August 8, 2015

Berbagai Tafsir Dalam Bahasa Arab Berbagai Pendekatan


BBB, 22 Syawal 1436 – 07 Ogos 2015 (Jumaat):


Banyak lagi tafsir di dalam bahasa Arab telah dihasilkan di dalam perkembangan zaman dan perkembangan pentafsiran itu sendiri. Tafsir-tafsir berkenaan ialah:
1.       Tafsir Jami` al-Bayan dengan tafsir Al-Tabari oleh Al-Imam Ibn Jarir al-Tabari
2.        Tafsir Ibn Kathir oleh Al-Hafiz Imad al-Din Ibn Kathir al-Dimashqi
3.        Tafsir Al-Ruh al-Ma`ani oleh Al-`Allamah Syed Mahmud Shukri al-Alusi
4.       Tafsir Al-Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta`wil oleh Al-Imam Nasir al-Din Al-Baydawi (telah dibicarakan)
5.       Tafsir al-Jalalayn oleh Al-Imam Abdul Rahman al-Mahalli dan Al-Imam Abdul Rahman Al-Suyuti (telah dibicarakan)
6.       Tafsir Al-Manar oleh Al-Imam Muhammad Abduh dan Al-Allamah Muhammad Rashid Rida.
7.       Tafsir Mahasin al-Ta`wil oleh Al-`Allamah Jamaluddin al-Qasimi
8.       Tafsir al-Maraghi oleh Ustaz Ahmad Mustafa al-Maraghi
9.       Tafsir al-Qur`an al-Karim oleh Shaykh Muhammad Shaltut Bekas Shaykh al-Azhar
10.   Tafsir al-Jawahir oleh Al-`Allamah Tantawi Jauhari
11.   Tafsir fi Zilal al-Qur`an oleh Syed Qutb
12.   Tafsir Gharib al-Qur`an oleh Ibn Qutaibah al-Dinauri
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an oleh Abdullah Basmih, Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Islam, Kuala Lumpur, 1985: XIII).
Pendekatan secara keseluruhan ialah menghurai dan mentafsir bagi menjelaskan kandungan ayat-ayat Al-Qur`an bagi setiap surah yang daripadanya dapat difahami, dimanfaatkan keilmuan, diamalkan segala tuntutan. Antaranya:
1)      Diketahui ayat-ayat sama ada diturunkan di Makkah atau di Madinah
2)      Diketahui sebab-sebab Nuzul
3)      Diketahui ayat-ayat hukum yang dijadikan panduan ibadat dan hukum-hukum yang lain
4)      Mengetahui tentang hakikat ciptaan Alam dan kandungan
5)      Mendapat panduan keilmuan seperti aqidah, shariat, akhlak, astronomi, pertanian dan berbagai-bagai keilmuan yang lain
6)      Mengetahui tentang rasul-rasul dan nabi-nabi
7)      Mengetahui sejarah silam dan lain-lain yang boleh menjadi panduan kajian
8)      Mendapat maklumat mengenai alam ghaib
9)      Menjadi panduan kebahasaan dan kesusasteraan seperti nahu, saraf dan balaghah
10)   Menyedari akan berlakunya hari kiamat
11)   Perlembagaan yang menjadi panduan dunia akhirat
12)   Berbagai-bagai bidang yang lain.
Walaupun begitu terdapat kajian-kajian tentang tafsir-tafsir yang telah dihasilkan. Misalnya Tafsir Ibn Kathir yang begitu popular digunakan. Antara pendekatannya ialah dengan menghuraikan ayat dengan menggunakan ayat-ayat Al-Qur`an, Hadith, perkataan sahabat seperti Ibn Abbas, tabi`in seperti Mujahid bin Jabr, Ibn Jarir, Muhammad bin Ishaq, Said bin Jubayr, Ikrimah, Ata` bin Abi Rabah,, Qatadah, al-Dahhaq dan lain-lain (Ibn Kathir, Sahih Ibn Kathir, Pustaka Ibn Kathir, Jakarta, 1421H./2000M.: 26-27).
Terdapat ciri-ciri khusus yang mengidentitikan pentafsir-pentafsir dengan pendekatan masing-masing. Misalnya Tafsir Al-Manar oleh Muhammad Rashid Reda (1282-1354H./1865-1935M.) yang dipengaruhi pemikiran gerakan pembaharuan dari Jamaluddin al-Afghani pada akhir abad ke 20 bersama dengan Muhammad Abduh. Mereka berjihad membawa tajdid, juga mendukung pembaharuan yang dibawa oleh Ibn Taymiah dan Ibn al-Qayyim al-Jauzi. Tafsir al-Manar dianggap tafsir terbaik yang mengenengahkan aspek adabi sastera, serta analisis mendalam dengan kefahaman ilmu fiqh yang tinggi dalam memohon hidyah dari Allah melalui Al-Qur`an. Tafsirnya mengambil pendekatan tafsir Al-Qur`an dengan Al-Qur`an dan Hadith. Perjuangannya melalui pendidikan diterapkan  dengan penggunaan Tafsir Al-Qur`an disamping disalurkan idea dan tajdid melalui risalah-risalah yang dikeluarkan. Kesannya dilihat secara jangka panjang di dalam menyedarkan umat Islam dan turut terpengaruh dengan idea pembaharuannya oleh pejuang-pejuang pembaharuan di alam Melayu.
(Muhd. Najib Abdul Kadir, Fadlan Mohd Othman dan Najidah Zakariya, Manhaj Tafsir Al-Manar oleh Muhammad Rashid Ridha, dlm.Manhaj Tokoh-Tokoh Tafsir, Penerbit UKM, Bangi, 2015: 138-149).
Beberap tafsir yang lain ialah tafsir `Al-Asas fi al-Tafsir oleh Said Hawwa yang memberi penekanan terhadap aqidah, fiqh dan tasawuf, manakala tafsir Manhaj Tafsir Safwat al-Tafasir dihasilkan oleh Muhammad Ali l-Sabun yang pernah menjadi pensyarah di Universiti Umm al-Qura dan Universiti King Abdul Aziz Arab Saudi. Kitb Safwah dihasilkan 1399H./1979M. setebal tiga jilid menekankan perbahasan `Asbab al-Nuzul`. Pentafsir juga seorang pakar di dalam bahasa dan balaghah, sebab itu aspek-aspek ini diberi perhatian di dalam pentafsirannya. Beliau bersifat terbuka dan membawa berbagai pandangan ulama yang lain di dalam perbahasan mengenai berbagai-bagai isu dalam tafsirannya. Manakala tafsir terakhir yang dapat disentuh ialah `Fi Zilal Al-Qur`an` - Di Bawah Bayangan Al-Qur`an` dihasilkan oleh Syed Qutb sebanyak 6 jilid. Tafsir ini agak berbeza dari tafsir-tafsir yang lain, kerana huraian bersifat fikiran. Sebagai seorang ahli bahasa dan sasterawan fikiran dan imaginasinya tinggi. Syed Qutb menghurai ayat Al-Qur`an dengan ayat Al-Qur`an dan juga Hadith. Kekurangan rujukan mungkin kekurangan bahan rujukan, kerana Tafsir Fi Zilal al-Qur`an` ini dihasilkan semasa beliau di dalam tahanan pihak berkuasa Mesir. Beliau meninggal secara syahid. Tafsir `Fi Zilal Al-Qur`an telah menarik minat seorang pelajar dari Malaysia yang mengikuti perkembangan penulisan dan penghasilan kitab tafsir ini semasa beliau belajar di Qahirah. Di atas minat ini pelajar berkenaan. iaitu Yusof Zaky Yaakob dari Kota Bharu, Kelantan yang bergiat di dalam bidang persuratan dan penerbitan telah menterjemahkan tafsir Syed Qutb ini ke dalam bahasa Melayu `Tafsir Fi Zilal Al-Qur`an – Dalam Bayangan Al-Qur`an (1992).
Berbagai-bagai tafsir dengan berbagai pendekatan telah dihasilkan oleh para mufassirin yang menjadi panduan di dalam memahami kandungan Al-Qur`an. Pun begitu rahsia Al-Qur`an tidak akan habis-habis untuk digali dan kita percaya pada masa mendatang akan muncul lagi pentafsir-pentafsir secara lebih dalam dan lebih canggih di dalam mentafsir dan menggali ilmu-ilmu, hikmat-hikmat dan rahsia-rahsia Al-Qur`an yang menjadi panduan bukan saja kepada umat Islam, tetapi adalah bagi manusia keseluruhan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment