BBB, 10 Zulkaedah 1436 = 25 Ogos 2015
(Selasa):
Membaca Al-Qur`an dengan tartil dengan menjaga
makhraj dan tajwid, bersuara lembut dan tenang, khusyuk dan terang, demikian
dengan mendengar orang lain membaca, sudah cukup memberi rasa mesra dan tenang,
terharu dan terkesan memberi rasa khusyuk dan keinsafan; biarpun tanpa
mengetahui makna dan latar belakang mengenai ayat-ayat yang dibacakan.
Tetapi kesan dari pembacaan seperti di atas atau secara pendengaran lebih lagi memberi impak positif, sekiranya ayat-ayat yang dibaca difahami, lebih-lebih lagi jika ayat-ayat yang dibaca diketahui latar dan peristiwa.
Sebagai contoh seorang mendapat kesan dari
ayat Al-Qur`an, katakan dari Surah Al-Baqarah dari ayat (Al-Baqarah 124-140)
sebelum masuk juz` Sayaqul`. Dengan
memahami makna dapat kita mengetahui sejarah pembinaan Ka`bah oleh Nabi Ibrahim
bersama anaknya Ismail `alayhima al-Salam, bahkan sejarah semasa Nabi Allah
Ismail bersama ibunya Saydatina Hajar menghuni Makkah dan peristiwa menemui air
zam-zam. Kita juga mengetahui peristiwa yang membawa kepada tradisi qurban yang
berlaku di antara Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Ismail. Kita juga
mengetahui tentang susur galur turunan Arab dari turunan Nabi Allah Ismail yang
berkahwin dengan suku Arab Jurhum yang
menghasilkan turunan dari Nabi Ismail membawalah turunan ini kepada Nabi
Muhammad s.a.w. Begitu juga kita ketahui berkat dari do`a Nabi Allah Ibrahim
Makkah yang berada di tengah padang pasir yang cuma mempunyai mataair zam-zam
menjadi kota yang aman makmur hingga kini. Dengan memahami ayat dan memahami
sirah yang berhubung dengan Nabi Muhammad s.a.w. dan nabi-nabi yang lain,
khususnya berhubung dengan sejarah Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Ismail lebih
memberi kejelasan tentang Rasulullah, tentang keturunannya dan tentang
kebangkitannya menjadi Rasul yang pernah didoakan oleh Nabi Allah Ibrahim.
Aspek-aspek berkenaan lebih lagi dapat difahami melalui pembelajaran tafsir
terhadap ayat-ayat yang berkenaan yang dari segi ilmu tafsir tidak saja diberi
terjemahan maksud, tapi tafsiran termasuk dengan ayat-ayat Al-Qur`an, Hadith,
pendapat sahabat tabi`in dan pendapat-pendapat ulama serta sebab-sebab nuzul
(diturunkan ayat-ayat).
Sebagai contoh kedua berhubung dengan ayat
dari awal juz` `Sayaqul` (Al-Baqarah: 124-150),
tanpa mengetahui dari segi maksud, sebagaimana telah dikatakan, ianya dapat
dihayati sebagaimana ayat-ayat Al-Qur`an yang lain sebagaimana telah
disebutkan, tetapi jika diketahui makna dan sejarah yang berhubungan dengannya,
ianya lebih memberi kedekatan dan kefahaman kepada kita, lantaran persoalan yang
dibawa di dalam ayat-ayat di atas ialah berhubung dengan `Pemalingan dan
Perubahan` menghadap di dalam ibadat solat dari Masjid l-Aqsa kepada Masjid
Al-Haram. Dengan memahami makna dan sejarah dapat difahami tetang Masjid
Al-Aqsa dan Masjid al-Haram, mengapa sebelum daripadanya solat menghadap ke
Masjid Al-Aqsa dan bagaimana `Pemalingan dan Perubahan` Kiblat dari Masjid
Al-Aqsa bertukar kepada Masjid Al-Haram yang telah dibina oleh Nabi Allah
Ibrahim bersama anaknya Nabi Allah Ismail. Juga apakah significantnya dengan
pemalingan Kiblat dan hubungan dengan sikap orang Yahudi dan munafik yang
mempermainkan orang Islam, kononnya mengikut kiblat mereka, dan bagaimana sikap mereka selepas pemalingan
kiblat dai Masjid Al-Aqsa ke Masjid Al-Haram. Sebenarnya kefahaman seharusnya
lebih luas daripada itu, bahawa Kiblat ke Masjidil Haram bukan setakat
melibatkan ibadat solat sahaja, tetapi juga melibatkan amalan-amalan yang lain
seperti Haji dan arah bagi amalan ibadat yang lain.
Bahkan Haji boleh dilihat selain daripada
ibadat yang merupakan rukun Islam kelima, tetapi dari satu pihak dapat dilihat
bahawa Haji dari satu sudut merupakan amalan yang secara tidak langsung agar
menyedari sirah dan sejarah. Mempercayai tentang Rasul adalah merupakan rukun
iman, sememangnya dengan percya dengan begitu sahaja sudah cukup dari segi
keimanan, tetapi dengan kita menunaikan rukun Islam kelima iaitu Haji, kita
dapat melihat dan menyaksi dengan mata kepala sendiri, tanah Makkah yang
lahirnya di situ Rasulullah dan dapat menyaksikan tempat di mana Rasulullah
menerima wahyu dan dibangkitkan menjadi Rasul, dapat menyaksikan tempat
Rasulullah s.a.w. berdakwah dan menerima penentangan dari kuffar Makkah, di
Makkah juga dapat menyaksikan Ka`bah yang dari segi sejarahnya dibina oleh Nabi
Allah Ibrahim a.s. dan anakya Ismail dan dapat memahami sejarah di mana
Sadatina Hajar bersama anaknya Ismail di dalam kerisauan mencari air yang
kemudian mengalirnya air zamzam yang dapat dinikmati hingga hari ini dan hasil
dari adanya air menjadikannya tempat tumpuan kafilah yang datang tinggal di
Makkah yang akhirnya menjadi tempat yang maju. Dengan mendirikan Haji dapat
melihat kesan sejarah tempat bertemunya Nabi Allah Adam dengan Isterinya Hawwa` yang dari mereka
berdua membiaknya turunan manusia di muka bumi ini.
Dengan memahami sirah dan sejarah kita dapat
memahami penurunan Al-Qur`an yang setengahnya berkaitan dengan sebab dan tempat Nuzul.
Demikian juga dengan memahami sirah kita mengetahui tentang peristiwa Hijratul
Rasul s.a.w. dari Makkah ke Madinah. Dengan menunaikan Haji, kita dapat lihat
dan melawat Madinah yang menjadi tempat Hijratul Rasul dan menyaksikan kawasan
perjalanan Nabi dalam penghijrahan ke Madinah. Di Madinah dapat disaksikan
masjid Quba` dan Masjid Madinah yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. dan dapat
sama beribadat di masjid-masajid berkenaan. Demikian juga dengan ziarah ke
Madinah dapat disaksikan banyak tempat sejarah berhubung dengan Nabi s.a.w.
seperti tempat-tempat berlakunya peperangan-peperangan. Bahkan dapat mengaitkan
peristiwa-peristiwa Nabi dan sahabat-sahabat. Pendek kata dengan menunaikan
Haji dan menziarah dapat mengenal tempat-tempat bersejarah, khususnya berkaitan
dengan Rasulullah s.a.w. sama ada di
Makkah atau Madinah.
Lebih dari itu dengan memahami sejarah lebih
luas, misalnya sejarah tamadun manusia dapat dilihat kedudukan umat Islam dalam
peta sejarah tamadun dan peradaban berkenaan. Sejarah bukan saja dilihat dari
kemajuan fizikal yang dibawa oleh sesuatu bangsa, tetapi juga dapat dilihat
dari segi ketamadunan dan peradaban yang bersifat mental dan fikiran dan dapat
dilihat di mana kedudukan umat Islam yang pernah membawa tamadun dan peradaban
keilmuan yang besar. Melalui sejarah juga dapat dilihat ke belakang dan memandang
ke hadapan apakah kebaikan dan keburukan yang pernah berlaku atau dilakukan
oleh umat yang memaju dan memundurkan mereka dan apakah langkah-langkah yang
seharusnya diambil jika mundur bagi mengembalikan kemajuan tamadun dan
peradaban umat.
Sesungguhnya dengan sirah menjadikan kita
lebih mengenali realiti sejarah kerasulan Rasulullah s.a.w.dan kaitan dengan
kandungan Al-Qur`an dan dengan sejarah
membolehkan kita menilai diri dan membuat kepastian kedudukan kita dari segi
maju dan mundur dan mencari jalan bagi menggerakkan diri dan umat bagi mencapai
kemajuan – tamadun dan peradaban dan keselamatan – dunia dan akhirat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment