BBB, 20 Zulhijjah 14326 = 04 Oktober 2015
(Ahad):
Kejayaan kafilah saudara-saudara Yusuf ke Mesir mendapat barang keperluan, terutama gandum, sepatutnya menggembirakan mereka, namun kegembiraan ini ditenggelamkan oleh berat kerisauan mereka oleh bebanan permintaan pembesar Mesir itu (Yusuf), agar mereka datang dengan adik bungsu mereka – Bunyamin. Suatu permintaan yang mereka ketahui begitu sukar untuk diluluskan oleh bapa mereka Ya`kub. Mereka tidak mengetahui, mengapa mesti pemergian akan datang mesti dengan adik bungsu, Bunyami. Tanpa Bunyamin, sebenarnya urusan jual beli barang-barang tidak terjejas, sebagaimana kejayaan yang mereka telah lakukan. Walau bagaimana soal mengajak Bunyamin sama bagi pergerakan kafilah bagi kali kedua akan datang memuramkan perjalanan pulang mereka. Tiada qasidah dialunkan dan tiada syair dibacakan.
Ketibaan kafilah dari Mesir yang terdiri dari
saudara-saudara Yusuf disambut dengan rasa gembira dan syukur oleh keluarga
Ya`kub. Saudara-saudara Yusuf menceritakan kepada bapa mereka tentang kebaikan pengurus
yang menguruskan barang-barang pembelian secara pertukaran (barter trade) dan
juga tentang kemakmuran Mesir. Bila barang-barang dagangan yang dibawa pulang
dibuka, mereka terkejut dengan `pemulangan` barang dagangan yang mereka bawa
sebagai bahan pertukaran itu. Tetapi mereka melihatnya sebagai sifat prihatin
pembesar Mesir terhadap kafilah yang semata-mata datang bagi mendapat
barang-barang keperluan makanan dan bukan tujuan untuk mencari keuntungan dari
segi perniagaan. Mereka juga melihat ia adalah kejayaan anak-anak Ya`kub di
dalam rundingan dan urusan jual beli, sehingga mesir yang kaya pada masa tidak
sampai hati untuk mengambil barang tukaran yang bagi mereka tidak seberapa.
Sebab itu barang-barang berkenaan dipulang balik. Tetapi soal mengapa pembesar
mesir meminta mereka datang dengan keseluruhan adik beradik mereka itu tidak dapat dipecahkan apakah maksud dan
tujuan. Ianya begitu berat bagi mereka untuk disampaikan kepada bapa mereka
Ya`kub. Namun dengan perasaan berat dan bimbang mereka terpaksa sampaikan, agar
bila tiba musim mereka terpaksa ke sana
lagi setelah stok makanan habis digunakan tidak mengejutkan bapa mereka. Memberitahu
lebih awal lebih baik dari menangguhkannya yang lebih menjadikan mereka
dicurigai. Mereka hanya menjangka dengan menyahut permintaan pembesar Mesir
yang lebih bersifat untuk berkenalan dan mengiratkan hubungan itu, lebih banyak
mereka akan dapat barang-barang keperluan dan dengan demikian tidak perlu
mereka lebih kerap ke Mesir (jika tidak mereka tidak diterima untuk mendapat
barang-barang), lantaran saudara-saudara Yusuf memaklumkan kepada bapanya
sebagaimana yang dirakamkan oleh Al-Qur`an bermaksud:
``Maka tatkala mereka kembali kepada bapa
mereka, berkatalah mereka, ``Wahai bapa kami ! kami (telah diberi amaran bahawa
kami), tidak akan mendapat lagi bekalan makanan (kiranya Bunyamin tidak pergi
bersama), oleh itu hantarlah dia bersama-sama kami, supaya kami dapat lagi
bekalan makanan, dan sesungguhnya kami akan menjaganya sebaik-baiknya.`` (12.
63).
Menyebut permintaan agar Bunyamin menyertai
sama dalam kafilah yang akan dilakukan kelak, segera bangkit, bawah sedar
Ya`kub, tentang peristiwa kehilangan Yusuf, angkara mereka. Dengan peristiwa
itu tidak mudah bagi Ya`kub membenarkan Bunyamin pergi bersama, kerana ia
mnegundang kepada berlakunya satu peristiwa lagi sebagai tragedi kedua ke atas
keluarga Ya`kub, andainya Bunyamin menjadi mangsa kedua.
Walau
bagaimana oleh kerana desakan kepada keperluan bahan-bahan makanan di Mesir
yang perlu mereka pergi mendapatnya melalui anak-anaknya – termasuk mesti
disertai sama oleh Bunyamin, maka Ya`kub dengan berat terpaksa menuruti
permintaan anak-anaknya dengan peringatan sebagaimana disebut oleh Al-Qur`an
bermaksud:
``Bapa mereka berkata, (Jika aku lepaskan dia
pergi bersama-sama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya,
sebagaimana kepercayaanku kepada kamu menjaga saudara kamu dahulu (yang telah
kamu hampakan, oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana
Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya) dan Dialah jua Yang Amat Mengasihani
dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan. (12. 64).
Bahkan Ya`kub menegaskan sebagaimana terakam
dalam Ayat Al-Qur`an, bermaksud bahawa:
``Bapa mereka berkata, ``Aku sekali-kali tidak
akan melepaskan dia pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku
satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah bahawa kamu akan
membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika semuanya dikepung dan
dikalahkan oleh musuh. Maka tatkala mereka memberikan perjanjian yang teguh
(bersumpah) kepadanya, berkatalah ia, ``Allah jualah menjadi saksi dan Pengawas
atas apa yang kita semua katakan itu.``(12.66).
Tidak seperti pemergian pertama dahulu, Ya`kub
tidak mengambil perhatian sangat tentang cara-cara pemergian dan apa yang perlu
dilakukan, tetapi kali ini Ya`kub begitu prihatian, bahkan menambahkan pesanan
kepada anak-anaknya dengan katanya sebagaimana terakam di dalam Al-Qur`an,
bermaksud:
``Dan ia berkata lagi, ``Wahai anak-anakku !
Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir), dari sebuah pintu, tetapi masuklah dari
beberapa buah pintu yang berlainan, dan aku (dengan nasihatku ini) tidaklah
dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah,
kuasa menetapkan sesuatu (sebab musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah
jua aku berserah diri dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang tahu
berserah diri.`` (12. 67).
Adapun tujuan Nabi Ya`kub menyuruh anak-anaknya
masuk melalui pintu berlainan, agar dapat mengelak dari perhatian – terutama
musuh mengkhinati mereka kerana kemudahan mengenali mereka dari pakaian dan
wajah tampan, hampir bersamaan dan berbagai-bagai kemungkinan pengkhianatan.
Dengan berat hati untuk melepaskan Bunyamin
dan dengan pesanan berbagai bagi panduan mereka, maka kafilah anak-anak Ya`kub bergerak bagi kali
kedua ke Mesir bagi tujuan mendapat barang-barang makanan di sini. Kali ini
anak-anak Ya`kub begitu ikhlas dengan tujuan dan amat menjaga segala pesanan
yang telah dibuat oleh bapa mereka Ya`kub. Sebenarnya selama ini pun mereka
amat kasihan melihat penderitaan yang ditanggung oleh bapa mereka, semata-mata
oleh angkara yang telah dilakukan oleh mereka.
Al-hamdulillah pemergian kafilah anak-anak
Ya`kub bagi kali kedua ke Mesir ini dengan menurut arahan dan pesanan bapa
mereka – Ya`kub, mereka selamat tiba ke Mesir untuk mendapat barang-barang
makanan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment