October 31, 2015

Aspek Hissi Dan Inderawi Lebih Segera Mendapat Perhatian Dan Kesan Dakwah


BBB,  17 Muharram 1437 = 30 Oktober 2015 (Jumaat):


Di dalam menyampaikan  maklumat, penerangan dan dakwah, bahan-bahan yang zmudah dijamah, dirasa atau yang dapat disaksi dengan panca indera lebih mudah menarik pandangan dan perhatian khalayak dan mudah difahami mereka dan mungkin mudah mendapat penerimaan. Surah Al-Hijr (15) Makkiyyah, sebagaimana telah disebutkan diturun berdepan dengan masyarakat Jahiliyyah yang kebanyakan belum menerima Islam. Dari satu segi surah ini adalah merupakan dakwah kepada penduduk Makkah yang antaranya menggunakan metod maklumat dan bercerita tentang kaum-kaum yang derhaka, ingkar dan sumbang seperti cerita tentang Kaum Hijr, Al-Aykah dan Kaum Lut yang menerima balasan setimpal dengan kejahatan, keingkaran dan kejijikan perlakuan mereka. Salah satu cara lagi yang dapat memberi faham dan tindakan menerima atau meninggalkan sesuatu yang disuruh atau dilarang ialah dengan memberi contoh kaedah `Pandangan Wujud` yang dekat dan mudah bagi kefahaman mereka, iaitu dengan cara nelihat, mengalami dan menghayati.
Al-Qur`an menggunakan fenomena alam yang dapat dilihat, disaksi dan dibuktikan tanpa dapat menolaknya sebagai contoh Al-Qur`an menarik perhatian tentang kejadian cakerawala sebagai maksud daripada ayat Al-Qur`an:
``Dan demi sesungguhnya kami telah menjadikan di langit bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya``. (15. 16).
Satu gambaran tentang fenomena bintang-bintang di langit yang tentu kelihatannya ialah pada waktu malam menarik indera pandangan mata (sebenarnya juga bagi minda) tentang bagaimana bintang-bintang berkenaan begitu banyak bertebar dan bertabur luas dan pada malam yang elok cuacanya kelihatan kerlipan bintang-bintang itu yang bersais besar dan kecil, berkedudukan jauh dan dekat bergemerlap menarik pandangan. Bagi yang mempunyai persediaan ilmu bintang (astronomi) tentulah ianya mempunyai kefahaman lebih mendalam. Diketahui misalnya kedudukan dan nama-nama sebahagian bintang-bintang, fungsinya bagi panduan dan pelayaran dan lebih luas lagi dapat dibicarakan cakerawala luas berdasarkan keilmuan astronomi. Allah memelihara dengan baik kedudukan secara lebih luas palanet-planet dan bintang-bintang yang masing-masing berada pada paksi masing-masing dan bergerak di atas orbit masing-masing tanpa berlaku sebarang kerosakan atau perlanggaran. Dengan kefahaman yang lebih luas dapat dimengerti dari pergerakan planet-planet dan bintang-bintang berlaku siang dan malam dan berlaku pertukaran musim yang memberi kemudahan bagi manusia berternak, bertani dan menjalankan kegiatan kehidupan.
Ini diteruskan dengan pemaparan `Pandangan Wujud` sebagai bukti yang bersifat inderawi (juga akli) sebagaimana ayat Al-Qur`an menyebut bermaksud:
``Dan di bumi kami bentangkanya dan kami pasakkannya dengan gunung ganang yang terdiri kukuh serta kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya``. (15.19).
Secara teratur, selepas menggambarkan fenomena alam cakerawala pada peringkat tinggi Allah menggambarkan pula secara seturut dan logik tentang fenomena alam pada peringkat bawah, iaitu bumi yang manusia huni. Diperlihatkan pandangan secara nyata bahawa permukaan bumi adalah terbentang luas yang dapat dilihat dari utara ke selatan dan dari barat ke timur. Pada permukaan dan pembentangan permukaan bumi yang diibarat sebagai `tikar raksaksa` di atas permukaan, maka untuk menjadikannya tetap, tidak bergerak dan tidak terlipat, maka dipaku pada  bahagian-bahagian penjuru dan di mana-mana yang sesuai dengan paku-paku gunung ganang dan bukit bukau agar permukaan menjadi tetap dan tidak digerakkan oleh pergerakan yang boleh berlaku dari bawah. Sesungguhnya pada permukaan bumi ini manusia yang berketurunan dari Adam dan Hawa itu yang selepas berkembang menduduki kawasan-kawasan yang di bahagi menurut kawasan dan kepentingan mereka, kawasan-kawasan yang dikenali sebagai negara, negeri, wilayah, bandar, kampung dan sebagainya. Maka di atas permukaan muka bumi dan kawasan masing-masing manusia berusaha bertani dan berladang dan menghasilkan tumbuh-tumbuhan yang sesuai dengan iklim dan hujan yang diturunkan dan saliran-saliran yang diadakan (sungai-sungai) menurut musim-musim dan kesesuaian dari segi keperluan bagi tumbuh-tumbuhan. Darinya terhasillah tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan buah-buahan yang dimakan dan juga diperdagangkan (pertukaran barang dengan tempat lain) bagi kepentingan kehidupan.
Ini bersesuaian dengan keterangan Al-Qur`an selanjutnya  seperti yang diumaksudkan:
``Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga kami jadikan makhluk-makhluk yang kamu bukanlah orang yang sebenarnya menyediakan rezekinya``. (15.20).
Bahkan Allah menerangkan secara lebih detail tentang proses penghasilan bahan-bahan pertanian bukan setakat tanam dan siramannya melalui hujan, tetapi Allah menyebutkan bermaksud:
``Dan kami hantarkan angin sebagai pembawa air  dan pemindahan benih (juga pendebungaan), maka dengan itu, Kami menurunkan air (hujan) dari langit dan kami berikan kamu minuman dan bukanlah kamu (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya``. (15. 22).
Begitu indah, menarik dan begitu detail Allah menerangkan tentang cakerawala, langit dan bumi dan proses kehidupan yang disediakan Allah pada permukaan bumi bagi kepentingan hidup manusia dan hidup-hidupan yang lain. Dengan penyediaan ini kehidupan manusia dan keperluan-keperluan, berlangsungnya hidupan pada permukaan bumi ini.
Dengan pembuktian nyata yang dibentangkan oleh Allah dan disaksi dan dihayati manusia secara langsung dan mereka juga melalui dan mengalami proses kehidupan ini,  apakah mereka mau menafikan kebenaran yang dibentangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala. ?
Ini adalah merupakan satu metod penerangan dan dakwah yang langsung dipaparkan oleh Allah dan menyentuh kehidupan manusia dan individu perseorangan. Seharusnya dengan keterangan dan huraian yang teratur, indah, menarik dan logik tidak dapat dinafikan oleh mereka yang mempunyai indera, hati nurani dan akal yang rasional. Apakah kaedah dakwah  yang lebih jelas dari keterangan dan huraian yang lebih jelas ini ?
Semoga dengan keterangan mereka beriman dan yang sudah beriman bertambah keimanan.

Sekian.




No comments:

Post a Comment