Berdepan dengan sebuah tafsir yang besar
setebal 8,171 halaman begitu sukar untuk menyentuh dan membuat penilaian secara
menyeluruh. Dari segi format lahiri sebagaimana pendekatan dibuat oleh
pentafsir-pentafsir yang lain contoh Wahbah Zuhaily dengan Tafsir l-Wajiz dan
Abdullah Basmih dengan Tafsir Pimpinan Al-Rahman kepada Pengertian Al-Qur`an
meletakkan teks Al-Qur`an pada bahagian kanan
ke bawah dengan terjemahan dan tafsiran pada bahagian kiri ke bawah, keadaan
sedemikianlah juga bagi Tafsir Al-Azhar (nama tafsir adalah mengambil nama
Universiti Al-Azhar, mungkin kerana penghormatan terhadap universiti itu yang
mengurnia Iajazah Doktor Falsafah terhadap Hamka). Namun perbezaannya bahawa
bagi Tafsir Al-Wajiz al-Zuhaily dan Pimpinan Al-Rahman adalah teks Al-Qur`an, terjemahan dan
tafsiran berada di dalam satu halaman lengkap bagi terjemahan dan tafsiran bagi
teks berkenaan. Tetapi bagi tafsir Hamka terjemah adalah berada sebelah
menyebelah, tetapi bagi tafsir dan huraian mengambil ruang yang panjang. Ianya
merupakan faktor yang menebalkan kandungan. Sebagai contohnya Surah Al-Fatihah
bagi Tafsir Al-Azhar lengkap dengan teks dan terjemahan pada satu halaman,
tetapi huraian adalah mengambil ruang yang panjang dari halaman 59 hingga 105
bagi jilid pertama. Ini bererti di dalam pembacaan, pembaca tidak dapat
meneruskan secara segera bagi pembacaan tek l-Qur`an, begitu juga bagi pelajar
yang mempelajari kitab tafsir berkenaan tidak dapat merujuk huraian persoalan
kepada teks ssecara terus sebagaimana di dalam tafsir yang
bersifat ringkas seperti Tafsir Al-Wajiz dan Pimpinan Al-Rahman.
Huraian yang panjang sudah tentulah berkaitan
dengan kandungan Al-Fatihah sebagai Umm al-Kitab, dari segi huraian terhadap
konsep dan kandungan basmalah, konsep hamdalah dan pembahagian, konsep
Ketuhanan Allah dan konsep alam, hari kiamat, hubungan hamba dengan Allah dalam
ibadat dan permohonan-permohonan dan begitulah seterusnya dengan kandungan dari
ayat-ayat seterusnya dari segi pembacaannya di dalam solat dan
keperluan-keperluan dari segi kesempurnaan bacaan dalam hubungannya dengan
ibadat. Huraian panjang lebar diberi kepada topik-topik popular seperti tentang
amar makruf, nahi munkar, pepereangan Badar dan Uhud, kosep Islam sebagai agama
Islam sejak dari nabi/rasul terawal hingga kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan
sebagainya.
Dari segi format dan susunan tafsiran bagi
ayat-ayat yang panjang seperti Surah Al-Baqarah, maka bagi memudahkan bagi
mengikuti kandungan maka diberi pecahan tajuk-tajuk utama berdasarkan kandungan
ayat bagi satu juz` bagi juz` yang panjang tanpa surah dengan kandungan
persoalan di dalam satu-satu surah, maka bagi juz` pertama diberi pecahan
kepada 12 pecahan, iaitu: Pendahuluan, Takwa dan Iman, Kufur, Nifaq I, Nifaq
II, Malaikat dan Khalifah, Dakwah kepada Bani Israil, Menyembelih Lembu Betina,
Sopan Santun Dengan Rasulullah s.a.w. Perjuangan Nabi Ibrahim dan Menjadi Imam
Sesudah lulus ujian. Sebelumnya bagi Surah Al-Fatihah dipecahkan persoalan
kepada Al-Fatihah Sebagai Rukun Sembahyang, Di antara Jahar Dan Sirr, Dari Hal
Amin, Al-Fatihah Dengan Bahasa Arab dan kesimpulan
Demikianlah dengan Juz` Surah Ali Imran
dipecah kepada Ayat Muhkam Mutashabihat, Hakikat Islam, Taqiyah, Cintakan
Allah, Keturunan Mulia, Permohonan Zakaria, Mariam Melahirkan Al-Masih
Permohonan Zakaria dan seterusnya.
Manakala bagi Surah Al-Nisa` dipecahkan kepada
persoalan Gundik, Rasulullah dengan Isteri-Isteri, Penyerahan Dengan Saksi,
Ketentuan Warisan, Pemberian Pengubat Hati, Wasiat yang Tegas, Memakan Harta Anak
Yatim, Pembahagian Harta Warisan, Bahagian Untuk Ibu Dan Bapa, Bahagian Suami
atau Isteri dan sebagainya.
Dengan pemberian judul memudahkan pembaca dan
penuntut merujuk persoalan-persoalan, selain dari memudahkan pencarian bagi
ayat-ayat yang membawa persoalan-persoalan tertentu.
Sebagaimana pendekatan umum bagi tafsir-tafsir
yang lain Hamka juga mengambil pendekatan popular di dalam tafsiran iaitu
tafsir Al-Qur`an dengan Al-Qur`an dan tafsiran Al-Qur`an dengan Hadith, tetapi
Hamka nampaknya tidak cenderung untuk merujuk kepada pendapat tabi`ain atau
atba` al-Tabi`in atau riwayat-riwayat tidak jelas dan tidak releven. Beliau
juga agak kurang membuat rujukan kepada tafsir-tafsir klasik, bahkan kurang
terhadap tafsir-tafsir semasa yang disanjunginya. Beliau sebaliknya di dalam
tafsirnya turut mengambil puisi-puisi yang releven yang dijadikan hujah dan
contoh di dalam tafsirnya. Misalnya bila membicarakan tentang agama dan dunia beliau memetik puisi yang
dapat diterjemahkan sebagaimana berikut:
Alangkan indah agama dan dunia apabila
berhimpun
Alangkah huduhnya kufur dan maksiat
dipertonton (hlm. 724)
Atau apabila membicarakan tentang dosa dan
kelemahan diri manusia, beliau memetik puisi Al-Imam al-Shafi`e yang terkenal
dan menjadi tasbih dan tabhil bagi ramai orang yang meminatinya. Puisi
berkenaan bermaksud:
Tuhanku aku tidak layak menghuni syurga Firdausi
Tapi ku tidak terdaya terdera di dalam neraka
Jahimi
Kurniakan daku taubat dan ampunlah dosaku
Sesungguhnya Engkau Pengampun sebesar dosa itu
(hlm. 741).
Dan apabila berbicara tentang cinta Ilahi
pentafsir mengukuhkan tema kecintaan ini dengan puisi terkenal bermaksud:
Kau menderhaka Allah sambil menyatakan cinta
Ini mustahil dengan perbuatan nyata dusta
Kiranya sebenar engkau mematuhi yang dicinta
Sesungguhnya yang bercinta kepada kekasihnya
setia (hlm. 757).
Dari segi rujukan pentafsir bukan saja kurang
rujukan kepada pendapat-pendapat yang dikira kontroversi dan sesuatu boleh
dianggap Israiliyat. Tetapi pentafsir dapat dikatakan bersifat terbuka dengan
pendapat-pendapat semasa. Contoh pendapat tentang penyembelihan oleh
penyembelih Kristian yang dikaitkan
dengan Dr. Syeikh Abdul Rahman Taj Bekas Rektor Universiti Al-Azhar, ketika
beliau belajar di Paris (hlm.1627), begitu juga dengan kedudukan hukum berhubung
dengan anjing yang begitu keras di sisi mereka yang berpegang pada Mazhab
Shafie.
Hamka cuba mendekatkan tafsiran kepada bersifat
semasa yang pendapat dan contoh-contoh antaranya bersifat semasa agar pembaca menghayati kandungan dan merasa
kandungan mempunyai kaitan dengan pengalaman semasa.
Tafsir Al-Azhar dapat dikatakan Tafsir Fikiran,
tetapi berasaskan sumber kukuh dari Al-Qur`an dan Hadith dan sumber-sumber yang
releven.
Sekian.
No comments:
Post a Comment