BBB, 19 Zulhijjah 1436 = 03 Oktober 2015
(Sabtu):
Surah Yusuf sebagai surah ke 12 di dalam Al-Qur`an adalah surah yang mempunyai ciri-ciri sastera (adabiyyah) yang tinggi. Di dalam `flashback` -sorot kembali, sebagai anak cerita kepada cerita utama tentang Yusuf mempunyai teknik penceritaan secara seni dan menarik. Di dalam sorotan berkenaan terdapat plot-plot serta slot-slot kecil yang tersusun secara seni yang menjadikan cerita makin menarik. Di dalamnya ada elemen yang menjolok perasaan ingin tahu, menimbulkan rasa kekeciwaan, kedukaan, kekesalan, munajat keampunan, doa dan harapan, kejutan dan akhirnya peleraian dengan kesyukuran yang puncaknya membahagiakan.
Penyusunan jalan cerita di atas secara tidak
langsung adalah dari kebijaksanaan Yusuf yang mengatur strategi dan ujian secara
seni bagi membolehkan berlakunya pertemuan Baginda dengan bapanya Ya`kub secara
dramatik dalam suasana diatur penuh penghormatan dan kesyukuran.
Dari segi cerita – jika secara biasa yang agak
kasar dan tidak berseni, kisah Yusuf ini dapat dipendek dan diselesaikan pada
ketika pertama kali kafilah anak-anak Ya`kub yang 10 orang itu tiba di Mesir
bagi kali pertama bagi menukarkan barangan dagangan yang dibawanya untuk
ditukar atau dibelikan dengannya gandum makanan utama yang mereka kekurangan
dan amat memerlukannya.
Tetapi Yusuf yang memang mengenali
saudara-saudaranya (12.58), tetapi saudara-saudaranya tidak mengenalinya,
sengaja untuk menguji mereka, sejauhmana perangai dan tabiat saudara-saudara
mereka telah berubah, iaitu dengan ujian sejauhmana mereka masih dipercayai
ayah mereka Ya`kub. Yusuf mengetahui barang bijian yang mereka mau beli secara
tukaran tidak akan bertahan lama dan tidak akan cukup dengan keperluan mereka
dan sudah pasti mereka akan datang lagi untuk membeli biji-bijian (gandum dan
lain-lain) yang diperlukan. Juga Yusuf sebenarnya juga mau mengetahui tentang
adiknya Yusuf dan juga ayahnya Ya`kub.
Di dalam hal ini ayat Al-Qur`an menyebut
bermaksud:
``Dan tatkala Yusuf menyediakan untuk mereka
bekalan mereka, berkatalah ia (pada kali yang lain), bawalah kepadaku saudara
kamu yang sebapa, tidakkah kamu melihat, bahawa aku menyempurnakan bekalan
makanan kamu, dan aku sebaik-baik penerima tamu ? (12. 59).
Pelawaan itu, walaupun nampaknya biasa, tetapi
ianya diiringi dengan ingatan, bahawa tanpa penyertaan saudaramu itu, bererti
tiada kesungguhan dan keperluan mungkin tidak mendesak, maka ingatan adalah
sebagaimana disebut Al-Qur`an bermaksud:
``Oleh itu, kalau kamu tidak membawanya
kepadaku,, maka tidaklah ada hak bagi kamu lagi mendapat bekalan makanan
disisiku dan janganlah kamu menghampiriku lagi.`` (12.60)
Peringatan berkenaan bahawa jika dibawa
bersama saudara-saudaranya (adik kandungnya yang seibu sebapa - Bunyamin) bererti
ada kesungguhan dan bererti mereka memang memerlukan kepada makanan, tetapi
jika tidak, bererti tidak ada kesiriusan dan mereka mungkin tidak diutamakan berbanding
dengan kafilah-kafilah yang lain yang datang bagi tujuan yang sama. Peringatan
dari Yusuf diterima dengan serius bercampur bimbang, mereka bimbang permintan
yang diminta Yusuf bererti mengulangi episod kesal bagi bapa mereka yang mereka
meninggalkan Yusuf di dalam `perigi dalam` dahulu. Lebih membimbangkan mereka,
adakah dengan permohonan Yusuf yang akan diajukan kepada bapa mereka akan
diterima ? Mereka sebenarnya tidak yakin diterima sedang peristiwa kehilangan
Yusuf masih tebal dalam ingatan dan harapan tak pernah padam di hati Ya`kub
mengharapkan Yusuf akan kembali ke pangkuan keluarga.
Walau macam mana daripada menghadapi ketiadaan
kebenaran membeli barangan bijian dari Mesir yang bererti kelaparan adalah amat
berat hendak ditempuhi. Ini bererti mereka terpaksa meminta keizinan lagi
sekali dari ayahanda mereka –Ya`kub, sama ada diterima atau tidak, tetapi pengakuan
di atas permintaan Yusuf akan dapatkan keizinan daripada ayahanda mereka
Ya`kub. Al-Qur`an menggambarkan rasa ketidak yakinan akan diberi keizinan oleh
bapa mereka. Mereka terpaksa menjawab dalam suasana yang mencerminkan keraguan
mereka. Kata ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Mereka menjawab, ``Kami akan memujuk bapanya
melepaskannya bersama-sama kami dan sesungguhnya kami akan melakukannya.``
(12.61).
Jawapan dari saudara-saudara Yusuf
mencerminkan ketidakpercayaan mereka mendapat kebenaran untuk membawa adik
Yusuf (Bunyamin) bersama. Bukan saja mereka tidak yakin, tetapi ketidakyakinan
bapa mereka adalah lebih menakutkan mereka. Sebenarnya rasa bersalah, hilang
kepercayaan bapa, tiadanya ihsan darinya kepada mereka adalah merupakan
gelombang ketidak percayaan bapa terhadap mereka yang terus datang sebagai
ombak dan seringkali memuncak dengan kebimbangan sebagai derhaka dan tidak
menghormati ibu bapa.
Yusuf sebenarnya mengetahui implikasi yang
dihadapi saudara-saudaranya dengan permintaan yang dibuat terhadap mereka.
Yusuf juga menjangka penolakan akan berlaku, kerana dibimbangi Ya`kub, bahawa
peristiwa kehilangan Yusuf akan berlaku lagi dengan kemungkinan kehilangan
Bunyamin, jika ini berlaku, menggunung kehilangan kepercayaan akan bertambah
dari Ya`kub terhadap anak-anaknya.
Bagi mengurangkan kebimbangan yang dihadapi
oleh saudara-saudara Yusuf dengan permintaan yang akan dibuat terhadap bapa
mereka Ya`kub dan mengurangkan penolakan di atas permintaan yang akan dibuat
oleh saudara-saudara Yusuf dengan adanya keyakinan terhadap mereka, Yusuf
sengaja mengarahkan pekerja-pekerjanya supaya mengisi dan memulangkan kembali
barang-barang dagangan yang dibawa oleh saudara-saudara Yusuf, tanpa diketahui
oleh mereka. Ini bermaksud di atas kepercayaan diterima oleh saudara-saudara
Yusuf, maka bagi menghargai kejujuran mereka maka barang-barang dagangan mereka
dipulang kembali kepada mereka . Bererti mereka mendapat bahan makanan secara
percuma. Maka dengan budi yang dibuat oleh Yusuf, apakah wajar permintaan Yusuf
ditolak yang bererti menutup peluang membeli bijian-bijian lagi dari Mesir.
Kata Al-Qur`an bagi maksud di atas:
``Dan selepas itu brkatalah Yusuf kepada orang-orang
suruhannya, ``Masukkanlah barang-barang dagangan mereka pada tempat simpanan
barang di kenderan mereka, supaya mereka mengetahuinya kelak, tatkala mereka
kembali kepada keluarga mereka, dan supaya mereka tertarik datang lagi ke
mari.`` (12. 62).
Dari segi teknik penceritaan dengan
elemen-elemen di atas tercetusnya perasaan bimbang, tertekan dan ketidakyakinan
diri saudara-saudara Yusuf berdepan dengan situasi yang ditimbulkan oleh Yusuf,
tetapi mereka terpaksa memberi jawapan antara yakin dan tidak. Permainan emosi,
minda dan jiwa ini bagai ombak yang terus memukul dada saudara-saudara Yusuf
yang menerima balasan di dunia lagi dengan perbuatan mereka terhadap saudara
mereka - Yusuf, apakah kesalahan dan
kebimbangan ini akan berganda lagi dengan permintaan Yusuf sebagai kafarah
terhadap kesalahan mereka ?
Sekian.
No comments:
Post a Comment