = 08 Ogos 2015 (Sabtu):


Dari sejumlah tafsir di dalam bahasa Melayu, bukan terjemahan, maka Tafsir Al-Azhar yang dihasilkan oleh Hamka, adalah merupakan tafsir terbesar dalam bahasa Melayu-Indonesia yang selesai dihasilkan pada tahun 1971. Tafsir bagi 30 juz` Al-Qur`an ini adalah sebanyak 10 jilid setebal 8,171 halaman cetakan keempat (2001). Pada permulaan diterbitkan dalam edisi sederhana di dalam 30 jilid dan berikutnya diterbitkan dalam edisi menarik oleh Pustaka Nasional Pte Ltd. Singapura mulai 1990.
Nama Hamka adalah singkatan dari Haji Abdul Malik Karim Amrullah seorang pengarang prolifik, bukan sahaja di dalam bidang keagamaan, tetapi Hamka juga adalah seorang sasterawan yang menghasilkan novel, cerpen dan puisi – karyanya berjumlah lebih 100 buah di dalam berbagai bidang yang mendapat sambutan yang baik dari masyarakat sama ada di Indonesia, maupun di Malaysia. Tafsirnya mendapat sambutan di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei lantaran kandungan dan  bahasanya di dalam Tafsir Al-Azhar begitu indah dan lancar. Akibat konflik politik dan ideologi di negaranya antara nasionalis dan komunis yang juga berlaku konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia pada zaman Sukarno dan golongan agama dimomokkan dan Hamka menghadapi tuduhan yang menyebabkan beliau terpenjara pada zaman 1960an. Semasa di dalam penjara ini beliau menggunakan masanya mengarang kitab tafsir beliau yang berjudul Tafsir l-Azhar sebagaimana Syed Qutb mengarang Tafsir Fi Zilal Al-Qur`an semasa di dalam penjara dan begitu juga Said Hawwa. Di dalam kata pengantarnya bagi cetakan baru (1990), Syed Ahmad  Semait juga melihat kepengarangan Hamka dalam bidang tafsir pada zaman moden ini sebagai kepengarangan Syed Qutb yang menghasilkan tafsir Fi Zilal Al-Qur`an dan juga Said Hawwa yang menghasilkan Tafsir ``Asas Di Dalam Penafsiran Al-Qur`an`` sebagai ada persamaan antara Hamka, Syed Qutb dan Said Hawwa. Kata Syed Ahmad Samait:
``Berbicara mengenai masa untuk menumpukan perhatian dan tanaga yang penuh kepada kerja `Penafsiran Al-Qur`an`, apabila kita fokuskan perhatian kita kepda Saiyid Qutb penulis kitab `Di Bawah Lindungan Al-Qur`an` kita akan diberitahu bahawa beliau telah menghasilkan karyanya yang terbesar itu, semasa beliau di dalam penjara, ditahan oleh pemerintah revolusi Mesir. Penulis Said Hawwa yang telah menghasilkan karyanya `Asas Di Dalam Penafsiran Al-Qur`an`, juga menurut beritanya telah menghasilkan karyanya yang terulung itu ketika beliau ditahan di dalam penjara. Seolah-olah tahanan di dalam penjara itu merupakan suatu kurnia `a blessing in disguise` yang mungkin sekali tanpanya, mereka tidak akan mampu untuk menghasilkan karya-karya yang baik serupa itu. Selain dalam tahanan mereka dapat menumpukan seluruh perhatian dan fikirannya kepada satu matlamat saja., iaitu menghasilkan sesuatu yang amat dicita-citakan di dalam hatinya.``
(Syed Ahmd Semait, Kata Alu-Aluan, dlm. Hamka, Tafsir Al-Azhar, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura, 2001: V-VI).
