BBB,
28 Syawal 1436 = 13 Ogos 2015
(Khamis):
Tarjuman Al-Mustafid sebagai sebuah tafsir
tertua dalam bahasa Melayu, walaupun bersifat terjemahan adalah menarik dan
banyak aspek yang dapat dibincangkan. Selain dari segi formet sebagaimana telah
dibincangkan, sudah tentulah ialah tentang kandungan tafsir berkenaan dan
bagaimana dipersembahkan. Melihat kepada cara pembicaraan pentafsir – Shaykh
Umar al-Baydhawi dan penterjemhnya Shaykh Abdul Rauf adalah berlainan tumpuan
dilakukan dari kitab-kitab tafsir biasa.
Bagi sesuatu surah yang ditafsir dan terjemah
selain dari membicarakan aspek biasa iaitu nama surah, jumlah ayat dan tempat
diturunkan sama ada di Makkah atau Madinah, tumpuan pembicaraan adalah
terhadap:
1. Ikhtilaf dari segi pembacaan bagi ayat-ayat tertentu di dalam surah
diletak di bawah tajuk `Faidah`
2. Keistimewan surah dan kepentingan
3. Penampilan kisah-kisah bagi kandungan sesuatu surah
4. Tidak guna kaedah tafsir ayat Qur`an dengan ayat Qur`an
5. Rujuk kepada Rasulullah tidak secara riwayat Hadith secara lengkap
6. Tidak menjadikan sebab turun sesuatu ayat `Asbab al-Nuzul`
7. Rujukan kepada kitab tafsir amat terhad
8. Tidak memberi penekanan terhadap ayat-ayat hukum, hanya melalui
terjemahan, secara tidak langsung.
Dapat dikatakan bahawa Tafsir Baydhawi yang
diterjemahkan oleh Shaykh Abdul Rauf amat memberi penekanan kepada perbezaan
pendapat mengenai pembacaan Qiraat 7, hampir setiap halaman perbezaan ini
ditimbulkan. Ianya diletak di bawah judul `Faidah` dalam kurungan. Misalnya
bagi Surah Al-Fatihah pentafsir mengatakan.
(Faidah) Pada menyatakan ikhtilaf antara qari`
yang tiga pada membaca – `maaliki`, maka Abu `Umar dan Nafi` ittifaq keduanya
atas membaca `maliki` dengan tiada alif dan hafas dengan alif, maka adalah
ma`nanya tatkala membaca dengan alif `Tuhan yang mempunyai segala pekerjaan`
hari kiamat.
Bermula jikalau tersebut pada yang lagi akan
datang bacaan Duri demikianlah, maka iaitu baca murid Nafi` dan Abu `Umar, kerana
segala imam qari yang masyhur itu tujuh jua, maka tiap-tiap seorang daripada
mereka itu dua muridnya yang masyhur.
(Pertama) daripada yang tujuh itu (Nafi`) namanya,
maka muridnya yang masyhur Qalun dan Warash (Kedua) Ibn Kathir namanya maka
muridnya Bazzi dan Qunbul
(Ketiga) Abu Umar namanya, maka muridnya Duri
dan Susi
(Keempat) Ibn `Amir namanya, maka muridnya
Hisham dan Ibn Zakuan
(Kelima) `Asim namanya, maka muridnya Abu
Bakar dan Hafas
(Keenam) Hamzah namanya, maka muridnya Khafaf
dan Khalad
(Ketujuh) Kisa`i namanya, maka muridnya Abu
Al-Harith dan Duri, maka dinamai Duri ini Duri Kasa`i dan yang dahulu itu Duri
Abu Amri, wallahu a`lam.(hlm. 2).
Bagi Surah Al-Baqarah, terdapat banyak aspek
faidah yang dikemukakan. Faidah terawal misalnya:
(Faidah) Pada menyatakan ikhtilaf segala qari,
yakni Abu Umar dan Nafi` dan Hafas pada membaca (Aandhartahum), maka Abu Amri
dan Nafi` ittifaq keduanya atas melanjutkan hamzah yang pertama dan mentashilkan
hamzah yang kedua dan Hafas mentahqiqkan keduanya serta dengan singkat. (hlm.
4)
Contoh bagi Surah Ali `Imran. Maka `Faidah`
terawal bagi Surah Ketiga ini:
(Faidah) pada menyatakan ikhtilaf antara
segala qari yang tiga pada membaca `yaraunahum` dan `man yasha` inna fi dhalik`
yang tersebut itu. [Adapun] `yaraunahum` itu, maka Abu Amri dan Hafas ittifaq keduanya atas membaca dia dengan
`ya` dan Nafi` membaca dia dengan `na`, maka adalah
ma`nanya tatkala membaca dengan `na` kamu (kami ?) melihat.
[Dan adapun] `man yasha` in` itu, maka Qalun
dan Duri ittifaq keduanya atas mentahqiqkan hamzah yang pertama serta ibdalkan yang kedua dengan wau yang kasrah
pada jalan wasal dan harus bagi keduanya mentashilkan dia dengan `bayna` dan hafas mentahqiqkan
keduanya.(hlm. 52).
(Untuk panduan tentang Qir`at Tujuh, lihat:
Haji Muhammad Nazri Abdullah, Manhaj Qira`at 7, Beserta Dalil Matan Imam
As-Syatibi, Pustaka Salam Sdn. Bhd., Batu Caves, Kuala Lumpur, 2007, 157hlm.)
Demikianlah perhatian tinggi diberi terhadap
kaedah bacaan dan ikhtilaf bacaan pada satu-satu ayat bacaan yang di dapati
hampir pada setiap halaman bagi teks Al-Qur`an, bahkan aspek ikhtilaf ini
terdapat lebih dari satu (Faidah) bagi mana-mana ayat dari segi bacaan. Dapatlah difahamkan bahawa
nama bagi kitab dari segi keutamaannya ialah: Al-Qur`an Al-Karim, baru diikuti
berikutnya ialah Tarjuman Al-Mustafid. Maka perhatian utama selain dari memberi
makna bagi ayat-ayat Al-Qur`an ialah
menjaga dari segi bacaan. Walau bagaimana Memberi Keutamaan dari segi bacaan
dan khilaf antara Qira`t Tujuh,
seharusnya pentafsir juga sama memberi keutamaan dari segi tajwid, tetapi di
dalam tafsir ini nampaknya tidak diberi perhatian terhadap aspek tajwid
sebagaimana perhatian diberi kepada persamaan dan khilaf dari segi bacaan.
Walau apa pun ini adalah merupakan
keistimewaan dan kelainan yang dibawa oleh terjemahan dan tafsir ini. Membaca
tafsir-tafsir yang lain kita tidak menemui pembicaraan tentang pendapat Qira`at
tujuh persamaan dan perbezaan. Ini menyedarkan pembaca dan pengkaji tentang
kepelbagaian kaedah membaca Al-Qur`an. Aspek pembacaan ini merupakan pengajian
dan pembelajaran tahaf tinggi di kalangan pembaca dan pengaji Al-Qur`an dan
kita dapati pengajian tentang Qira`at tujuh ini makin mendapat perhatian di
kalangan mereka yang membaca Al-Qur`an pada tahap tinggi, khususnya selepas
lahir begitu banyak pusat-pusat tahfiz hingga kepada peringkat pengajian
tinggi. Selain dari itu kini timbul pada akhir-akhir ini aspek yang dinamakan
`Mendapat Ijazah dan Sanad` membaca Al-Qur`an dari guru-guru tertentu yang
mengajar Al-Qur`an. Ini bererti perhatian terhadap pengajian Al-Qur`an semakin
meningkat, sama ada dari segi, bacaan, tafsir, tadabbur dan pengkajian ilmiah
terhadap Al-Qur`an pada tahap tinggi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment