October 3, 2015

Mimpi Kemarau Menjadi Kenyataan Menjejaskan Kehidupan Termasuk Negara Jiran - Anak-Anak Ya`kub Diutus Mendapat Makanan


BBB,  18 Zulhijjah 1436 = 02 Oktober 2015 (Jumaat):


Ta`wilan Yusuf terhadap mimpi Raja Mesir menjadi kenyataan, selepas 7 tahun negara Mesir makmur dengan hasil pertanian lumayan yang sebahagiannya disimpan, maka berlaku kitaran musim kepada musim kemarau memanjang hingga Sungai Nil menjadi cetek, pertanian tidak subur dan tanaman diserang penyakit, lebih banyak rosak dari hasil sepatutnya dapat dituai. Yang lebih menimbulkan masalah bijian utama yang menjadi makanan utama, iaitu gandum teruk terjejas. Ini menyebabkan petani dan rakyat terpaksa berjimat dalam menggunakan bijian utama gandum itu, di samping mendapat subsidi dari khazanah negara yang telah disimpan bagi menghadapi musim kegawatan. Kemarau tidak saja berlaku di Mesir, tetapi turut berlaku di negara-negara jiran, termasuk Kan`an.
Dari segi realiti berlakunya kemarau di Mesir dan turut berkesan di negara-negara jiran, peristiwa ini adalah merupakan kewajaran dari segi logik dan kemunasabahan bagi menggunakan teknik flashback kepada peristiwa yang merupakan anak cerita yang berhubung atau berkait dengan cerita utama yang tema utama adalah Yusuf. Musim kemarau dan kekurangan makanan adalah sebab musabab munasabah bagi menyerlahkan beberapa perkara.
Antaranya menyerlahkan kebenaran ta`wilan mimpi Yusuf yang masa makmur dengan penghasilan makanan, tidak sangat diberi perhatian oleh rakyat Mesir, lantaran ianya merupakan perkara biasa, cuma sedikit makmur. Dan tindakan pengawalan dan penyimpanan makanan juga tidak begitu disedari oleh rakyat, tetapi bila berada di dalam musim kemarau dan kekurangan makanan dan masing-masing berada di dalam kesempitan baru menyedarkan masyarakat tentang ancaman kelaparan yang bakal mereka terima. Bahawa Yusuf sebagai Pengurus Keluaran Hasil Negara mengambil tindakan berwaspada dengan menyimpan stok makanan bagi masa kecemasan menyedarkan masyarakat tentang kebijaksanaan Yusuf dengan wawasan penjimatannya. Kelicinan pentadbiran dan kecukupan stok simpanan yang dikeluarkan secara berjadual hingga tidak menjadi keperluan makanan dalam keadaan gawat menyerlahkan lagi kebijaksanaan Yusuf.
Yusuf tidak saja memberi perhatian kepada keadaan di dalam negeri, tetapi membantu secara patut negara-negara  luar yang kekurangan makanan dengan menjual atau menukarkan makanan dengan kewangan atau keperluan-keperluan Mesir dalam masa gawat. Dengan itu Mesir mendapat sumber keperluan yang lain dari luar negara bagi keperluan penggunaan rakyat. Dengan secara sedemikian Mesir mewujudkan hubungan diplomatik dengan negara Luar secara berdiplomasi dan memberi keuntungan dan kebaikan bagi Negeri Mesir.
Sebenarnya hubungan dagang dan pertukaran atau penjualan barang-barang hasil sebuah negeri dengan negera yang lain sudah berlaku sejak lama. Mesir misalnya jadi pusat perniagaan dan pertukaran barang dagangan dari Afirka ke Baitul Maqdis, Sham, Rom di barat bahkan ke Yaman bahagian timur yang menghubungkan dengan India dan ke bahagian Timur Jauh. Jadi jalan perniagaan antara Mesir dan Baitul Maqdis adalah jalan dagang biasa yang berlaku pada zaman tradisi.
Di dalam konteks di atas peristiwa kekurangan makanan turut berlaku di Kan`an, kawasan Baitul Maqdis dan sekitarnya dalam kata lain kemarau dan jalan dagang membuka ruang bagi perluasan cerita berkenaan Yusuf dan keluarganya. Selama ini cerita Yusuf dan keluarganya dipendamkan dan tidak disebutkan secara penceritaan lahir, tetapi sudah pasti Yusuf teringat-ingat dalam hati dan jiwanya terhadap orang tuanya Ya`kub, sama ada masih hidup atau sudah kembali ke rahmatullah. Tetapi isu peribadi ini tidak dapat diluahkan kerana tiada masa dan suasana yang relevan untuk diperkatakan. Yusuf juga pasti mengingatkan adik beradiknya, walaupun mereka pernah melakukan perbuatan yang tidak baik, sehingga mereka mengalami situasi yang ditanggung. Manakala Nabi Ya`kub, juga sudah pasti menanggung rindu, untuk bertemu dengan anak kesayangannya Yusuf. Pertanyaan juga timbul adakah Yusuf masih hidup atau sudah meninggal, tetapi sebagai bapa yang sabar dia berpegang teguh dengan ketentuan Allah yang menentukan, biarpun Ya`kub dikatakan selalu berduka dan menangis hingga matanya menjadi rabu. Manakala adik beradik Yusuf sudah tentu lebih menanggung siksa  lantaran dosa yang telah mereka lakukan terhadap Yusuf. Antara mereka mungkin ada yang menganggap Yusuf telah meninggal di makan serigala, atau antara mereka membayangkan Yusuf sebagai hamba abdi sedang bekerja teruk mengangkat dan memindahkan barang-barang dagangan tuannya yang menjalankan perniagaan  atau Yusuf sebagai pengembala kambing atau unta atau petani yang sudah tentulah dengan semua keadaan Yusuf tidak sempurna pakaian, compang-camping dan kekurangan makan minum, beliau diberi makan sekadar cukup untuk hidup. Memikirkan semua, kekesalan bertalu-talu pada jiwa mereka diakibatkan sifat hasad dengki yang bermaharaja lela di dalam jiwa mereka.
Bagi mengatasi kelaparan yang turut dialami oleh keluarga Ya`kub, baginda telah meminta anak-anaknya berusaha mencari sumber makanan untuk keluarga mereka, iaitu dengan menukar barang-barang dagangan hasil hasil pertanian yang ada pada mereka. Mereka mendapat tahu bahawa Mesir adalah negara yang diberitakan masih makmur dan boleh didapati sumber makanan di sana. Ayah mereka Ya`kub menyiapkan kafilah dengan barang dagangan untuk pertukaran – terutama dari bahan-bahan pertanian dan mereka bergerak bersama dalam satu kafilah – juga bersama-sama kafilah yang lain menuju ke Mesir. Setelah berminggu kafilah yang menggunakan kenderan unta bagi merentasi padang pasir itu tiba di Mesir. Ayat Al-Qur`an menggambarkan pemergian dan kesampaian saudara-saudara Yusuf secara ringkas dan padat bermaksud:
``Dan (setelah tiba masa kemarau), datanglah saudara-saudara Yusuf (ke Mesir), lalu masuklah mereka (ke tempat pemeriksaan sebaik kesampaian). Mereka Segera dikenali oleh Yusuf, sedang mereka tidak mengenalinya (12. 58).
Sebagaimana biasa bagi kemasukan mereka yang dari luar, mereka akan diambil maklumat dan ditanya apa-apa yang perlu sebagai rekod, keselamatan dan berbagai-bagai keperluan yang lain. Kedatangan adik beradik Yusuf ini tentulah menggembirakan Yusuf. Dari pertanyaan yang dibuat terhadap mereka sebagai pendatang dari luar Yusuf dapat menyingkap beberapa maklumat penting, terutama tentang bapa mereka yang diketahui masih hidup dan juga dapat bertanya tentang adik kandung seibu sebapa  Yusuf, iaitu Bunyamin yang tidak datang bersama- dan maklum tentang kebimbangan Ya`kub jika dibiarkan Bunyamin bersama saudara-saudaranya. Dengan bijaksana Yusuf mengatur langkah untuk mereka sekeluarga bertemu. Pertemuan yang dari segi teknik penceritaan adalah klimeks dari segi penceritaan dan peleraian.

Sekian.

No comments:

Post a Comment