BBB, 08 Muharram 1437 = 21 Oktober 2015
(Rabu):
Sejarah dan Sirah Rasul-Rasul banyak memberi sumbangan bagi kita memahami tentang bukan saja kerasulan juga kenabian, tetapi juga sejarah peradaban dan tamadun kemanusiaan itu. Dari kitab-kitab suci, termasuk dari Al-Qur`an kita mendapat makluman bahawa asal-usul manusia dari segi biologi berketurunan dari Nabi Adam dan Hawa.
Al-Qur`an menampilkan satu surah yang berjudul
Surah Ibrahim, iaitu surah ke (14) yang diturunkan
di Makkah yang mengandungi 52 ayat.
Sebelum membicarakan kandungan surah tersebut
kita melihat kepada latar tempat dan budaya yang melahirkan Nabi Ibrahim.
Bahawa kawasan yang merupakan pertemuan antara benua, iaitu barat bagi Asia,
timur-selatan bagi Eropah dan utara bagi Afrika, ialah antara kawasan awal bagi
tamadun manusia. Dari kawasan ini bermula Adam dan Hawa diturunkan. Misalnya
Arafah dikenali sebagai tempat pertemuan mereka berdua. Maka dari sinilah
bermula berkembang zuriat turunan manusia.
Dari kawasan di sini juga lahirnya secara
ketara tamadun dan peradaban manusia, iaitu tamadun Babylonia- Mesopotamia di
pinggir sungai Dajlah-Furat yang dikesan sejak 10,000 tahun lepas, begitu juga
dengan tamadun Mesir purba di pinggir sungai Nil sejak 5,000 tahun lepas dan
juga negara Palestin yang menjadi kota Suci sebagai tempat kelahiran dan negara
bagi nabi-nabi. Nabi Ibrahim bin Azar adalah lahir dari belahan tamadun yang
berpusat dari kawasan tiga segi emas tamadun dan peradaban berkenaan. Menurut
Profesor Ismail Faruqi di dalam bukunya berjudul `Atlas Budaya Islam` Nabi
Ibrahim wujud pada zaman pemerintahan Namrud pada awal tahun 2,000 S.M. (Ismail
R. Al-Faruqi dan Lois Lamya Al-Faruqi, Atlas Budaya Islam, Terjemahan Mohd.
Ridzuan Othman, Mohd. Sidin Ishak dan Khairuddin Harun, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, 1992: 12).
Pada sekitar tahun 2,000 tahun sebelum Masihi
itu sudah wujud budaya Tamadun dan peradaban seperti wujudnya hubungan dagang
antara negara Sham-Palestin dengan Mesir dan Afrika, hubungan dengan Yaman dan
ke timur yang jalan rentas ini turut melalui Makkah-Madinah sebagai tempat
persinggahan ulang alik perdagangan. Bahasa yang berkembang di kawasan ini
berasal dari satu rumpun bahasa yang dikenali sebagai Bahasa Semit yang pada
bahagian timur Semenanjung Tanah Arab dikenali sebagai bahasa Akkadia atau
Babylon Assyria, pada bahagian utara dikenali dengan bahasa Aramaik dengan
beberapa kepelbagaian ke timur seperti bahasa Syria, Madain dan Nabaten dan ke
barat seperti Samaritan, Yahudi, Aramaik dan Palmyra. Pada bahagian barat ialah
Phoenisia. Yahudi Injil dan loghat Kanaan.
Manakala tergolong separuh bahagian selatan
Tanah Arab, ialah bahasa Arab yang pada bahagian utara ialah bahasa Arab
sendiri, manakala bahagian selatan ialah bahasa Sabak dan Himyar. Hingga 1400
S.M. terbukti tulisan pada batu oleh orang Amarna. Hingga pada masa tersebut
bahasa Akkadia merupakan bahasa perhubungan yang terpenting dituturkan dan
ditulis sama ada oleh penduduk setempat atau pemerintah berketurunan Mesir.
Bahasa Aramanik mula menggunakan bahasa Akkadia selepas 1200 tahun sebelum
Masihi dan berkembang dengan beberapa loghat seperti bahasa Aramaik digunakan
oleh Yahudi seperti di Kanaan seterusnya menjadi bahasa rasmi orang-orang
Yahudi di Asia Barat, seperti tulisan di papyrus orang Mesir sehinggalah
kedatangan Islam. Dan dengan kedatangan Islam bahasa Arab kemudiannya
menggantikan bahasa Aramaik sebagai bahasa terpenting seluruh rantau Asia Barat
(Al-Faruqi: hlm. 232-24).
Tahun 2000 sebelum Masihi sebagaimana telah
disebut adalah zaman kewujudan Nabi Allah Ibrahim a.s. yang pemerintah pada
masa itu ialah Raja Namrud. Nabi Ibrahim adalah watak kukuh yang tidak menetap
hanya pada satu kawasan di sekitar Kanaan dan Baitul Maqdis, tetapi baginda
bergerak hingga ke Makkah, bahkan sampai ke Mesir. Baginda sendiri berkahwin dengan Saidatina Sarah dari keturunan
tempatan sekitar Kanaan-Baitul Maqdis yang darinya beliau mendapat anak Ishaq
dan beliau juga adalah berkahwin dengan seorang lagi isteri Saidatuna Hajar
yang berketurunan Mesir yang dari perkahwinan ini melahirkan Ismail. Mereka
berdua ditempatkan oleh Ibrahim di Makkah, iaitu sekitar Masjid al-Haram kini.
Nama
Ibrahim, bahkan Ismail bukan menurut loghat bahasa Arab, bahkan lebih mirip
sebutan loghat Ajam. Tentang Ibrahim Al-Qur`an menegaskan bahawa bermaksud:
``Tidaklah
Ibrahim itu Yahudi, tidak juga Nasrani, tetapi dia tetap di atas dasar tauhid
seorang yang Hanif lagi muslim dan bukan dari kalangan musyrikin (Aali Imran:
67).
Hajar
yang tinggal bersama anaknya di kawasan Masjid al-Haram turut didatangi sama antaranya
keturunan Arab dari suku Jurhum. Mereka meminta izin dari keluarga Hajar untuk
turut menetap di situ dengan mengakui zamzam adalah milik dan di bawah jagaan
keluarga Hajar. Ismail berkahwin dengan anak perempuan dari kabilah Arab Jurhum
berkenaan dan dari perkahwinan ini melahirkan turunan Arab yang lanjutan dari
keturunan Arab Jurhum ini sampai kepada turunan Kabilah Adnan sebagai turunan
Quraysy yang kepada Adnan ini diketahui susur galur turunan Nabi Muhammad
s.a.w. yang turut menjaga kepentingan dan kebajikan berhubung dengan air Zamzam
yang menjadi punca utama bagi kemakmuran Makkah.
Nabi
Ibrahim sebagai tokoh penting adalah dimegahi bagi yang mempunyai galur turunan
bersambung kepada Nabi Ibrahim. Orang-orang Yahudi mendakwa mereka adalah turunan
dari Nabi Ibrahim melalui pertalian antaranya melalui Nabi Yusuf bin Ya`kub bin
Ishaq bin Ibrahim, turut juga mendakwa mereka yang beragama Kristian melalui
Nabi Isa a.s. dan tentulah juga kalangan berketurunan Arab melalui galur
keturunan melalui Nabi Ismail a.s. bin Ibrahim a.s., tetapi sebagaimana
ditegaskan oleh ayat Al-Qur`an di atas, bahawa Nabi Ibrahim tidak boleh didakwa
sebagai seorang Yahudi atau Kristian, tetapi Baginda adalah seorang berpegang
pada aqidah tauhid yang hanif lagi muslim. Apa jua menunjukkan bahawa Nabi
Ibrahim adalah Tokoh Besar, Rasul Besar dan pembawa agama Hanif yang darinya
bertalian dengan kelahiran agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Sebagai
kesimpulan Nabi Ibrahim adalah lahir dari belahan tamadun dan peradaban besar
yang wujud di Asia Barat yang bukan saja menjadi sentral dari segi kedudukan
geografi, tetapi juga keturunan penting di dalam tamadun dan peradaban manusia.
Lebih mulia dan istimewa baginda yang berada di tengah-tengah masyarakat yang
terseleweng dari pegangan aqidah, Baginda bangkit sebagai Rasulullah
memperbetulkan aqidah dan pegangan masyarakat pada zamannya dan ini diteruskan
oleh turunannya yang antaranya dari kalangan rasul-rasul dan nabi-nabi dari
turunannya.
Sekian.
Saya sangat berbangga
ReplyDelete