BBB, 26 Syawal 1436 = 11 Ogos 2015 (Isnin):
Untuk menghasilkan sebuah tafsir secara
lengkap memerlukan masa yang lama. Ada yang cuba menghasilkan, tetapi tidak
dapat menamatkan, kerana ajal mendahului sebelum tafsir dapat disiapkan oleh
yang dialami seperti oleh Muhammad Abduh
Pejuang Pembaharuan (Islah) di awal abad 20, demikian juga oleh Shaykh Muhammad
Shaltut Rektor Universiti Al-Azhar dan Mufti Mesir pada pertengahan abad 20.
Ada yang berpeluang menyiapkan tafsiran semasa di dalam tahanan seperti yang
berlaku kepada Muhammad Qutb, Sa`id Hawwa dan Hamka. Ada yang dapat menyiapkan
melalui himpunan bahan dalam pengajaran. Dan satu yang menarik bahawa Tafsir
`Ibru al-Athir (Ungkapan Berkesan) ialah hasil dari himpunan ceramah tafsir
melalui radio yang menghasilkan Tafsir `Ibru Al-Athir oleh Al-Fadhil Ustaz
Ahmad Sanhaji Muhammad. Iaitu melalui ceramah di corong Radio Singapura (SBC) selama
15 minit setiap keluaran sekali setiap minggu. Ceramah berlangsung berterusan
dari mulai 12 Sya`ban 1379H.-(?) bersamaan 19 Februari 1959 hingga 26 April
1984, sejumlah 30 buku (jilid) – Satu
buku bagi sejuzuk. Penerbitan buku tafsir ini dilakukan sebelum tamat tafsiran
seluruhnya, penerbitan mula dilakukan pada tahun 1960 bermula dari Surah
Al-Baqarah penggal pertama, cetakan pertama dan seterusnya sehingga selesai
tafsiran (April 1984) dan penerbitan (1961).
Dari segi latar, Ustaz Ahmad Sanhaji
dilahirkan di Surakarta (Solo). Jawa Tengah, Indonesia pada Jumaat 24 Zulhijjah
1430 bersamaan 18 Ogos 1922. Beliau dibawa mengembara oleh orang tuanya hingga
ke Singapura dan mendapat pendidikan d Madrasah Al-Junaid al-Islamiyyah antara
1937-1944 dan pernah membuka Madrasah Bustan al-Arifin (1946) dan Madrasah
al-Diniyyah di Singapura. Pada bulan Mei 1966 pernah berkhidmat sebagai guru di
Sekolah Menengah Arab Hasan Al-Bulkiah, Brunei Darul Salam dan Akhir Oktober
1970 kembali ke Singapura. Mulai Ogos 1971 berkhidmat sebagai guru di Madrasah
Al-Junaid dan mulai Februari 1973 dilantik sebagai Pengetua sekolah tersebut
hinggalah akhir Mac 1980. Bergiat di dalam kegiatan yang berhubung dengan
pendidikan Islam dan turut menghasilkan buku-buku yang berhubung dengan
kurikulum pendidikan seperti fiqh, tauhid, sejarah Islam. Beliau juga menyampaikan
pengajian tafsir Al-Qur`an melalui radio Singapura mulai 19 Februari 1959 dan
selesai pada 25 April 1984. Sebelum selesai penyampaian tafsir di Radio
Singapura, pengajaran telah dibukukan pada permulaannya oleh S.A.B. Muhammad
Singapura pada Disember 1961 dan dicetak oleh Percetakana Qalam, Singapura
dalam bentuk yang kemas dan kertas yang lebih baik. Kemudian diterbitkan oleh
Pustaka Al-Mizan,, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur, 1989 dan dicetak oleh Utusan
Print Corp. Sdn. Bhd. dengan kertas yang rendah mutunya.
Cara menyusun dan formatnya menurut Ustaz Ahmad
Sanhaji bahawa;
``Sanya buku ini saya susun, tiap-tiap ayatnya
dari erti, kemudian huraiannya, diterangkan sebab turunnya, ketetapan hukum
dalam ayat tersebut, diberi pula ulasan-ulasan sekadarnya yang tepat dengan
mengesan makna sindiran dan kiasan, disulam pula dengan beberapa Hadith Nabi
s.a.w. serta riwayat-riwayat atau cerita-cerita sejarah, dengan berpandukan
kitab-kitab tafsir yang muktabar selaku
marja` (bahan rujukan) yang lainnya dilakukan oleh penyusun-penyusun tafsir
Al-Qur`an yang menjadi khadam untuk menerangkan Kitab Allah Tuhan Seru Sekalian
Alam dan antaranya, Tafsir Ibn Jarir al-Tabari, Al-Naisaburi, Al-Khazin,
Al-Baghawi, Hashiah al-Jamal `ala al-Jalalayn, Al-Maraghi, Safwat al-Tafasir
... dan lain-lain kitab rencam-rencam yang saya anggap besar
pertolongannya untuk menyampaikan hajat
saya menyusun buku ini, disusun sedemikian rupa dengan harapan selain dari
memudahkan memahaminya, mudah pula hendaknya mengamalkan pengajarannya.``
(Ahmad Sanhaji Muhammad, Ibru Al-Athir,
Pustaka al-Mizan, Kuala Lumpur: 1989: V).
Sebelum masuk kepada pentafsiran ayat-ayat
Al-Qur`an pentafsir memberi panduan terlebih dahulu selepas kata pengantar
dengan memberi pengenalan berkenaan Al-Qur`an. Antaranya kata pentafsir:
Pengenalan Mengenai Al-Qur`an
Al-Qur`an: Ertinya dalam bahasa Melayu
`Bacaan`, lalu menjadi sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi
Muhammad s.a.w. dengan perantaraan malaikat Jibril a.s.
Kandungannya: Dia mengandungi semua perkara
yang meliputi semua kehendak dan hajat manusia. Bolehlah diringkaskan kepada
empat perkara yang besar, iaitu, mengandungi hukum-hukum ibadat, pimpinan
(pentadbiran), Ilmu pngetahuan, cerita-cerita dan lain-lain.
Gunanya: Untuk diamalkan dan disampaikan
pengajarannya.
Kelebihannya: Membacanya sahaja dapat pahala, apa lagi jika mengamalkan
isinya yang telah difaham, berlebih-lebih lagi pahalanya. Dua buah Hadith
diperkukuhkan pembicaraan. Antaranya sebuah Hadith bermaksud:
``Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari bahawa
Nabi s.a.w. bersabda bermaksud:
``Sebaik-baik kamu ialah yang mempelajari
Qur`an dan mengajarkannya.``
Secara ringkas pula pengarang menyatakan
bahawa Al-Qur`an diturunkan bermula di Gua Hira dengan turunnya ayat dari Surah
Al-`Alaq (1-5) pada 17 Ramadhan tahun ke 13 sebelum Hijrah Nabi ke Madinah
bersamaan 6 Ogos 610M.. Al-Qur`an diturunkan secara sedikit demi sedikit
bersesuaian dengan keadaan dalam masa 22 tahun, dua bulan dan 22 hari. Dengan
akhir ayat (Al-Ma`idah: 3) yang menandakan kesempurnaan agama Islam diturunkan
yang berlaku pada 9 Dhul-Hijjah (Hari Arafah) tahun ke 10 sesudah Hijrah..
Al-Qur`an menurut pentafsir dihimpunkan oleh Rasulullah s.a.w. menurut
pertunjuk dari Jibril a.s., kemudian disampaikan kepada sahabat-sahabat yang
sebahagian daripada mereka menghafal dan juga dicatat oleh pencatat-pencatat
Nabi seperti Abu Bakar, Uthman Ibn Affan, Ali bin Abi Talib,, Zaid bin Thabit,
Ubay bin Ka`b, Abdullah bin al-Arqam dan lain-lain.
Selepas Rasulullah s.a.w. wafat pada 13 Rabiul
Awwal tahun 11 H. bersamaan 8 Jun 632
penghimpunan Al-Qur`an mulai dilakukan pada zaman Sayyiduna Abu Bakar, himpunan
disimpan oleh Sayyiduna Umar al-Khattab dan Saydatuna Hafsah anaknya yang
menjadi isteri Rasulullah dan seterusnya diterbitkan secara naskhah pada zaman
Sayyiduna Uthman r.a. yang terkenal sebagai Mashaf `Uthman yang mushaf seperti ini digunakan hingga
kini.
Dengan penerangan latar berhubung dengan
Al-Qur`an memberi kefahaman kepada pendengar dan pembaca dengan lebih jelas, bagi mengikuti
pentafsiran seterusnya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment