August 13, 2015

Tarjuman Al-Mustafid Terjemahan Tafsir Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Ta`wil - Permulaan


BBB,  27 Syawal 1436 = 12 Ogos 2015 (Rabu):


Kitab Tarjuman al-Mustafid adalah tafsir terawal dalam bahasa Melayu secara terjemahan dilakukan oleh  Shaykh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri terhadap tafsir Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta`wil oleh Shaykh Abdullah Umar bin Muhammad al-Shirazi al-Baydawi – secara ringkas dikenali sebagai Tafsir Baydawi. Shaykh Abdul Rauf (1615-95M.) adalah salah seorang ulama terkenal di Aceh pada abad ke 17M. Beliau yang juga dikenali sebagai Abdul Rauf Singkel tempat kelahiran beliau di kawasan pantai barat Aceh. Di dalam kitabnya yang berjudul Umdat al-Muhtajin beliau menyatakan bahawa beliau berada selama 19 tahun di Tanah Arab berguru antaranya dengan Shaykh Ahmad al-Qushashi (m. 1661M.) dan juga berguru dengan Shaykh Ibrahim al-Kurani Murid Shaykh Ahmad Al-Qushashi di Makkah. Selain dari menuntut di Makkah dan Madinah, beliau juga belajar di Yaman. Beliau kembali ke Acheh dan membuka pondok pengajian di Singkel di Kuala Sungai Aceh (Beliau juga dikenali sebagai Teungku Shaykh Kuala) pada zaman Sultanah Safiyatuddin Tajul Alam Shah Permaisuri dan Pengganti Sultan Iskandar Thani yang memerintah Aceh (1641-1675). Beliau adalah merupakan Ulama` Istana bagi Sultanah Safiyatuddin Tajul Alam Shah. Semasa bergiat di dalam pengajaran dan selaku Ulama Istana inilah beliau menghasilkan kitab-kitab antaranya Tarjuman al-Mustafid terjemahan terhadap Tafsir Baydawi, Umdat al-Muhtajin (fiqh), Mir`at al-Tullab (fiqh) dikarang di atas permintaan Sultanah Safiyatuddin, Kifayat al-Muhtajin (Tasawuf). (T.Iskandar, Abdurrauf Singkel Tokoh Shatariyah (Abad 17), Dewan Bahasa, Mei, 1965: 195-200).
Berhubung dengan usaha Shaykh Abdul Rauf menghasilkan Tafsir Tarjuman al-Mustafid ini Richard Winstedt mencatat:
``He did a Malay translation, not always accurate, of Baidhawi`s commentary On the Qur`an, which was published as recently as 1884 at Constantinople.`` (Winstedt, R., A History of Classical Malay Literature, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1969: 147-148).
Penghasilan kitab Tafsir Tarjuman al-Mustafid pada abad ke 17 ini pada awalnya adalah tersebar secara salinan tangan dan terawal tercetak sebagaimana disebut oleh Winsdeth ialah pada 1884 di Turki, iaitu pada zaman Turki merupakan kuasa Empayar Islam yang kuat dn Aceh mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan tersebut dan kitab berbahasa Melayu dapat diterbitkan di sana selain dari di Makkah dan Mesir berikutnya menjadi tempat penerbitan kitab-kitab bahasa Melayu sebelum lahirnya percetakan di Singapura dan Penang..
Kitab Tarjuman al-Mustafid kemudiannya dicetak di percetakan Sulayman Mar`i di Singapura. Tafsir Tarjuman al-Mustafid yang Penulis gunakan ialah terbitan Sulaiman Mari`, Singapura pada tahun 1370H./1951M. Cetakan ke 4 dalam dua bahagian setebal 610 halaman. Bahagian pertama bermula dari Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah. Bahagian kedua bermula dari Surah Al-Kahfi sehingga akhir Surah al-Nas. Menurut penerbit bahawa kitab tafsir ini telah ditashih oleh Shaykh Abdul Rauf al-Marbawi al-Azhari seorang ulama Melayu yang tinggal di Mesir dan menerbitkan kitab-kitab dan antara yang terkenal ialah Kamus al-Marbawi. Teks bagi tafsir ini dirujuk kepada Al-Fadhil Shaykh Ali al-Dhabba`i seorang qari dan rujukan pengajian Al-Qur`an terkenal di Mesir.
