BBB, 09 Zulkaedah 1436 = 24 Ogos 2015 (Isnin):
Pada bahagian akhir daripada puisi Abdullah Yusuf Ali, iaitu pecahan 30 – 41 adalah tertumpu kepada tema penerimaan wahyu –Iqra` yang menandakan permulaan wahyu dan bermulalah Risalah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasulullah. Tema ini begitu ditekan oleh Abdullah Yusuf Ali, bahkan merupakan klimeks bagi perkembangan tema yang dibicarakan. Pada bahagian permulaan bagi pecahan 30 Abdullah Yusuf Ali mengungkapkan:
Iqra` ! yang bila ditafsirkan boleh bermaksud
``Bacalah`` atau ``Isytiharkanlah`` atau ``Katakanlah``
Nabi yang ummi itu kehairanan:
Dan Baginda tidak boleh membaca nampaknya
Malaikat
Itu mendakapnya ke dadanya dalam dakapan yang
kemas.
Dan seruan ``Iqra`` bergema jelas
Dan berlakulah peristiwa itu tiga kali,
sehingga
Pengalaman yang menguasainya pertama kali itu
diikuti
Oleh tanggapan tentang kumpulan
kalimat-kalimat yang menjelaskan
Risalahnya, Puncanya, Tuhan Yang Maha Mencipta.
(Sebahagian dari pecahan 30).
Dengan Iqra` itu disiftkan oleh Abdullah Yusuf
Ali sebagai permulaan bagi pembukaan hijab bagi wahyu dan kerasulan. Ianya juga
sebagai `Nur` dari Allah, lantaran itu Bukit Hira` yang menjadi tempat
permulaan wahyu itu dikenali sebagai `Jabal Nur` - `Bukit Cahaya`. (Pecahan: 31). Peristiwa penting
yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. itu dibawa oleh Baginda maklumat kepada
Khadijah isterinya yang kemudian mereka berdua merujuk kepada Waraqah bin
Naufal sepupu khadijah yang mengamalkan syariat Nabi Allah Isa a.s. yang menyatakan,
apa yang dialami Nabi Muhammad s.a.w. adalah pertanda `Perutusan Allah`
(Pecahan: 32). Nabi Muhammad mendapat sokongan tidak berbelah bagi dari
Saydatuna Khadijah, bahkan beliau merupakan orang terawal menerima dakwah
Rasulullah (Pecahan: 33 -34).
Seterusnya perkembangan berikut yang diolah oleh
pengarang ialah pertembungan yang dihadapi Rasulullah s.a.w. dari kaumnya –
Quraisy dan kemungkinan-kemungkinan yang diimaginasi pengarang.(Pecahan: 35-39).
Pada penghujungan bagi puisinya, Abdullah
Yusuf Ali semacam mengambil keputusan
untuk memendekkan puisinya, tanpa memberi gambaran yang jelas bagaimana
penerimaan masyarakat Quraisy, terhadap wahyu dan dakwah pertama yang
sepatutnya digambarkan pertemuan pertama yang dibuat Nabi menyatakan tentang
kerasulannya dan respond yang diterima dari mereka, mungkin dapat difahami
bahawa tujuan Abdullah Yusuf Ali mau menghadkan tema puisinya kepada puncak,
iaitu penerimaan wahyu yang merupakan penerimaan ayat Al-Qur`an yang pertama,
lantas bersambung dengan tafsir bermula dari surah pertama (Al-Fatihah) dan
seterusnya.
Namun
dari satu segi, apa yang hendak ditafsirkan adalah keseluruhan Al-Qur`an adalah
wajar bagi Abdullah Yusuf Ali meluaskan pembicaraan dan penerimaan Al-Qur`an
selama tiga belas tahun di Makkah dan selama sepuluh tahun di Madinah. Kita
mengharapkan ada gambaran peristiwa kegetiran sekatan selama berdakwah di
Makkah. Dan satu peristiwa penting dalam Sirah Rasulullah s.a.w. adalah
mengenai Hijratul Rasul ke Madinah. Sewajarnya digambarkan garis kasar
kewahyuan Al-Qur`an di Makkah dan apakah tema-tema dominan dari segi kewahyuan
pada zaman Makkah, demikian juga tema-tema dominan dari segi kewahyuan semasa
sedekad di Madinah. Mungkin dapat digambarkan episod penting berkaiatan dengan
wahyu di Madinah, contoh siri peperangan yang berlaku. Bahkan kita mengharapkan
jika tumpuan diberi kepada permulaan menerima wahyu yang bererti permulaan
menerima Al-Qur`an wajar juga diberi gambaran hingga ke peringkat akhir dari
segi kesempurnaan penerimaan wahyu – (Al-Ma`dah: 3) pada Hajjatul Wada`.
Apa yang diharapkan itu dirumus ringkas oleh
Abdullah Yusuf Ali dengan puisinya:
``Selama tiga dan dua puluh tahun, dengan
sabar,
Pertembungan, harapan dan kejayaan akhir
Maka lelaki pejuang jalan Tuhan itu menerima
Dan mengajarkan risalah dari Tuhan Yang Maha
Tinggi ... (Pecahan: 40).
Berhubung dengan wahyu sebagai penutup puisinya
Abdullah Yusuf Ali mengungkapkan:
``Dalam keadaan yang berlainan dan tempat yang
berlainan:
Baginda membacakan kepada mereka, dan
ayat-ayat itu dicatatkan
Dengan pena: itu semua termaktub di atas
kalbunya
Dan fikirannya, dan dalam ingatan
Para sahabatnya yang mengasihinya; bilamana
kandungan
Kitab Suci itu bertambah, ianya disusunkan
Bagi tujuan sembahyang jama`ah dan pembacaan:
Inilah Kitab, atau bacaan atau pun
Al-Qur`an. (Pecahan: 41).
Jadi jelas dari penutup bagi puisi berkenaan,
sebagai mengisyarat bagi permulaan terjemahan dan tafsiran terhadap kandungan
Al-Qur`an.
Walau apa pun latar Sirah Rasulullah s.a.w. yang
disertakan oleh Abdullah Yusuf Ali sebelum dari memulakan terjemahan, tafsir
atau huraian dapat memberi gambaran sepintas lalu tentang Rasulullah s.a.w. –
Penerima Wahyu bagi Al-Qur`an bakal diterjemah, dihurai dan ditafsirkan itu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment