Dari satu dimensi imaginasi terpandang, cerita
`Kisah Yusuf` ini sebagai cerita melodramatik-estetik yang mengakhiri cerita di
atas pentas dalam mana watak-watak utama
yang terlibat muncul di atas pentas mengakhiri cerita secara insaf-syukur yang
di dalamnya sarat dengan pengajaran.
Walau bagaimana sebagai satu kisah yang
disifatkan oleh Al-Qur`an sebagai `Ahsan al-Qasas (Kisah Terbaik) yang bermula
dengan intro terbaik ``Masuk ke alam cerita bermula dengan ta`wilan mimpi` dan
pada pengakhiran, khalayak yang masih terpegun dengan suasana
melodramatik-estetik tersentak dengan pengakhiran ungkapan bagi cerita – Ayat Al-Qur`an
bermaksud:
``Wahai ayahandaku ! Inilah dia ta`bir mimpiku
dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku benar.`` (12.100).
Sesungguhnya selepas Yusuf memperkenalkan
dirinya kepada saudara-saudaranya, maka tindakan selanjutnya bahawa Yusuf
mengutuskan saudara-saudaranya kembali menemui bapa mereka bagi menyampaikan
berita gembira dan membawa ibu (tidak diberi perhatian dalam cerita) dan bapa
mereka ke Mesir.
Di dalam cerita di samping banyak
elemen-elemen dramatik, terdapat penggunaan elemen pemberian `Kuasa Tertinggi` yang dikenali juga sebagai
`Mu`jizat`. Umpamanya bersama dengan perutusan saudara-saudaranya dibekalkan
`Baju Yusuf` kepada bapanya sebagai mengubati kerinduan bapanya (perhatian baju
juga menjadi elemen cerita yang digunakan oleh saudara-saudara Yusuf sebagai
bukti dusta kematian Yusuf dengan darah dusta pada bajunya) (12.18).
Ayat Al-Qur`an menyebut bermaksud:
``Pergilah kamu dengan membawa bajuku ini,
kemudian letakkan dia pada wajah bapaku (insya Allah) dapat mengembalikan
penglihatan (kabur dek berterusan mengalir air mata kesedihan), dan selepas itu
bawalah kepadaku keluarga kamu sekalian.`` (12. 93).
Bukti kerasulan dengan elemen kemu`jizatan
juga digunakan yang lebih menghidupkan kekudusan suasana dan kemurnian jiwa,
bahawa tatkala perutusan anak-anak Ya`kub yang pulang Ya`kub dapat menghidu bau
Yusuf – melalui baju kirimannya (12.94). Ungkapan ini mencerminkan betapa intim
dan mendalamnya ingatan Ya`kub terhadap Yusuf yang dilambangkan betapa Ya`kub
dapat mengingat dan membezakan bau Yusuf dari yang lain-lain. Sesungguhnya dari
keberkatan Yusuf dan Ya`kub juga, apabala kafilah tiba ke kediaman Ya`kub dan
baju yang dikirim dilapkan ke wajah Y`akub, maka rabun matanya kembali pulih
dan dapat melihat dengan baik (12.96). Episod ini dapatlah dilihat sebagai
episod lanjutan dari episod Yusuf memperkenalkan dirinya semasa di Mesir dan
puncaknya ialah dengan pertemuan Ya`kub dengan anaknya Yusuf dibawa oleh
saudara-saudara Yusuf ke Mesir. Episod ini (episod ke 7 dan kejutan ke 5)
adalah puncak dari siri-siri dramatik yang berakhir dengan pertemuan dan
penghormatan yang diberi oleh Yusuf dan anak-anak Ya`kub terhadap bapa mereka
dengan meletakkannya pada kedudukan yang selayaknya. (12.100).
Dari Kisah Yusuf banyak yang dapat diambil
pengajaran sebagaimana kata ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Demi sesungguhnya kisah nabi-nabi itu
mengandungi pengajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang
mempunyai akal fikiran (kisah nabi-nabi yang terkandung di dalam Al-Qur`an),
bukanlah ia cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut
di dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai
keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu serta menjadi pertunjuk hidayah
dan rahmat bagi kaum yang mau beriman (12.111).
Kisah Nabi Yusuf bermula dari awal Surah Yusuf
(12. 1-101), selepas itu fokus wahyu adalah tertumpu kepada Rasulullah s.a.w.
(12.102-111) berkait dengan Kisah Nabi Yusuf di atas, sebagaimana kata ayat
Al-Qur`an bermula dari ayat (12.102) bermaksud:
``(Kisah Nabi Yusuf) yang demikian adalah dari
berita-berita yang ghaib yang kami wahyukan dia kepadamu (wahai Muhammad),
sedang engkau tidak ada bersama mereka ketika mereka sekata mengambil keputusan
(hendak membuang Yusuf ke dalam perigi) dan ketika mereka menjalankan rancangan
jahat (terhadapnya untuk membinasakannya).``(12.102).
Sebagaimana Surah Yusuf ini diturunkan di
Makkah, maka surah yang mengandungi nilai sastera (adabiyyah) yang tinggi ini
dapat juga ditafsirkan sebagai cabaran kepada sasterawan Arab Jahiliyyah pada
masa itu yang bermegah-megah tentang kemampuan bersastera mereka itu, baik
dalam bentuk puisi, maupun bentuk prosa seperti khutbah dan cerita-cerita yang
bertemakan asabiyyah, memuja-muja kepahlawanan mereka di dalam peperangan serta
sifat-sifat ejek dan tuntut bela mereka. Sesungguhnya tiada satu nilai sastera
berbentuk prosa untuk menandingi cerita sebagaimana di dalam Surah Yusuf.
Dapatlah juga dikatakan Kisah Nabi Yusuf ini juga sebagai bahan dakwah
ditujukan bukan saja kepada kalangan orang Islam, tetapi juga di kalangan
orang-orang Arab Jahiliyyah, khususnya dari kalangan sasterawan Jahiliyyah
mereka. Tetapi sebagaimana kata Al-Qur`an bermaksud:
``Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman,
walaupun engkau sangat-sangat ingin (supaya mereka beriman.`` (12.103).
Mereka sebenarnya semata-mata enggan dan
dibelenggu dengan budaya Jahiliyyah yang menyekat minda dan jiwa mereka,
walaupun didatangkan dengan bukti-bukti kehebatan seni, maupun dengan
bukti-bukti rasional minda, sebagaimana kata ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan
Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikan berulang-ulang semasa
mereka pergi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan atau
memikirkannya.`` (12.105).
Namun dakwah tetap diteruskan oleh Nabi Muhammad
Rasulullah s.a.w. Penggunaan elemen yang bercirikan sastera adalah salah satu
daripada metod dakwah kepada khalayak agar terbuka minda dan jiwa mereka untuk
beriman sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Katakanlah (wahai Muhammad), ``Inilah jalanku,
aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah
dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan
Maha Suci Allah (dari segala i`tiqad dan perbuatan syirik) dan bukanlah aku
dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.`` (12. 108).
Penggunaan cerita seperti Kisah Nabi Yusuf dan
banyak cerita yang lain dalam Al-Qur`an adalah merupakan sebahagian dari
berbagai pendekatan dakwah dan keilmuan dalam Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment