Surah Al-Ra`d (13) adalah Makkiyyah
mengandungi 43 ayat.
Berbagai pendekatan wahyu yang diterima oleh
Nabi Muhammad s.a.w. sebagai dakwah dan panduan ummah. Ada yang langsung
bersifat prinsip-prinsip aqidah, ada yang bersifat maklumat tentang perjalanan
ummah-ummah sebelumnya, ada yang bersifat perintah dan larangan, ada yang
bersifat cerita dan ada yang dihadapkan dengan pembuktian bersifat ilmu yang
penerima dapat menilai kandungan dan kebenaran. Mereka seharusnya membuat
pertimbangan rasional dan sepatutnya menerima kebenaran yang dihadapkan kepada
mereka. Sebarang penolakan yang bersifat ilmu yang jelas mengandungi kebenaran,
bererti mereka anti keilmuan dan anti kebenaran.
Surah Al-Ra`d yang bererti `Surah Guruh`
adalah membawa tema dan persoalan yang berhubung dengan sains alam, khususnya
yang berhubung dengan fenomena langit bumi yang memberi kesan kepada kehidupan
dan kelangsungan kehidupan di bumi, iaitu satu realiti yang manusia saksi,
alami dan berlangsung dengan kelangsungan alam itu sendiri. Sebagai pendekatan
permulaan manusia dibentang dengan
kenyataan, bermaksud:
``Allah jualah yang menjadikan langit
terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya.
Kemudian Ia bersemayam di atas `aras. Dan Dia memudahkan matahari dan bulan
yang setiap satu beredar menurut ketentuan masa yang ditetapkan. Allah jua Yang
Mentadbir segala urusan. Ia menyerlahkan tanda-tanda kekuasaanNya satu persatu
supaya kamu dengan pertanda-pertanda ketuhanan itu kamu mendapat keyakinan
(13.2).
Pemaparan ayat Al-Qur`an di atas adalah bagi
mencelikkan minda masyarakat Jahiliyyah pada zaman Baginda Rasulullah s.a.w.,
bahkan pada zaman kita ini, yang barangkali memandang seperti biasa fenomena
alam hingga kerana terlampau biasa menjadikan pengalami-pengalaminya tidak
kisah sama ada faham atau tidak.
Ayat Al-Qur`an menganjurkan agar melihat
fenomena alam sebagai pertanda kekuasaan Tuhan. Bahawa alam fizikal kita ini
terdiri dari langit atau difahami sebagai angkasa dan kandungan dan bumi
(sebahagian daripadanya) di dalam mana manusia dan kehidupan-kehidupan yang
lain hidup. Sesungguhnya Allah menjadikan matahari dan bulan dalam mana bumi
dan bulan bergerak di atas orbit masing-masing mengelilingi matahari.
Pergerakan ini juga disertai planet-planet dan gugusan-gugusan bintang-bintang
yang masing-masing bergerak di atas orbit masing-masing. Kewujudan matahari,
bulan, bumi, planet-planet dan bintang-bintang bukan sekadar bergerak. Tetapi
memberi kesan kepada kesemua kejadian yang dicipta Tuhan. Daripada pergerakan,
misalnya bagi bumi yang menjadi tempat kehidupan manusia menghasilkan siang dan
malam, menghasilkan musim-musim, daripada pertukaran siang dan malam menjadi
kiraan kehidupan dari hari, minggu, bulan , tahun, dekad, abad, milinium dan
seterusnya. Di dalamnya manusia dan hidup-hidupan yang lain meneruskan
kewujudan. Di dalam kehidupan yang terus bergerak manusia hidup bekerja,
mendapat rezeki dari pertukaran hari, hujan dan panas, menumbuhkn
tumbuh-tumbuhan dan menghasilkan bahan-bahan pertanian bagi makanan dan hidup
berkeluarga di atas muka bumi bagi meneruskan kelangsungan.
Di dalam hal ini ayat Al-Qur`an mengisyaratkan
bermaksud:
``Dan Dialah menjadikan bumi terbentang luas
dan menjadikan padanya gunung ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang
mengalir) dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, ia jadikan padanya pasangan –
dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya
semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu)
berfikir (13.3).
Proses ke arah fenomena alamiah di atas bergantung pada cuaca, angin dan hujan yang
menyuburkan tanam-tanaman. Antara fenomena alam yang berlaku bagi mewujudkan hujan
bagi menyubur dan menghidupkan tumbuh-tumbuhan.
Di dalam ayat Al-Qur`an menyebutkan bermaksud:
``Dialah yang memperlihatkan kilat kepada kamu
untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya
hujan) dan Ia menjadikan awan tebal dan berat (dengan air). (13.12).
Maha Besar Allah yang mengatur proses alamiah
yang menyedialah keperluan hidup. Bahawa kewujudan laut dan daratan, kewujudan
matahari dan bulan ada hubungan dengan pertukaran musim pada bumi yang bergerak
menurut peraturan yang menghasilkan musim-musim. Panas matahari menyedut air
dari lautan dan melalui angin mengarakkan awan hitam dan menggugurkannya di
perbatasan gunung dan tanah-tanah dikejauhan yang darinya mengalirkan alur dan
sungai dari hulu ke kuala. Dari bantuan air yang diturunkan bumi subur, manusia
bertani dan bercocok tanam dan menghasilkan bahan-bahan makanan yang mereka
bergantung hidup dari hasil tanam-tanaman dikurniai Tuhan, begitu juga turut
bergantung hidup-hidupan yang lain yang dijadikan antaranya untuk kepentingan
manusia itu sendiri.
Ayat Al-Qur`an menegaskan lagi bermaksud:
``Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu
membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadar yang ditetapkan
Tuhan untuk faedah makhlukNya.`` (13.17).
Juga ayat Al-Qur`an menerangkan bermaksud:P
``Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang
berdekatan (tetapi berlainan keadaannya), dan padanya ada kebun-kebun anggor
dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan tidak
berumpun, semuanya disiram dengan air yang sama dan Kami tambahkan buah
setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya).
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi
orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya. (13.4).
Sesungguhnya Allah membentangkan realiti
fenomena Alam yang dialami manusia dan menjadi sebahagian dari proses kehidupan
manusia itu sendiri, bagaimanakah manusia mau menafikannya ? Lebih-lebih anih,
jika manusia mengakui dengan pengalaman
kehidupan yang dilalui, mengapa dari kalangan mereka tidak beriman ?
Sekian.
No comments:
Post a Comment