Berhubung dengan kandungan Tafsir Al-Azhar ini kata Syed Ahmad Semait:
``Ketika memerhatikan cara dan jalan penafsiran Al-Qur`an yang dilakukan oleh pengarang `Tafsir Al-Azhar` sungguh menarik minat saya. Prof. Dr. Hamka dalam bidang penulisan buku-buku sastera dan buku-buku agama sudah tidak perlu diperkenalkan. Usaha yang telah diteroka oleh pengarang ini, dan pencapaiannya memang sungguh menarik perhatian. Selain penghuraiannya banyak yang  menyentuh kehidupan manusia dalam berbagai-bagai masa termasuk masa kita sekarang ini termasuk hal-hal yang menakjubkan. Dengan membaca Tafsir Al-Azhar ini kita dapat menghayati Kitab Allah, dan merasakan kitab itu benar-benar ditujukan kepada kita. Kita dapat menginsafi diri, dan dapat membetulkan perjalanan kita sesuai dengan yang ditunjuk dan dikehendaki oleh Allah Pencipta kita.`` (Ibid., VII-VIII).
Keilmuan, kepengarangan dan pentafsiran Hamka, bukan saja diterima masyarakat dengan baik, bahkan pihak Universiti Al-Azhar sendiri mengiktiraf ketokohan beliau di dalam bidang keilmuan dengan menganugerahkannya gelaran Ijazah Dr. Falsafah.
Sikap dan pendirian Hamka di dalam pentafsiran bahawa beliau amat menjaga agar tidak berlaku pertembungan dan kecelaruan antara naqal dan akal, di antara riwayat dan dirayah, pentafsir juga berkata dia tidak saja memetik pendapat orang yang terdahulu semata-mata, tetapi mempertimbangkan juga dengan pengalaman diri,  tidak pula menurut pertimbangan akal sendiri semata-mata, tetapi mempertimbangkan dari segala aspek dengan wajar.
Di dalam menafsirkan Al-Qur`an, beliau tidak setuju dibawa pengaruh-pengaruh mazhab di dalam tafsiran, apa lagi bila pihak penafsir yang berpegang pada satu mazhab cuba mempertahankan mazhab masing-masing di dalam tafsiran berkenaan. Beliau membawa beberapa contoh tafsir yang pentafsirnya cuba mempertahankan mazhab yang dipegang oleh pentafsir berkenaan.
Hamka yang pada zaman kegiatan menulis tafsir adalah dari kalangan orang yang bergiat di dalam kegiatan semasa, iaitu di dalam gerakan Muhammadiyyah di Indonesia adalah terpengaruh dengan gerakan Timur Tengah. Hamka menyebut tafsir-tafsir yang dianggap baik dan selari dengan perkembangan perjuangan dan situasi semasa. Beliau menyebut antara tafsir yang baik dan semasa ialah Tafsir al-Manar oleh Muhammad Rashid Rida yang mendukung perjuangan dan gerakan pembaharuan Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh yang merupakan gurunya. Aliran pemikiran dan pembaharuannya dianggap selari dengan gerakan Muhammadiyah di Indonesia yang Hamka juga adalah pendukungnya.  Antara tafsir yang dipujinya ialah Tafsir al-Maraghi yang sama membawa roh perjuangan semasa. Juga tafsir yang dianggap semasa yang banyak menonjolkan pendapat dan fikiran sezaman ialah Tafsir fi Zilal al-Qur`an oleh Syed Qutb yang sebagaimana beliau menghasilkan tafsir semasa di dalam tahanan. (Hamka, Tafsir Al-Azhar, Pustaka Nasional Pte Ltd.. Singapura, 2001: 40-42).
Dapatlah difahami tentang sikap dan pendirian Hamka di dalam mentafsir, bahawa beliau mempertahankan naqal, tetapi memberi ruang kepada akal. Beliau tidak menyenangi persoalan mazhab dibawa ke dalam perbahasan tafsir, apalagi mempertahankan mazhab masing-masing secara keras dan bermati-matian. Beliau menegaskan bahawa beliau adalah berpegang dengan pendapat salaf yang pada masa berkenaan belum wujud mazhab-mazhab yang dilihat membawa perpecahan kepada umat. Sebagai orang perjuangan yang mendukung organisasi perjuangan – Muhammadiyah, Hamka melihat perjuangan pembaharuan yang dibawa oleh Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida adalah perjuangan yang selari didukung oleh Hamka, lantaran itu tafsir-tafsir yang dihasilkan oleh Muhammad Abduh, Rashid Ridha dan Syed Qutb adalah tafsir yang sealiran dengan jiwa dan perjuangan diri dan umat pada masa itu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment