BBB, 17 Zulhijjah 1436 = 01 Oktober 2015
(Khamis):
Di dalam sebuah cerita terdapat berbagai elemen penceritaan seperti teknik penceritaan, latar, klimeks, watak (baik & jahat), konflik, peleraian, perutusan dan sebagainya. Salah satu teknik penceritaan menggunakan elemen `flashback` atau `sorok balik` atau `kembali ke belakang`.
Sebagaimana telah disebutkan kebanyakan
peristiwa yang menghidupkan kisah Nabi Yusuf adalah bersifat kronologi dari
segi pembinaan dan perkembangan cerita hinggalah Nabi Yusuf diangkat menjadi
Pengurus Perbendaharaan yang berhubung dengan hasil bumi. Jawatan ini
dikendalikan dengan penuh dedikasi dan amanah dan pada musim tanaman menjadi
Mesir berjaya menghasilkan lebihan makanan, sebagaimana dita`wilkan oleh Yusuf
kepada mimpi Raja Mesir. Hasil dari lebihan makanan ini dijadikan stok simpanan
bagi menghadapi musim gawat dari hasil pertanian, kerana kemarau. Sampai ke
sini seolah-olah Yusuf telah mencapai puncak kejayaan dan semacam berakhir
`Kisah Yusuf` dengan kebahagiaan.
Namun sampai di sini, cerita tentang `Kisah`
Yusuf` belum berakhir, khalayak tidak puas dan ingin tahu.
a) Adakah kesalahan berat yang dilakukan oleh adik beradik Yusuf
terhadapnya berakhir begitu sahaja tanpa mendapat balasan atau penyelesaian
yang wajar yang dapat diterima oleh khalayak pembaca ?
b) Bagaimanakah dengan pengakhiran kisah Ya`kub yang berduka di atas
kehilangan anaknya yang dikasihi. Apakah dia mati dalam menunggu kemungkinan
anaknya Yusuf akan pulang ataukah dia akan bertemu dengannya ?
c) Khalayak tentu amat ingin tahu, mungkin ada khalayak yang bersikap
marah terhadap Zulaikha, tetapi mungkin ramai yang bersimpati terhadap Zulaikha
yang begitu mencintai Yusuf sebagai `Cinta Terlarang`, tetapi bagaimanakah
kesudahannya ?
Antara teknik di dalam cerita ialah penggunaan
teknik `flashback`, terhadap jalan cerita yang telah dihentikan – buat
sementara, bagi menyempurnakan jalan cerita utama terlebih dahulu. Penggunaan
`flashback` mempunyai beberapa tujuan:
1) Suatu kesengajaan pencerita sebagai teknik penceritaan bagi mewujudkan
rasa ingin tahu khalayak pembaca atau pendengar. Ini bererti pencerita sengaja
mewujudkan ketegangan bagi khalayak yang terus merasa tidak puashati – ingin
mendapat jawapan dan terus mengikuti cerita.
2) Pada kandungan `flashback` mungkin mengandungi elemen `klimeks` cerita
yang sengaja disimpan ke belakang yang pada peringkat akhir ini akan
menyelesaikan konflik dan menyediakan jalan penyelesaian sebagai katarsis
penceritaan.
3) Penulis atau pencerita tidak mempunyai ruang atau slot yang sesuai
dalam aliran cerita utama, maka teknik `flashback` digunakan.
4) Memang `flashback` adalah teknik penceritaan sebagai satu kaedah
estetika penceritaan.
5) `Flashback` boleh digunakan berkali-kali terpulang kepada kreativiti
pencerita yang difikir dapat mengindahkan penceritaan.
Flashback yang digunakan di dalam Kisah Nabi
Yusuf, ialah dengan kembali kepada cerita keluarga Nabi Ya`kub yang tidak
dibicarakan selepas kehilagan Yusuf – diselamat pedagang dan menjualnya kepada
keluarga Al-Aziz.
Keluarga Nabi Ya`kub adalah keluarga besar. Mempunyai
pertalian keturunan kepada keluarga mulia bertalian dengan Nabi Ishak anak Nabi
Ibrahim a.s. Keluarga ini tinggal di satu tempat yang dikenali dengan Nabulis,
di negeri Kan`an. Baginda dan keluarga hidup sebagai peladang, menananm gandum
, pokok buah-buahan dan menternak binatang. Baginda berkeluarga dengan
mempunyai empat isteri. (Dua isteri adaik beradik – Pada masa itu syarak tidak
melarang kahwin adik beradik, masing-masing isteri mempunyai seorang hamba
sahaya perempuan yang juga menjadi isteri Ya`kub). Dengan mereka Ya`kub beroleh
antaranya 12 anak lelaki:
Laya isteri
pertama beranakkan Rubil, Yahuda, Sham`un dan Lawi
Ruhil isteri kedua – Adik Laya beranakkan
Yusuf dan Bunyamin
Isteri
Ketiga (hamba pengasuh) melahirkan Yashakha, Zabulun dan Dana
Isteri Keempat (hamba pengasuh) melahirkan
Naftali, Kal dan Ashar.
Ya`kub menerima wahyu diutus Allah menjadi
Rasul dan menyeru keluarga dan masyarakatnya beragama Allah (Islam).
Raja bagi negeri Ka`an pada masa itu bernama
Saljam. Baginda belum pernah sampai ke penempatan Ya`kub, keluarga dan
pengikut-pengikutnya. Pada satu masa baginda sampai ke perkampungan Ya`kub dan
terkejut mendapati ada kependudukan di tempat tersebut. Ya`kub ditanya,
siapakah yang membenarkannya tinggal di situ. Ya`kub menjawab,
``Saya Ya`kub putera Ishak putera Ibrahim a.s.
dan aku bertempat tinggal di sini dengan izin Allah. Sesungguhnya aku ini
Utusan Allah yang akan mengajak padamu masuk agama Allah dengan percaya kepada
Allah s.w.t. yang menjadikan alam ini, dan hendaklah engkau mengakui, bahawa
aku ini hamba Allah yang menjadi Rasul (Perutusan Allah).``
Raja Saljam tidak menerima dakwah Ya`kub,
akhirnya berlaku peperangan antara keluarga dan pengikut-pengikut Ya`kub dengan
Raja Saljam dan rakyatnya yang akhirnya Raja Saljam dikalahkan.
Ya`kub dan pengikut-pengikutnya nampknya tidak
mempunyai tempat yang tetap, selepas itu mereka berpindah ke Baitul Maqdis dengan bergerak
pada malam hari (bererti berjalan malam). Kepada keturunan Ya`kub dikenali
dengan keturunan Bani Israil – Keturunan yang bergerak dan berjalan malam
kerana perpindahan. Sifat tidak mempunyai tempat tetap dan berpindah ini
berlaku kepada keturunan Bani Israil yang tidak mempunyai tempat tetap dan
berpindah-pindah, kini mereka menghuni di negara yang mereka namai `Israil`
setelah berpindah rindah dari berbagai tempat.
Adapun Ya`kob daripada Baitul Maqdis berpindah lagi
ke Mesir dan meninggal di sana dalam umur 147 tahun.
(Ny.H.Hidayahg Salim, Qishashul Anbiya –
Sejarah 25 Rasul, Pt. Al-Ma`arif, Bandung, 1988: 69-72).
Perpindahan ke sana ada kaitannya dengan Kisah
Yusuf yang menjadi `flashback` bagi `Kisah Nabi Yusuf`.
Sekian.
No comments:
Post a Comment