October 23, 2015

Tradisi Aqidah Dari Zaman Nabi Ibrahim A.S.


BBB,  09 Muharram 1437 = 22 Oktober 2015 (Khamis):


Setiap rasul-rasul yang diutuskan kepada umat masing-masing adalah membawa agama Islam bermula dari Nabi Allah Adam a.s. sehinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Intisari terpenting dan tidak ada perbezaan antara mereka ialah mengenai `Aqidah Tauhid`. Sebagaimana telah dibicarakan Nabi Ibrahim adalah Rasul Unggul (Antara Rasul Ulu al-Azmi) yang bertalian darinya rasul-rasul termasuk Nabi Ishaq dan Nabi Ismail yang turunannya (Nabi Ismail) bertalian dan berkesinambungan hingga kepada Nabi Muhammad s.a.w. Di dalam Surah Ibrahim (14) ditegaskan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bahawa peranan Baginda ialah membawa pegangan aqidah yang betul (Aqidah Tauhid) – Contoh lihat (Muhammad Al-Ghazali, `Aqidat al-Muslim, Dar al-Qalam, Damshiq-Beirut, 1403/1983: 235hlm.) yang dengannya dapat  mengeluarkan manusia dari kegelapan (syirik) kepada cahaya (aqidah Tauhid) sebagai jalan lurus (14.1 & 19 & 32). Dengannya tidak timbul keraguan bahawa Allah Yang Maha Esa Pencipta langit dan bumi (14.10).
Sebagai satu tafsiran `Kalimah Tayyibah` yang terdapat di dalam Surah Ibrahim ialah `Kalimah Tauhid` yang membandingkannya sebagai pokok yang baik dan subur yang berakar tunjang kukuh di bumi dan dahan-dahannya berkembang luas di langit dengan mengeluarkan buah berterusan kepada yang memakannya (14.24-25).
Sebagaimana Nabi Ibrahim unggul dari segi jalur keturunan, maka Baginda juga unggul dari pengukuhan dari tradisi aqidah tauhid. Nabi Ibrahim dilahir dan dibesarkan di tengah masyarakat syirik yang Raja yang memerintah pada zamannya ialah `Raja Namrud`, iaitu sekitar 2,000 tahun Sebelum Masihi. Bagi Ibrahim, sungguhpun masyarakat, bahkan ayahnya Aazar sebagai tukang membuat berhala, tetapi Ibrahim tidak terpengaruh dengan sikap dan amalan mereka, bahkan Baginda mempersoalakan  tindakan menyembah berhala yang ditukangi tangan sendiri.
Sejak Ibrahim meningkat remaja Ibrahim mencari-cari hakikat `Ketuhanan` yang sebenarnya. Ayat Al-Qur`an menggambarkan tentang pencarian Ibrahim bermaksud:
``Ketika hari telah malam, Ibrahim melihat bintang (planet), katanya ``Inikah Tuhanku ?``, tetapi setelah dilihat bintang terbenam, maka ia berkata, ``Aku tidak akan bertuhan kepada yang terbenam.`` Setelah itu ia melihat pula akan bulan purnama mengambang yang memancarkan cahayanya benderang, lalu ia berkata pula, ``Inikah Tuhanku ?`` Tetapi setelah bulan itu lenyap, maka hilang pulalah pendapatmya tentang  Tuhan dengan bulan, seraya ia berkata, ``Kalau Tuhan tidak menunjukkan, necaya aku dari kalangan mereka yang sesat.`` Pada waktu siang kelihatan pula cahaya matahari bercahaya, maka katanya, ``Ini Tuhanku, ini lebih besar.`` Tetapi apabila matahari juga hilang, ia berkata, wahai kaumku, ``Aku bersih dari perbuatan syirik kamu. Sesungguhnya aku mengarahkan wajahku mendepani kepada Pencipta langit dan bumi yang aku berkeadaan Hanif (Bersih) . Tidaklah aku dari kalangan mereka yang mengamalkan syirik.`` (Al-An`am: 76-79).
Jelas sejak zaman remaja Ibrahim mencar-cari hakikat Ketuhanan yang sebenarnya,
Dengan kesedaran itu, dia bertanya bapanya berhubung dengan berhala-berhala yang disembah. Bapanya menjawab ia sekadar mengikuti apa yang dipraktikkan oleh kaumnya. Ibrahim mengigatkan kepada kaumnya yang nenek moyang mereka adalah di dalam kedaan sesat yang nyata (Al-Anbiya`: 51-54).
Nabi Ibrahim yang menerima Perutusan dari Allah mendakwahkan kepada kaumnya apabila mereka tertanya-tanya apakah dia membawa perkara yang benar atau mereka dipermain-mainkan. Nabi Allah Ibrahim menerangkan kepada mereka.  Bahawa Tuhan sebenar Dialah Yang Menciptakan langit dan bumi  (Al-Anbiya`: 56).
Selepas daripada itu, semasa ketiadaan mereka, Ibrahim telah bertindak memusnahkan berhala-berhala yang disembahkan mereka  dan menggantungkan kapak yang digunakan pada berhala terbesar. Keadaan ini menggemparkan masyarakatnya, Ada antara mereka yang melihat perbuatan yang dilakukan oleh Ibrahim. Beliau ditanya tentang perbuatannya. Ibrahim menyuruh mereka bertanya terhadap berhala terbesar, kiranya `sebagai Tuhan` kalau dia dapat bercakap. Ibrahim mengingatkan mereka menzalimi diri mereka dengan perbuatan sia-sia mereka. Mereka tidak sepatutnya menyembah berhala, sekiranya mereka berakal (Al-Anbiya`: 57-67).
Dengan kesedaran yang timbul dalam dirinya dan dengan pengangkatan dirinya menjadi Rasul Nabi Ibrahim berusaha mendakwahkan bermula kepada bapanya agar tidak menyembah berhala yang disifatkan tidak berfaedah dan apa yang dibawa adalah kebenaran dan keilmuan yang merupakan jalan yang betul. Beliau mengingatkan bapanya tidak terjatuh ke dalam tipu daya syaitan dan beliau mau menyelamatkannya dari azab pada hari akhirat (Maryam: 41-45).
Nabi Ibrahim juga berdakwah ke tengah masyarakat, tetapi masyarakat yang tebal dengan budaya menyembah berhala telah sekian lama tidak mudah diubahkan. Sebaliknya dakwah Nabi Allah Ibrahim dianggap mengancam pegangan turun temurun masyarakat, lantaran itu baginda diperintah ditangkap bahkan dibakar di dalam apai bernyala. Namun sebelum perintah dijalankan Nabi Ibrahim berdakwah dan mengingatkan tentang perbuatan penyembahan mereka terhadap berhala yang tidak memberi manfaat dan tidak juga memberi mudarat yang sepatutnya mereka berfikir (Al-Anbiya`: 66-67).
Namun bila Ibrahim dibakar Allah menyelamatkannya dari bakaran dengan menyejukkan situasi semasa bakaran. (Al-Anbiya`: 68-69).
Jelas dari gambaran yang dipaparkan, kita dapati usaha menegakkan kalimah tauhid ketara dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s.    Ini adalah dari pengalaman pencariannyanya, pegalamannya dari melihat perbuatan kaumnya menyembah berhala yang disifatkan sebagai sia-sia. Serta keyakinannya tentang Hakikat Ketuhanan yang bersifat Pencipta, Berkuasa dan Mengetahui dan sifat-sifat sempurna yang lain. Asas tauhid yang didakwah oleh Nabi Ibrahim ini dikenali sebagai pegangan yang bersifat `Hanif` bagi muslim. Meskipun semua rasul dan nabi-nabi membawa aqidah tauhid yang sama dan tidak berubah dan tidak berbeza antara rasul-rasul dan nabi-nabi, tetapi didapati sumber dan pengolahan tentang aqidah tauhid ketara  berlaku bagi peringkat permulaan pada zaman Nabi Ibrahim. Komitmen baginda, tidak setakat bersifat mencari, menghayati, mendakwah dan berusaha mengubah sikap dan amalan kaumnya, tetapi komitmen tinggi Nabi Ibrahim, bahawa baginda mengalamai ancaman dari kaum yang didakwah dengan membakar dirinya ke dalam api yang benyala.
Apa yang kita pegangi dan amalkan kini dari segi pegangan aqidah tauhid adalah lanjutan dari wibawa besar Nabi Ibrahim yang akidah tauhid dari agama Hanif ini berlanjutan dan terus dikembangkan hingga kini.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                

No comments:

Post a Comment