Kitab tafsir Tarjuman al-Mustafid adalah berukuran kitab biasa iaitu 30 x 20 sm setebal 610 halaman yang pada halaman permulaan bagi bahagian pertama diberi tulisan berwarna merah dengan hiasan pada bahagian tepi, manakala bagi Surah Al-Fatihah dan halaman bagi awal Surah al-Baqarah berwarna hijau dengan hiasan kelilingnya berwarna hijau. Bagi bahagian kedua menjadi sebalik, iaitu muka awal bagi bahagian kedua berwarna hijau dan hitam dengan hiasan keliling, manakala Surah Al-Kahfi, teksnya dengan kelilingnya berwarna merah. Adapun bagi surah-surah yang lain diberi hiasan pada bahagian atas, tetapi semuanya berwarna hitam sama dengan teks dan huraian tafsir.
Sebagaimana judul kitab, iaitu:
Al-Qur`an Al-Karim Wa Bi Hamishihi – Tarjuma Al-Mustafid
Bermaksud: Al-Qur`an Al-Karim Dan Di Tepinya Tarjuman al-Mustafid
Maka sedemikianlah format kitab tafsir ini, iaitu pada bahagian tengah kitab adalah teks Al-Qur`an Al-Karim secara seturut dan  lengkap. Teks Al-Qur`an adalah berada betul-betul pada bahagian tengah, pada kanan dan kiri halaman, manakala pada bahagian atas, kanan dan di bawah adalah tafsiran, manakala pada bahagian kiri, atas kiri dan bawah adalah tafsiran. Dengan kedudukan teks Al-Qur`an pada bahagian tengah  berterusan halaman demi halaman, tafsiran adalah dibuat lengkap bagi halaman berkenaan. Di dalam tafsir adalah diperturunkan kembali teks Al-Qur`an pada bahagian tengah dan diberi tafsiran bagi ayat-ayat secara seturut bermula dari ayat permulaan teks dan berakhir dengan teks hujung halaman dan demikian dengan tafsiran. Ini bererti bahawa format kandungan dihasilkan dengan teliti dari segi panjang dan pendek sehingga dapat dimuat sempurna dengan ayat Al-Qur`an dan tafsiran bagi satu-satu halaman. Bagi kitab tafsir Tarjuman al-Mustafid ini tidak diberi sebarang ruang bagi kata pendahuluan, selepas nama bagi kitab pada halaman pertama terus diikuti dengan tafsir bagi Surah Al-Fatihah bagi bahagian separuh pertama dan bagi bahagian separuh kedua, ialah nama bagi tafsir bagi separuh kedua dan berikutnya terus bermula dengan tafsir Surah Al-Kahfi. Ini bererti kita tidak mendapat maklumat tentang pengarang dan kepengarangan bagi kitab tafsir. Kecuali pada bahagian akhir kitab bagi separuh pertama dan kedua disertakan senarai surah-surah pada helaian tambahan. Dua halaman senarai tambahan bagi separuh bahagian pertama dan sehalaman bagi separuh bahagian kedua. Yang menarik bagi surah-surah yang diberi huraian tafsir dengan menyertkan kisah-kisah (cerita-cerita), maka bagi cerita-cerita berkenaan diberi helaian rujukan. Misalnya bagi Surah Al-Kahfi ada diberi tiga kisah, iaitu:
Kisah adalah apabila berbalik mereka itu - hlm. 296
Kisah tatkala ditanyai oleh orang Makkah - hlm. 297
Kisah bahawasnya tiada ada masuk -  hlm. 303
Demikianlah dikuti oleh Surah Maryam dan senarai kisah di bawah:
Kisah adalah pada langit yang keempat -  hlm. 310
Kisah tatkala lambat datang wahyu - hlm. 310.
Begitulah seterusnya dengan surah-surah dan kisah-kisah yang disertakan di dalam surah-surah berkenaan.    
Tafsir  Tarjuman Al-Mustafid sebagai tafsir permulaan di dalam bahasa Melayu amat menarik, khususnya untuk dijadikan kajian. Banyak aspek yang dapat dibicarakan.

Sekian.        

No comments:

Post a Comment