October 16, 2015

`Pandangan Wujud` Sebagai Rangka Theologi Dari Surah Al-Ra`d


BBB, 02 Muharram 1437 = 15 Oktober 2015 (Khamis):


Mengkaji kandungan Surah Al-Ra`d dan dipadankan dengan pemikiran Maududi berhubung dengan Islam dan iman mencetuskan gagasan Theologi sebagai satu cara bagi memahami hakikat kewujudan bagi mengukuhkan aqidah dan keimanan. Pendekatan ini bertolak dari terminologi `Pandangan Wujud` sebagai satu skop yang di bawahnya terangkum segala yang wujud.
`Pandangan Wujud`  melihat kewujudan adalah satu `Kingdom of God` - Kerajaan Ketuhanan. Pada awal Surah Al-Ra`d  firman Allah menyebut: `Rabbika al-Haqq` - Tuhan yang Haqq. Tuhan yang Haqq ini adalah Tuhan yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan. Tuhan yang Haqq menzahirkan segala sifat-sifat KetuhananNya pada ciptaan MakhlukNya sebagai bukti nyata yang seharusnya boleh dibaca sebagai ayat-ayatNya. Firman Allah selepas menyatakan Dialah Pencipta langit, arasy, matahari, bulan dan lain-lain ditegaskan bermaksud::
``Allah jualah mentadbir dan menerangkan ayat-ayat supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu`` (13.2).
Kewujudan selain dari Allah adalah ayat-ayat yang boleh difahami dan dihayati tentang Ketuhanan dan Kerajaannya, secara hikmah Allah Yang Mengetahui yang Ghaib dan Syahadah yang Maha Besar lagi Maha Tinggi (13.9)  menciptkan makhluk agar makhluk mengenali dan memahami hakikat keagunganNya, tetapi walaupun sudah ada ayat-ayat pada makhluk ciptaan yang segalanya khuduk menyerah dan patuh pada aturan, tetapi ada, terutama di kalangan manusia yang tidak faham , bahkan ada yang mengingkarinya, pada hal biologi tubuh mereka sama tunduk patuh sebagaimana makhluk-makhluk yang lain maka diutuskan rasul-rasul bagi menyampaikan risalah kepada manusia menurut ummah yang dibangkitkan – termasuklah Rasulullah s.a.w. Maksud ayat Al-Qur`an:
``Demikianlah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kepada satu ummah sebagaimana perutusan  telah lalu sebelumnya beberapa ummah yang lain supaya engkau membacakan kepada mereka Al-Qur`an yang Kami wahyukan kepada kamu, sedang mereka kufur kepada (Allah) Al-Rahman. Katakanlah, ``Dialah Tuhanku tiada Tuhan (yang berhak disembah), melainkan Dia. KepadaNyalah jua aku berserah diri dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu sekaliannya).`` (13.30).
Jadi Rasulullah s.a.w. diutuskan kepada umatnya membawa risalah dari Allah sebagaimana yang terkandung di dalam Al-Qur`an. 
Kewujudan Allah dan Al-Qur`an
Allah Tuhan yang terhimpun padanya segala kesempurnaan dan menciptakan segala kejadian makhluk
Al-Qur`an adalah kalam Tuhan yang diwahyu dan diterima Rasulullah yang menjadi kitab panduan dan perlembagaan bagi ummah.
Rasulullah adalah makhluk Insan Kamil ciptaan Allah yang menjadi Rasul (perutusan Allah) yang membawa risalah termasuklah Al-Qur`an..
Ummah (manusia) sebagaimana ciptaan yang lain tunduk patuh kepada aturan Allah – bersifat Islam, maka seharusnya manusia juga sepatutnya sama tunduk patuh kepada aturan-aturan yang ditentukan Allah.
Melihat Kewujudan secara Takmilah
Perjalanan makhluk seharusnya menurut semua aturan yang ditentukan Allah agar berada di dalam selamat (Islam) dan aman (dengan keimanan).
Dari sudut Takmilah Kewujudan pada peringkat ketuhanan yang Tunggal, Kekal, Abadi dan mempunyai sifat kesempurnaan yang lain adalah peringkat Takmilah Tertinggi yang bersifat Haqq dan tidak ada yang mungkin sempurna seumpamaNya dan tidak ada yang mungkin menyamaiNya. Tetapi konsep-konsep sempurnaNya yang Mutlaq digunakan sebagai bayangan yang nisbi. Misalnya Allah yang bersifat Maha Mengetahui, manusia juga digalakkan mengetahui ilmu secara nisbi, Allah Berkuasa, manusia juga diberi kuasa yang nisbi dan demikianlah Allah Maha Kaya, kaya juga dinisbahkan kepada manusia secara nisbi dan tidak mutlaq.
Piawayan Tertinggi bagi Takmilah ialah mencontohi Rasul Junjugan dan mengaplikasikan dan beramal apa yang ada di dalam Al-Qur`an, tetapi Takmilah tidak mungkin sampai kepada tahap piawayan pada Rasulullah s.a.w. dan Al-Qur`an, tetapi di dalam apa juga dari segi Takmilah usaha tetap dilakukan bagi menyampaikan tahap Takmilah Rasul dan Al-Qur`an yang tidak mungkin sampai. Kesempurnaan hanya  kepada `kesempurnaan yang tidak sempurna`.
Misalnya Takmilah dari segi bernegara, bagi umat dan pemerintah seharusnya berusaha mencapai Takmilah bernegara sebagaimana disebut mengenai bernegara seperti yang terdapat di dalam Al-Qur`an: ``Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur (Saba`: 15) atau Al-Balad al-Amin (Al-Tin: 3) dan model bernegara adalah menurut negara Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. Inilah piawayan bagi bernegara bagi umat Islam yang perlembagaanya adalah  Al-Qur`an.
Namun  di dalam menegakkan negara berasaskan negara seperti Madinah dan mencontohi kepimpinan kepada pimpinan Rasulullah pada hakikatnya tiada negara dan tiada kepimpinan dari segi takmilah akan sampai kepada piawayan sempurna seperti negara Madinah dan kepimpinan seperti Rasulullah s.a.w., walau pun kemajuan dapat dicapai dari segi fizikal, tetapi tidak akan tercapai misalnya dari segi barakah dan awlawiyat kenegaraan seperti Madinah dan juga tidak akan sampai tahap kepimpinan seperti kepimpinan Rasulullah. Tetapi dari segi pembinaan negara hendaklah diuasahakan seperti tuntutan  Takmilah dan juga kepimpinan, sehingga pada puncaknya mencapai peringkat `Sempurna Dalam Ketidaksempurnaan`. Hal ini boleh dikiaskan dalam bidang-bidang yang lain, misalnya dalam bernegara mau ditegakkan undang-undang Islam sepenuhnya, tetapi pada praktiknya tidak akan mencapai kesempurnaan di dalam menjalankan perundangan berkenaan, namun usaha seharusnya diteruskan sehingga mencapai tahap `Sempurna Dalam Ketidaksempurnaan.`` Kiaslah di dalam berbagai-bagai bidang yang lain.
Telah dibicarakan Allah Ta`ala menyediakan muka bumi yang pada permukaannya diturunkan hujan yang menjadikan tanah subur dengan tumbuh-tumbuhan dan menghasilkan buah-buahan yang menjadi rezeki kepada penghuni muka bumi (13: 12-13, 17, 26). Semuanya ini termasuklah dengan ciptaan Allah yang lain dari langit, bumi, matahari dan bulan sebagaimana disebutkan yang lepas adalah patuh pada peraturan-peraturan yang ditentukan Allah dalam kata lain semua menyerah dan patuh (Islam) yang  aman (iman) yang menjadikan semua kewujudan yang nisbi dari langit, cakrawala, matahari, bulan, bintang dan matahari adalah di dalam keadaan yang selamat.
Manusia adalah satu dari makhluk-makhluk yang kecil yang menjadi sebahagian dari ciptaan Allah yang besar dan berada di dalam arus pergerakan ciptaan Allah, sesungguhnya sebagaimana telah diperkatakan diri fizikal manusia pada hakikatnya patuh kepada aturan biologi yang dicipta Allah, maka  minda dan hati-rohani manusia seharusnya juga patuh kepada peraturan Islam dan beriman bagi mencapai kesejahteraan dan keamanan (13.15-16).
Sesungguhnya kewujudan dan adanya manusia adalah `amanah` dari segi keislaman, tamadun, peradaban dan kemanusiaan. Di dalam perjalanan sejarahnya yang kini telah berlalu lebih dari 1437 tahun, amanah dari segi visi dan misi keislaman dan keimanan telah dipikul oleh ummah. Ada gunung-gunung tamadun dan peradaban telah dicapai, tapi ada pamah dan lembah yang telah dilalui. Inilah Takmilah yang dicapai yang pada realiti tidak sampai kepada puncak tamadun dan peradaban yang seharusnya dicapai menurut perspektif Islam. Mutakhir lebih parah nasib yang dialami ummah yang tidak menurut acuan perubahan yang seharusnya dicapai ummah (13.11). Persengkitaan begitu teruk berlaku di kalangan ummah. Mengapakan berlaku sedemikian ? Kelemahan bukan pada doktrin dan aqidahnya yang begitu kukuh, tidak juga pada nilai yang ampuh. Umat sebenarnya telah kehilangan fokus dan matlamat yang harus diperbetulkan. Pendekatan harus dipulih dan disegarkan. Jatuh bangun pernah dilalui dan peluang dan masa depan tetap terbuka luas.
Sekian.

(Penulis bercuti beberapa hari).

No comments:

Post a Comment