August 2, 2015

Mendepani Al-Qur`an - Pentingnya Pengajian Tafsir


BBB,  16 Syawal 1436 = 01 Ogos 2015 (Sabtu):


Dengan membaca Al-Qur`an secara tartil, ditambah lagi dengan kemerduan suara pembacanya cukup memberi kekhusyukan dan kekudusan bagi yang membaca dan yang menghayatinya. Bahkan memberi kejutan dan kekaguman seperti yang dialami oleh Umar al-Khattab pertama kali mendengarnya yang membawa kepadanya menerima Islam, juga sebagaimana yang dialami oleh Al-Walid Ibn al-Mughirah seorang pakar bahasa dan sasterawan bahasa Arab pertama kali mendengarnya dan terloncat darinya kata-kata kekaguman dan memuji keindahannya !
Tetapi bagi umum, bagi yang membaca dan yang menghayatinya, iaitu semata-mata bacaan, Al-Qur`an membawa suasana berlainan, dari biasa kepada suasana tenteram dan membawa mood kekudusan, bahkan membacanya di dalam konteks ibadat seperti di dalam solat membawa kepada suasana ibadat dan keintiman hubungan dengan Tuhan – Mi`raj rohani dan Munajat !.
Tetapi di luar dari pengalaman kejutan dan kekaguman yang kita tidak sampai kepada taraf sedemikian, apakah yang kita mau ketahui sebagai pelajar dan pengaji berdepan dengan Al-Qur`an ? Sudah tentulah mengenai kandungan yang ada di dalamnya. Sebenarnya berdepan dengan Al-Qur`an, bukan saja bagi yang tidak mengetahui bahasa Arab, bahkan yang mengetahui bahasa Arab, tidak mampu memahami kandungan secara konteks, jika setakat mengetahui bahasa Arab sahaja. Ia mungkin dapat memasang makna secara harfiyah dan menanggapinya secara selapis sahaja. Di dalam hal ini adalah pentingnya mempelajari tafsir beserta ilmu-ilmu bantu bagi memahami kandungan, khususnya bagi mereka yang terlibat dengan bidang dan kerjaya yang mempunyai kaitan dengan Al-Qur`an, sebagai contoh bagi mufti, kadhi, peguam syar`i, para pensyarah, guru-guru agama dan pengamal agama Islam.
Berdepan dengan Al-Qur`an dan membacanya secara teliti dan mendalam kita mau tahu pada lapisan permukaan ialah makna dan maksud ayat atau ayat-ayat yang dibaca. Tetapi seharusnya bagi yang membaca sebagai kajian bagi mengetahuinya secara mendalam membaca terlebih dahulu tentang latar dan kaitan nuzul Al-Qur`an dengan kebangkitan Rasulullah menjadi Rasul dan dakwah Baginda yang mempunyai pertalian rapat dengan penurunan Al-Qur`an dan kandungan ayat-ayat.
Membaca Al-Qur`an, contoh membaca Surah al-Fatihah, kita membcanya dan mengetahui maknanya dari pengertian bahasa yang kita pelajari dari guru-guru yang mengajar tentang solat yang memberi ertinya secara tidak langsung. Tetapi membacanya secara lebih dari bacaan permukaan, kita memahaminya secara serentak dengan kedudukan dari segi nahu, tetapi secara lebih dalam lagi kita memahaminya dari segi pembelajaran tentang konsep Ketuhanan Allah yang bersifat Rahman dan Rahim dan perbezaan maksud dari kedua peristilahan tersebut. Kita juga memahami konsep pandangan wujud dari Allah yang Abadi kepada konsep pandangan wujud tentang alam  yang nisbi (fana) dan hubungan mengenai Tuhan bagi sekalian alam dan mengapa perlunya `Pujian` terhadap Tuhan sekalian alam tersebut. Alam pula bukan setakat alam nyata tetapi alam ghaib, termasuk `Hari Akhirat` - `Yaum al-Din` yang menjadi sebahagian dari kepercayaan yang merupakan satu daripada rukun Iman.
Pemahaman juga berkait dengan persoalan nahu dan bahasa, bagaimana susunan bahasa, mengapa disusun bahasa, iyyaka` mendahului `na`budu` yang merupakan maf`ul bih mendahulu fi`il mudari` dan fa`il dan mengapa digunakan dengan fi`il mudari`, begitu juga dilihat dari susunan nahu bagi `iyyaka nasta`in` yang polanya sama dengan ayat  iyyaka na`budu. Ini adalah mencerminkan keutamaan fokus kepada `Engkau - Tuhan` dan penegasan dan keperluan tentang `na`budu` dan `nastai`n.
Kalau kita lihat dari segi nahu dan ayat bahawa sebelum ayat `iyyaka na`budu` dan `iyyaka nasta`in` adalah semuanya dalam jumlah ismiyyah, mengapa kepada ayat tersebut bertukar kepada jumlah fi`liyyah yang berkait dengan masa. Antaranya jumlah sebelumnya mencerminkan keabadian yang Esa yang tidak tertakluk oleh masa dan tempat, sedang makhluk, khususnya manusia dan alam adalah tertakluk dengan masa dan kefanaan. Iaitu wujudnya elemen yang berubah, lantaran itu perlu kepada pertolongan di dalam memasti dan penetapan `Al-Sirat al-Mustaqim`.
Signinicant juga dari segi pertukaran jumlah fi`liyyah dari fi`il mudari` bagi kedua ayat disebutkan, bertukar kepada jumlah fi`il amar termasuk fi`il madhi dalam ungkapan `an`amta `alayhim` (nikmat telah diberi itu dipohon turut terus diberi kepada kami) yang secara nahu dan bahasa  dapat dilihat di dalam surah al-Fatihah sebagaimana ianya disebut sebagai inti Al-Qur`an, maka di dalam surah ini juga lengkap dengan contoh-contoh ilmu nahu dan saraf.
Dari segi balaghah juga dapat dilihat kehalusan bahasa Al-Qur`an yang tersusun dari jumlah ismiyyah (mubtada` dan khabar`) dan jumlah fi`liyaah yang ada fi`il madi, mudari` dan amar dan ada dengan haraf, kita lihat dari gaya bahasa dalam mana  pertukaran dari orang pertama, kepada orang kedua dan ketiga dari maksud `Jalan yang engkau beri nikmat ke atas mereka itu`, tetapi bagi maksud `tidak yang dimerkai di atas mereka itu` secara balaghahnya tidak disebutkan mereka secara langsung (mereka) dan tidak mengaitkan dengan masa, begitu juga mereka yang sesat, juga tidak dikaitkan dengan masa, yang seolah-olah sesuatu yang perlu dijauhkan `jalan yang dimurkai dan sesat` bagi segala masa. Dari segi damir, terdapat sebutan yang lengkap dan berubah dari,  kami, engkau, mereka – orang pertama, kedua dan ketiga.
Dari satu segi susunan ayat di dalam al-Fatihah semacam percakpan dan dialog antara hamba dan Tuhan dan bukan sebagai penceritaan dan pernyataan semata-mata. Sememangnya terdapat Hadith yang menyatakan tentang dialog percakapan dan dialog di dalam surah al-Fatihah ini (Riwayat Abu Hurirah – Hadith Bukhari). Ini mencerminkan suasana keintiman antara hamba dengan Tuhan yang lebih menimbulkan suasana yang komunikatif dan intim. Penekanan dari segi hamba di dalam al-Fatihah lebih merujuk kepada kumpulan dan jamaah yang menyebut, kami dan mereka. Ini juga mencerminkan kehidupan di dalam masyarakat Islam adalah secara berjamaah. Ia juga mencerminkan bahawa di dalam membaca l-Fatihah di dalam solat adalah merujuk kepada galakan bagi hamba sentiasa berjamaah.
Selain dari mengetahui maksud dalaman adalah menjadi lebih menarik mengetahuinya dari segi penurunan ayat ini dan kepentingannya sebagai part and parcel bagi pemahaman terhadap kandungan Al-Qur`an.
Ini adalah merupakan secebis tnggapan terhadap al-Fatihah yang juga dikenali sebagai `Umm al-Kitab dan Al-Sab` al-Mathani`. Tentulah di sana huraian-huraian yang lebih mendalam bila dipelajari melalui  pengajian tafsir. Demikianlah dengan ayat-ayat Al-Qur`an yang lain yang berdepan dengannya lebih dari berdepan lautan keilmuan yang tidak bertepi. Di sinilah pentingnya pengajian tafsir sebagai pengajian pada peringkat tinggi dan penting bagi memahaminya kepada keilmuan-keilmuan bantu yang membantu kita ke arah memahami kandungan dan rahsia Al-Qur`an itu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment