May 18, 2017

INTUISI KEZUHUDAN : PERSPEKTIF KESUFIAN


BBB,  20 Sha`ban 1438H. =  17 Mei 2017M. (Rabu):
Bab ini tidak disertai pembuktian dari pada ayat al-Qur`an, biarpun di sana terdapat ayat-ayat Al-Qur`an berhubung dengan zuhud seperti antaranya ayat yang bermaksud:
``Dan mereka adalah dari kalangan orang-orang zahid.`` (Yusuf: 20).
Zuhud adalah termasuk di bawah kategori maqam.
Al-Qushairy  mengukuhkan pendapat dengan membuktikan dengan Hadith Rasulullah s.a.w.
Mengkhabarkan kami oleh Hamzah bin Yusuf al-Sahmi al-Jurjani, berkata, mengkhabarkan kami Abu al-Husain bin `Ubaidillah bin Ahmad bin Ya`qub al-Maqri di Baghdad, berkata, bercakap kepada kami Ja`far bin Majashi` berkata, bercakap kepada kami Zaid bin Isma`il berkata, bercakap kepada kami Kathir bin Hisham, berkata, bercakap kepada kami al-Hakam bin Hisham daripada Yahya bin Sa`id daripada Abi Farwah daripada Abi Khallad dan adalah baginya sahabat berkata, bersabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
``Apabila kamu melihat seorang lelaki dikurnia zuhud di dunia dan bercakap, maka dekatlah dengannya, kerana ia menyampaikan hikmah.``
Ini terjadi, lantaran kehalusan jiwanya, mempunyai pengalaman-pengalaman yang berharga, lantaran itu  bercakapnya beserta dengan hikmat-hikmat kata.
Dan berkata Al-Ustadz  al-Imam Abu al-Qasim  r.h.a. beberapa pendapat tentang zuhd. Antara  mereka itu berkata:
Zuhud ialah pada perkara haram, kerana perkara halal ialah harus, kerana ia perkara ni`mat yang dikurniai Allah Subhanahu wa Ta`ala kepada hambanya dengan harta yang halal dan engkau menyembahNya penuh syukur, dia mendapatnya secara ikhtiar dan tidak bercanggah dengan hukum Allah.
Ada pula yang berpendapat, bahawa zuhud ialah terhadap perkara yang haram adalah wajib dan pada halal ialah kelebihan. Kerana pada yang halal ialah harta yang diusahakan secara betul dan sabar dan redha dengan apa yang dikurniai Allah kepadanya.
Dan dikatakan zuhud ialah orang menggunakan hartaya pada jalan ketaatan kepada Allah.
Aku mendengar Shaykh Aba `Abd al Rahman al-Sulami berkata,bercakap kepada kami Ahmad bin Isma`il al-Azdi berkata, bercakap kepada kami `Amran bin Musa al-Asqanji berkata, bercakap kepada kami al-Dauraqi, berkata, bercakap kepada kami Waqi` berkata, berkata Sufyan al-Thauri berkata,
`Zuhud di dunia ialah dengan memendekkan angan-angan. Bukan dengan memakan makanan yang keras dan bukan berpakaian lusuh.``
Dan aku mendengarnya berkata,, aku mendengar Sa`id bin Ahmad berkata, aku mendengar `Abbas bin `Is*am berkata,, aku mendengar Al-Junayd berkata,, aku mendengar Al-Sari berkata,
``Allah merampas dunia daripada wali-walinya dan menjaga kesuciannya dan mengeluarkan daripada hati mereka kegemaran pada bersuka-suka, kerana Dia tidak meredhai mereka dengannya.``
Dan dikatakan zuhud berdasarkan firman Allah bermaksud:
``Supaya engkau tidak kecewa dengan apa yang luput dari  kamu dan tidak gembira dengan apa yang datang kepada kamu,`` (Al-Hadid: 23).
Maka orang zahid tidak suka kepada yang bersifat keduniaan dan tidak duka dengan kehilangannya.
Berkata Yahya bin Mu`az, ``Zuhud mewarisi sifat murah hati dengan pemilikan, manakala kasih mewarisi murah hati dengan kerohanian.``
Berkata Al-Junayd, ``Zuhud ialah mengosongkan hati, sebagaimana kosong daripadanya tangan.``
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Ahmad bin `Ali berkata, aku mendengar Ibrahim bin Fatik berkata, aku mendengar Al-Junayd yang menyoalnya oleh Ruym tentang zuhd, maka katanya, ``Mengecilkan dunia dan menghapuskan kesannya daripada hati.``
Dan berkata Sari, ``Tidak elok kehidupan seorang zahid yang bekerja untuk kepentingan diri dan tidak elok kehidupan seorang `arif bekerja untuk dirinya.``
Disoal Al-Junayd  tentang zuhud, katanya, ``Kosong tangan dari pemilikan dan hati dari pengikutan.``
Disoal Shibli daripada zuhud, maka katanya, `` Engkau zuhud pada perkara yang selain daripada Allah.``
Kata Yahya bin Mu`adz, ``Tidak sampai seorang kepada hakikat zuhud, hingga ada padanya tiga perkara, ``Amalan yang tidak ada `ilaqah,  kata-kata yang tidak ada ketamakan dan kemuliaan yang tidak menunjukkan kebesaran.``
Berkata Ahmad bin Hanbal, ``Zuhud ada tiga wajah,
Pertama: Meninggalkan yang haram, ia adalah zuhud orang awam,
Kedua: Tinggalkan kelebihan daripada yang halal. Ia zuhud orang yang khas.
Ketiga:  Meninggalkan perkara yang menggaanggu hamba daripada Allah Ta`ala. Ia zuhud para `arifin.``
Aku mendengar Muhammad bin `Abdullah berkata, bercakap kepada kami, `Ali bin al-Husain al-Mus*il,  berkata, bercakap kepada kami Ahmad bin al-Husain berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin al-Hasan berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Ja`far berkata, kami mendengar Al-Fudhail bin `Iyadh berkata,,
``Allah menjadikan kejahatan keseluruhannya di dalam satu rumah dan menjadikan kuncinya `cintakan dunia` dan menjadikan kebaikan seluruhnya di dalam satu rumah dan menjadikan kuncinya `zuhud.``
Demikianlah intuisi kezuhudan menurut perspektif kesufian.

Sekian.

May 17, 2017

WARA` BENTENG KAWALAN DARI PENCEROBOHAN


BBB,  19 Sha`ban 1438H. = 16 Mei 2017M. (Selasa):
Al-Wara`  menurut Al-Sarraj adalah terletak di bawah al-maqam.  Al-Wara` juga adalah menjadi judul bagi sebuah kitab Ahmad bin Hanbal. Tiada hujah dari ayat Al-Qur`an dikemukakan oleh Al-Qushairy, sebaliknya dikemukakan Hadith bahawa,
Mengkhabarkan kami oleh Abu al-Husain `Abdul Rahman bin Ibrahim bin Muhammad bin Yahya al-Muzakki berkata, mengkhabarkan kami Muhammad bin Da`wud bin Salman al-Zahid berkata, mengkhabarkan kami Muhammad bin al-Husain bin Qutaibah berkata, bercakap kepada kami Ahmad bin Abi T*ahir al-Khurasani berkata, bercakapkan kami Yahya bin al-`Izar  berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Yusuf al-Qurbabi daripada Sufyan daripada al-Ajlah daripada `Abdillah bin Buraidah daripada Abi al-Aswad al-Da`uli daripada Abi Dzarr berkata,
Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Daripada kebaikan Islam seseorang dia meninggalkan apa yang tidak berkenaan dengannya.``
Berikutnya dipetik pendapat dari kalangan sufi tentang wara`.
Berkata Al-Ustadz al-Imam r.a. ``Adapun wara` ialah meninggal perkara shubhah.``
Demikianlah kata Ibrahim bin al-Adham, ``Wara` ialah meninggalkan tiap-tiap shubhah dan meninggalkan apa yang tidak berkenaan dengan engkau, iaitu meninggalkan kelebihan-kelebihan.``
Dan berkata Abu Bakar al-S*iddiq r.a. ``Adalah kami meninggalkan tujuh puluh bab  daripada halal, kerana takut kami terjatuh pada satu bab daripada haram.``
Dan bersabda Nabi s.a.w. kepada Abi Hurairah, bermaksud:
``Jadilah wara`, engkau dihormati manusia.``
Seterusnya hujah yang lain, Aku mendengar al-Shaykh Aba`Abdil Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Aba al-`Abbas al-Baghdadi berkata, aku mendengar Ja`far bin Muhammad berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata, aku mendengar al-Sarri berkata,
``Adalah orang wara` pada masa mereka empat: Huzaifah al-Mar`ashiyy, dan Yusuf bin al-Asbat*, dan Ibrahim bin al-Adham dan Sulaiman al-Khawas*s*, maka mereka melihat tentang kewarakan sebagai ilmu yang menyempitkan mereka berbagai perkara, maka mereka takut dan lebih selesa dan mensedikitkan.``
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar Aba al-Qasim al-Dimashqi berkata, aku mendengar Shibli berkata, ``Wara ialah engkau mewara`kan daripada perkara yang  selain daripada Allah Ta`ala.
Katanya, aku mendengar Aba al-Husain  al-Farisi berkata, aku mendengar Ibn Ghalwiyyah berkata, aku mendengar Yahya bin Mu`adz berkata, ``Wara` di atas dua wajah. Wara` pada zahir, bahawa dia tidak bergerak melainkan bagi Allah Ta`ala, dan wara` pada batin, bahawa tidak masuk di dalam hati engkau selain daripada Allah Ta`ala.``
Dan berkata Yahya bin Mu`adz, ``Siapa yang tidak melihat pada kehalusan daripada wara`, dia tidak sampai kepada Rabb al-Jalil daripada kurniaan.``
Dan berkata Yunus bin `Ubaid, ``Wara` ialah keluar daripada tiap-tiap shubhah dan muhasabah diri daripada tiap-tiap kejipan mata.``
Berkata Sufyan al-Thauri, ``Aku tidak melihat perkara yang terlebih mudah daripada wara`, apa yang meragukan diri engkau, engkau tinggalkannya.``
Dan berkata Ma`ruf al-Karkhi, ``Jagalah lidah engkau daripada pujian, sebagaimana engkau jaganya daripada dosa.``
Mengkhabarkan kami Ahmad bin Muhammad bin Yahya al-Sufi berkata, aku mendengar `Abdullah bin `Ali bin Yahya al-Tamimi berkata, aku mendengar Ahmad bin Muhammad bin Salim di Basrah berkata, disoal Sahl bin `Abdullah dari segi halal yang bersih, maka katanya, ``Dia yang tidak menderhakai Allah Ta`ala, dan kata Sahl, ``Halal yang bersih ialah yang tidak melupai Allah padanya.``
Dan masuk Hasan Basri ke Makkah, dia melihat seorang anak daripada anak-anak `Ali bin Abi Talib r.a. dia menyandarkan belakangnya ke Ka`bah memberi nasihat kepada orang ramai. Maka bertanya Al-Hasan, ``Apakah pengukuhan dalam agama, maka jawabnya `al-wara`, lalu  dia bertanya lagi, ``Apakah yang merosakkan agama ?, maka jawabnya, `tamak` ``. Hasan kagum dengan jawapannya.
Sesungguhnya wara` adalah merupakan, maqam yang mulia. Berlakunya wara` pada diri yang berhias dengan sifat ini menandakan sifat prihatin yang ada pada diri berkenaan. Jiwanya mengatasi jiwa biasa. Dia prihatin terhadap kebersihan bermula dari amalan harian  seperti makan minum. Ianya dipastikan tentang halal dan haram agar sumber bagi kehidupan dan tumbesar diri tidak bersumberkan perkara yang haram.
Dari perkara yang melibatkan perkara lahir, wara` melibatkan perkara batin yang lebih halus. Misalnya yang melibatkan dengan akhlak diri. Dia mempastikan diri tidak bersifat sombong. Mempastikan diri melakukan sesuatu terutama melibatkan orang ramai bersifat ikhlas dan tidak ingin dipuji, kerana ianya boleh merosakkan keikhlasan dan amalan.
Pembawaan wara` adalah bukan sesuatu yang dipaksa, kalau tidak ianya dikatakan berpura-pura. Perlakuan wara` adalah pancaran dari dalaman yang memang tidak senang  dengan sesuatu yang tidak pasti, shubhah dan meragukan. Jika sedikit berlaku, maka hati kecil akan menempelak diri dan menjadikan diri tidak tenteram. Sifat wara` adalah penjaga dan pengawal diri yang jika diibarat diri sebagai rumah, wara` adalah pagar luar yang dapat mengawal dari pencerobahan. Ia adalah lapisan tambahan dari dinding rumah sebagai lapisan yang sudah bertujuan untuk mencegah dari pencerobohan.
Wara` adalah maqam mulia yang merupakan perjalanan kualiti diri ke arah yang lebih tinggi yang dapat meningkat kepada zuhud.

Sekian.

May 16, 2017

AL-TAQWA : ISTILAH POPULAR


BBB,  18 Sha`ban 1438H. = 15 Mei 2017M. (Isnin):
Taqwa ialah istilah dan juga konsep terkenal bukan sahaja di dalam tasawuf,  bahkan dari segi ibadat dan akhlak. Taqwa termasuk di bawah hal. Taqwa dari segi lughah ialah `takut` dan juga `taat`. Dari segi istilah antaranya taqwa bermakna, mematuhi titah perintah Allah dan menjauhi dari larangan-laranganNya dan usaha mendekati Allah dengan amalan yang baik.
Di dalam membicarakan tentang (Bab Taqwa) ini, Al-Qushairy  memetik firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya yang terlebih mulia dari kamu ialah yang lebih taqwa dari kalangan kamu.`` (Al-Hujurat: 13).
Manakala Hadith:
Mengkhabarkan kami Abu al-Hasan `Ali bin Ahmad bin `Abdan berkata, mengkhabarkan kami Ahmad bin `Ubaid al-S*aqqar berkata, mengkhabarkan kami Muhammad bin al-Fadhl bin Jabir berkata, bercakapkan kami Ibn `Abd al-A`la al-Qurashiyy berkata, bercakapkan kami Ya`qub al-`Ama daripada Layth daripada Mujahid daripada Abi Sa`id al-Khudhri berkata,
``Datang seorang lelaki menemui Nabi s.a.w., maka katanya, ``Wahai  Nabi Allah, wasiatkan daku, maka Baginda bersabda,``
``Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah, maka sesungguhnya dia menghimpun segala kebaikan dan hendaklah engkau berjihad, maka sesungguhnya ia adalah `rahbaniyyah`  muslim dan hendaklah engkau berdzikir kepada Allah kerana dia adalah cahaya bagi engkau.`` (Dikeluarkan oleh Ibn al-Dharis daripada Abi Sa`id).
Manakala pendapat-pendapat sufi tentang taqwa:
Aku mendengar al-Shaykh `Abd al-Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Ahmad bin `Ali bin Ja`far berkata, aku mendengar Ahmad bin `As*im berkata, aku mendengar Sahl bin `Abdullah berkata,
``Tidak ada yang menolong, melainkan Allah dan tidak ada dalil melainkan Rasulullah dan tidak ada bekalan melainkan taqwa dan tidak ada amalan, melainkan sabar ke atasnya.``
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar Aba Bakr al-Razi berkata, aku mendengar al-Kattani berkata, ``Dibahagi dunia di atas balwa dan dibahagikan akhirat di atas taqwa.``
Dan Aku  mendengarnya berkata, aku mendengar Aba Bakr al-Razi berkata, aku mendengar Al-Jariri berkata, ``Siapa tidak menghukum di antaranya dan di antara Allah secara taqwa dan muraqabah, maka dia tidak sampai kepada kashaf dan mushahadah.``
Dan berkata Al-Nas*r Abadzi,  `Al-taqwa ialah bahawa takut hamba  tidak kepada lain, melainkan kepada Allah.``
Berkata Sahl, ``Siapa yang sah baginya taqwa, maka hendaklah dia tinggal segala dosa keseluruhannya.``
Dan berkata Al-Nas*r Abadzi, ``Siapa yang melazimkan taqwa dia rindu kepada memisahkan keduniaan, kerana Allah Subhanahu wa Ta`ala berfirman bermaksud,
``Dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa, oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir ?`` (Al-An`am:  32).
Dan kata setengah daripada mereka itu, ``Siapa yang tahqiq pada taqwa Allah memudahkannya menempuh rintangan dunia.``
Dan kata Abu `Abdillah al-Rudzbari, ``Taqwa ialah menjauhi apa yang menjauhkan engkau daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala.``.
Dan berkata Dzu al-Nun al-Mis*ri, ``Orang yang bertaqwa ialah orang yang tidak dikotorkan pada zahirnya daripada segala gangguan dan tidak batinnya dari segala penyakit dan dia berdiri bersama dengan apa yang menepati kehendak Allah.``
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Aba al-Hasan al-Farisi berkata, aku mendengar Ibna `At*a` berkata,
``Bagi taqwa ada z*ahir dan bat*in, maka zahirnya ialah menjaga had-had dan batinnya ialah niat dan ikhlas.``
Dan berpuisi Dzu al-Nun al-Misri tentang  taqwa:
Tiada kehidupan melainkan dengan lelaki hati mereka
Rindu kepada taqwa dan lidahnya  berdzikir sentiasa
Tenang dengan roh keyakinan segalanya kebaikan
Sebagaimana tenangnya bayi di atas riba ibunya disusukan.
Dan dikatakan dalil taqwa seseorang dengan tiga keindahan:
Keindahan tawakkal di dalam semua hal, keindahan redha dengan apa yang berlaku dan keindahan sabar dengan apa yang telah berlalu.``
Dan berkata T*alq bin Habib, `` Taqwa ialah amalan ketaatan kepada Allah sebagai cahaya daripada Allah, lantaran takut kepada balasan seksa Allah.
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Aba al`Abbas Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Muhammad bin `Abdullah al-Farghani berkata, ``Adalah Al-Junayd duduk bersama Ruym dan Al-Jariri dan Ibn `At*a`, maka berkata Al-Junayd,
``Tidak berjaya orang berjaya melainkan dengan benar, mendapat lindungan,`` lantaran firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan Allah menerima pula taubat tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka)  hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka.`` (Al-Taubah:  118).
Dan berkata Ruym, ``Tidak berjaya orang yang berjaya, melainkan dengan benar taqwa,`` lantaran firman Allah Ta`ala bermaksud, ``
``Dan sebaliknya  Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dengan mereka beroleh kemenangan yang besar, `` (Al-Zumar: 61).
Dan berkata Al-Jariri, ``Tidak berjaya orang yang berjaya, melainkan menunaikan janji.`` Lantaran firman Allah Ta`ala bermaksud,
``Mereka yang menunaikan dengan janji Allah dan tidak merombakkan (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu.`` (Al-Ra`d: 20).
 Dan berkata Ibn `Ata`, ``Tidak berjaya orang yang berjaya, melainkan dengan tahqiq rasa malu, lantaran firman Allah Ta`ala bermaksud, `` Tidakkah dia mengetahui bahawa Allah itu melihat ? (Al-`Alaq:  14). Dan berkata l-Ustadz al-Imam,
``Tidak berjaya orang berjaya, melainkan dengan hukum dan qadha` `` lantaran firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya  mereka itu  mendahului bagi mereka  memperolehi kebaikan dari Kami`` (Al-Anbiya`:  101).
Dan dia juga berkata, ``Tidak berjaya orang berjaya melainkan dengan apa yang mendahului baginya daripada pemilihan, sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud,
``Dan Kami telah pilih mereka dan kami telah tunjukkan mereka  kejalan yang betul.`` (Al-An`am: 87).
Demikian maksud dan huraian mengenai kalimah dan konsep taqwa yang merupakan istilah popular di dalam bidang ibadat, tasawuf dan akhlak.

Sekian.

May 15, 2017

KHULWAH DAN `UZLAH - DIMENSI LAIN MENGENAI KONSEP PENGASINGAN


BBB,  17 Sha`ban 1438H. = 14 Mei 2017M. (Ahad):
Dua Persoalan yang berkait dengan tasawuf yang seolah-olah menjadi lambang kesufian – Khulwah dan `Uzlah, namun  ada kontroversinya. Al-Sarraj membicarakan topik berkenaan sebagai `Adab Orang Memilih  Khulwah dan `Uzlah`.
Baik Al-Qushairy atau Al-Sarraj tidak menghujahkan bukti tentang khulwah dan `uzlah ini dengan ayat Al-Qur`an, tetapi Al-Qushairy mendasarkan kepada Hadith Nabi s.a.w.
Mengkhabarkan kami oleh Abu al-Hasan `Ali bin Ahmad bin `Abdan berkata, mengkhabarkan kami oleh Ahmad bin `Ubaid al-Basri berkata, bercakap kepada kami `Abdul `Aziz bin Mu`awiyah berkata bercakap kepada kami al-Qa`nabi berkata, bercakap kepada kami `Abdul `Aziz bin Abi H*azim daripada bapanya daripada Ba`jah bin `Abdillah bin Badr al-Jahni daripada Abi Hurairah berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Sebaik-baik kehidupan manusia keseluruhannya, lelaki yang mengambil kekang kuda dan menunggangnya pada jalan Allah, dia mendengar suara ketakutan dan herok pekok ketika di atas tunggangan kudanya, dia tidak takutkan maut atau terbunuh mati syahid atau kemenangan di medan jihad. Atau seseorang yang mengembalakan biri-biri dan kambing di perlembahan, dia mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan dia menyembah Tuhannya dengan penuh keyakinan, tiadalah manusia sepertinya melainkan adalah orang yang baik.`` Hadith riwayat Muslim.
Berhubung dengan khulwah, berkata  Al-Ustadz, khulwah ialah sifat ahli al-safwah (sufi), dan uzlah adalah daripada tanda-tanda perhubungan dan tidak dapat tidak bagi murid pada peringkat permulaan amalannya ialah dengan ber`uzlah bersama pelajar-pelajar permulaan sesamanya dan pada akhirnya dengan berkhulwah tahaqqiq dengan uns. Dan daripada haq seorang hamba apabila terkesan dengan `uzlah hendaklah berpegang dengan  `uzlahnya daripada makhluk agar dapat menmyelamatkannya dari kejahatan dan pancaroba makhluk.
Dan daripada adab `uzlah menghasilkan ilmu yang disahkan dari ilmu tauhid dan shara` yang dengannya ditunaikan fardhu. `Uzlah pada hakikatnya mengasingkan  diri dari sifat-sifat keji dan menghias diri dengan sifat-sifat terpuji.
Katanya, aku mendengar  Aba `Abdul Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Aba `Uthman al-Maghribi berkata,
``Siapa memilih khulwah dari persahabatan, hendaklah dia kosong dari zikir kecuali kepada Allah. Dan kosong dari kemahuan, melainkan redha kepada Tuhannya dan kosong dari menuntut dirinya daripada sebab-sebab, tanpa sifat-sifat ini, maka khalwahnya bagai  terjatuh pada fitnah atau  rosak.
Katanya, aku mendengar Aba `Abd al-Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Aba Bakr al-Razi berkata, aku mendengar Aba  `Amri al-Anmat*i berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata,
``Siapa yang mau menyelamatkan agamanya atau rehat badan dan hatinya, maka hendaklah dia mengasingkan dirinya daripada manusia, kerana zaman ini zaman keliaran dan yang berakal ialah orang yang memilih pengasingan.``
Dan aku mendengarnya juga berkata, aku mendengar Aba Bakr al-Razi berkata, berkata Ya`qub al-Sausi,  ``Bersendiri tidak kuat melainkan orang mempunyai kekuatan. Contoh dalam masyarakat kita perlu mengambil manfaat oleh setengah daripada mereka dari setengah yang lain.``
Dengan pendapat Al-Sausi, yang menyimpang dari pendapat banyak di atas, dapat kita perbincangkan sekurang-kurangnya dua pendapat di atas – juga dua pendekatan.
Pendapat pertama, untuk mengikuti tasawuf apa lagi bertariqat dengan mengikut anjuran tariqat tertentu perlu mengasingkan diri, antaranya untuk menghendar diri dari pengaruh tertentu terhadap murid yang baru bertariqat., Dengan bertariqat diharap dia akan dapat menghening diri dan mudah menerima pengajaran dan membuat amal.
Namun dengan pengasingan diri secara fizikal dari masyarakat, tidak kurang bahayanya bagi pengikut berkenaan, kerana dengan pengasingan dan persendirian, walaupun ada bimbingan pihak tertentu, tidak terjamin dari penyelewengan, atau melakukan amalan secara sendirian juga terbuka kepada penyelewengan.
Konsep khulwah dan `uzlah tidak bererti khulwah dan `uzlah secara fizikal, khulwah dan `uzlah lebih berkesan ialah dengan  khulwah dan `uzlah  minda hati dan jiwa. Pendidikan yang benar dan berkesan, ialah pendidikan yang terbuka berdepan dengan masyarakat sebagai makmal. Dengan secara terbuka, pelatih dapat mencontohi dari masyarakat tentang latihan baik dan buruk dan mendapat contoh dan bimbingan secara praktikal dan dapat memperbaiki kesalahan dan mencontohi kebaikan. Pelatih tidak sepatutnya bersifat individualis, masyarakat adalah tempat sebenar bagi mendapat ujian dan latihan dan masyarakat adalah bidang yang terbuka baginya bukan saja mempelajari, tetapi dengan kemampuan dia dapat membimbing masyarakat ke arah kebaikan. Pengasingan sebenarnya terasing dari ujian dan belum tentu bila dia berdepan dengan masyarakat dia mampu mempertahankan diri dan peribadinya yang belum teruji.
Islam adalah agama secara berjamaah dan bermasyarakat dan menggalakkan kerja-kerja secara berjama`ah,  Ibadat-ibadat seperti solat, haji, tolong menolong dan berbuat kebajikan memerlukan jama`ah, bahkan kekuatan umat ialah secara berjamaah. Ketahanan fizikal dan dalaman adalah kekuatan secara berjama`ah. Adalah dibandingkan dan dianjurkan, bahawa seorang Islam yang terdidik di dalam jamaah, ialah seperti ikan  yang hidup di dalam laut masin, tubuh fizikalnya walaupun berada di dalam laut masin, tetapi kerana dirinya hidup, tidak dipengaruhi oleh kemasiman air, sebaliknya  ikan yang mati, jika digaramkan, maka mudah ianya diserapi garam dan menjadi masin.
Demikian ibarat tarbiah dan pendidikan Islam adalah bersifat kemasyarakatan dan berjama`ah.  Pelajar-pelajar dilatih dan ditarbiah di dalam jama`ah baik dari segi akhlak bermu`asyarah, bahkan di dalam beribadah. Mereka seharusnya membawa diri dan berakhlak baik dan hidup di dalam berjama`ah bahkan jika berkelayakan memimpin jama`ah, termasuklah di dalam bidang kerohanian.
Diri dan masyarakat Islam haruslah sebagai ikan yang hidup di tengah lautan dan bukan ikan yang mati di tengah daratan yang mudah digaram.

Sekian.

May 14, 2017

MUJAHADAH: PANDUAN DAN PERCANGGAHAN


BBB, 16 Sha`ban 1438H. =  13 Mei 2017M. (Sabtu):
Al-Mujahadah tidaklah diukategorikan di dalam sama ada di bawah maqam atau hal, tetapi ia adalah persoalan tasawuf, bahkan pengalaman yang harus dilalui oleh orang yang memasuki alam tasawuf. Mujahadah yang bermaksud bersungguh-sungguh melibatkan praktik,  jasmani, akli, hati dan rohani. Ianya melibatkan perjalanan kualiti diri yang seharusnya berlaku peningkatan kepada yang lebih baik dan berkualiti, kalau tidak, dan bercanggah tidak bermakna dari segi mujahadah.
Sebagaimana bagi al-taubah, demikian juga bagi al-Mujahadah adalah berdasarkan kepada firman Allah Ta`ala yang bagi al-mujahadah firman Allah bermaksud:
``Dan mereka yang berjihad pada jalan Kami, nescaya Kami tunjukkan mereka jalan-jalan Kami, dan Allah sentiasa bersama orang-orang yang berusaha membuat  kebaikan.`` (Al-`Ankabut: 69).
Al-Qushairy juga mengukuhkan pendapat tentang mujahadah dengan Hadith Rasulullah s.a.w. dengan riwayat dan sanad yang lengkap, bahawa,
``Mengkhabarkan kami oleh Abu al-Husain `Ali bin Ahmad al-Ahwazi berkata, mengkhabarkan kami Ahmad bin `Ubaid al-S*affar berkata, mengkhabarkan kami oleh Al-`Abbas bin al-Fadhl al-Isqat*i berkata, mengkhabarkan kami Ibn Kasib berkata, mengkhabarkan kami Ibn `Uyaynah daripada `Ali bin Zaid daripada Abi Nus*rat daripada Abi Sa`id al-Khudhri berkata,
``Disoal Rasulullah s.a.w. daripada seafdhal-afdhal al-jihad, maka bersabda Baginda. ``Kalimah adil di sisi sultan yang z*alim (ja`ir). Dan mengalir air mata dari kedua-dua mata Abi Sa`id. (Riwayat Tirmidzi, Abu Da`wud dan Ibn Majah).
Seterusnya diikuti dengan pendapat kalangan sufi.
``Aku mendengar  Al-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq berkata, ``Barang siapa menghias z*ahirnya dengan mujahadah, nescaya diperindahkan Allah sara`ir (rahsia-rahsianya) dengan mushahadah, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan mereka yang bermujahadah pada jalan Kami, nescaya Kami tunjukkan mereka itu jalan-jalan Kami.`` (Al-`Ankabut: 69).
Dan ketahuilah  bahawa siapa yang tidak ada permulaannya sebagai orang yang bermujahadah dia tidak dapat melalui tariqat ini sama sekali.
Aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abd al-Rahman al-Sulami  berkata, aku mendengar Aba `Uthman al-Maghribi berkata:
``Siapa yang menyangka bahawa terbuka baginya sesuatu daripada ini tariqah atau terbuka baginya sesuatu daripadanya tanpa melazimkan mujahadah, maka dia di dalam kesilapan.``
Aku mendengar  Al-Ustadz  Aba `Ali  al-Daqqaq r.h.a. berkata, ``Siapa yang tidak ada permulaannya berdiri, maka tidak ada pengakhirannya duduk.
Dan aku mendengar dia berkata akan kata mereka itu, ``Al-harakah ialah berkat dengan harakah-harakah zahir yang membawa barakah pada al-sara`ir.``.
Aku mendengar  Al-Shaykh `Abd al-Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar  Mansur bin `Abdullah berkata, aku mendengar Muhammad bin Hamid berkata, aku mendengar Muhammad bin Khadhrawaih berkata, aku mendengar Ibrahim bin Adham berkata,
``Tidak mencapai seorang darjah al-salihin sehingga dia dapat mengatasi  enam halangan:
Pertama mengunci  pintu  ne`mat dan terbuka pintu kesusahan
Kedua, mengunci pintu kemuliaan dan terbuka pintu kehinaan
Ketiga, mengunci  pintu  kerehatan dan terbuka pintu kesungguhan
Keempat, mengunci pintu  tidur dan terbuka pintu jaga
Kelima, mengunci pintu kekayaan dan terbuka pintu kefaqiran, dan
Keenam, mengunci  pintu  angan-angan dan terbuka pintu persediaan maut.
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Muhammad bin `Abdullah bin Shadzan berkata, aku mendengar Yusuf bin al-Husain berkata, aku mendengar Dzu al-Nun berkata,
``Tiada lebih kemuliaan  diberi Allah kepada hamba kemuliaan yang dia mulia daripada pertunjukan  tentang kehinaan dirinya. Dan tiada pertunjukan  Allah kepada hamba menghina yang dia hina dengannya daripada disekat  diri  dari mengenal hina dirinya.``
Aku mendengar Shaykh `Abdul Rahman berkata, aku mendengar Mansur bin `Abdullah berkata, aku mendengar Aba `Ali al-Rudzbari berkata,
``Berlaku kekejian pada makhluk tiga perkara, kekejian tabi`at, melazimkan adat dan kerosakan sahabat. Aku bertanya tentang ikatan tabi`at, maka katanya ialah memakan perkara haram, aku tanya tentang melazimkan adat, katanya melihat, mendengar perkara haram dan mengumpat. Kataku apa yang merosakkan persahabatan, maka katanya apabila bergelora hawa nafsu, engkau mengikutinya.
Berkata Dzu al-Nun al-Misri , berlaku kerosakan pada makhluk oleh enam perkara:
Pertama: Lemah niat dengan amalan akhirat
Kedua: Badan dihina dengan kekejian syahwat
Ketiga: Dikalahkan oleh panjang angan-angan pada hal ajal menjelang
Keempat: Lebih meredhai makhluk dari  meredhai Khaliq.
Kelima:  Lebih menurut hawa nafsu dan membelakangi  Sunnah Rasulullah s.a.w.
Keenam: Menjadikan sedikit kesilapan salaf sebagai hujah bagi diri, sedang mengabaikan kebanyakan manaqib mereka itu.
Demikian contoh mujahadah dan percanggahan dari mujahadah yang dapat dijadikan panduan.

Sekian.

May 13, 2017

PERSOALAN DAN PENGALAMAN KESUFIAN - TAUBAH KEPERLUAN UTAMA


BBB, 15 Sha`ban 1438H. = 12 Mei 2017M. (Juma`at):
Selepas  membicarakan tentang tokoh-tokoh sufi dan istilah-istilah mereka , Al-Qushairy di dalam Al-Risalat al-Qushairiyyahnya membicarakan  tentang persoalan dan  pengalaman  kesufian, sebagai bab ketiga yang  secara seturutnya 52 bab. Apa yang didekati oleh Al-Qushairy ini telah didekati oleh seperti  Al-Sarraj di dalam Al-Luma` dan  Abu Bakar Muhammad al-Kalabadzi di dalam Al-Ta`rruf li Madzhab Ahl al-Tasawwuf. Al-Sarraj dengan jelas menjelas dan membezakan antara al-maqamat dan al-ahwal, tetapi Al-Kalabadzi tidak memecahkan pembahagian kepada maqam dan hal. Keadaan yang sama bagi Al-Qushairy. Di dalam 52 bab seterusnya adalah bercampur dengan konsep maqamat dan ahwal dan aspek-aspek yang lain. Lantaran itu bagi merangkumkan semua bab  ini kita letakkan semuanya di bawah Persoalan Dan Pengalaman kesufian. Dari 52 bab, ianya bermula dengan :
Bab Al-Taubah
Bagi setiap bab bagi persoalan dan pengalaman kesufian ini diberi huraian yang panjang yang memakan ruang beberapa halaman, berbanding huraian bagi istilah-istilah yang telah dibicarakan memakan ruang yang agak pendek dan terhad. Bagi satu halaman dibicarakan beberapa istilah.
Pendekatan yang digunakan bahawa bagi setiap persoalan antaranya dimulakan dengan ayat Al-Qur`an yang berhubung dengan topik. Al-Qushairy menggunakan gaya Hadith bagi meriwayatkan kata-kata tokoh yang  diambil pendapat mereka berhubung dengan persoalan yang dibicarakan.
Persoalan taubah adalah termasuk di bawah maqam, bahkan ianya berkedudukan pertama bagi  persoalan maqam.
Untuk persoalan maqam taubah ini Al-Qushairy memetik ayat Al-Qur`an tentang taubah, iaitu: bermaksud:
``Hendaklah kamu bertaubat kepada Allah kesemua wahai orang-orang mu`minin semoga kamu berjaya.`` (Al-Nur: 31).
Kemudian Al-Qushairy memetik Hadith Rasulullah s.a.w. berhubung dengan taubat,  lengkap dengan rawi dan sanad:
Mengkhabarkan kami Abu Bakar Muhammad bin al-Husain bin Faurik berkata, mengkhabarkan kami Ahmad bin Mahmud bin Kharraz berkata, bercakap kepada kami,  Muhammad bin Fadhl bin Jabir berkata, bercakap kepada kami Sa`id bin Abdullah, berkata, bercakap kepada kami Ahmad bin Zakariyya berkata, bercakap kepada kami bapaku, berkata, ``Aku mendengar Anas bin Malik berkata,aku mendengar Rasulullah s.a.w.  bersabda, bermaksud:
``Orang yang bertaubat daripada dosa, seperti orang yang tidak ada dosa baginya. Dan apabila Allah menyukai seseorang hamba, tidak memudharatkannya dengan dosa,`` Kemudian  Baginda membaca  (ayat Al-Qur`an) bermaksud:
``Allah suka orang yang bertaubat dan suka orang yang bersih.`` (Al-Baqarah: 222). Baginda ditanya, ``Apa alamat taubat ? Baginda bersabda ``Menyesal.``
Konsep taubah ini diperkukuhkan lagi dengan Hadith Rasulullah s.a.w.
Mengkhabarkan kami oleh `Ali bin Ahmad bin `Abdan al-Ahwazi berkata, mengkhabarkan kami Abu al-Husain bin Ahmad bin `Ubaid al-S*aqqar, mengkhabarkan kami Muhammad bin al-Fadhl bin Jabir, mengkhabarkan kami oleh Al-Hakam bin Musa berkata, mengkhabarkan kami oleh Khassan bin `Ubaid daripada Abi `Atikah T*arif bin Sulaiman daripada Anas bin Malik bahawa Nabi s.a. w.a.w.s. bersabda bermaksud:
``Tidak suatu yang lebih disukai Allah daripada seorang pemuda yang bertaubat.``
Berkata Al-Qushairy,  ``Taubah ialah awal manzilah daripada manazil para salikin dan seawal-awal maqam daripada maqamat yang menuntut.``
Dan hakikat taubat dari segi lughah `Arab ialah kembali, dikatakan `dia bertaubat, bermaksud `Dia kembali`.
Dan taubah ialah kembali daripada perkara yang keji dari segi shari`at kepada apa yang terpuji padanya, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. ``Sesal ialah `Taubah`.
Maka tokoh-tokoh Usul daripada Ahlu  al-Sunnah, mereka berkata,
Syarat sah taubah tiga perkara,
Kesal di atas apa yang dilakukan dari kesalahan-kesalahan
Meninggal kesalahan dalam keadaan semasa (al-hal), dan
Berazam tidak kembali kepada melakukan seumpama apa yang telah dilakukan daripada perkara-perkara ma`siat.
Berkata Al-Junayd taubat perlu tiga perkara:
Pertama kesal, kedua azam tidak kembali kepada apa yang ditegah Allah dan berusaha menurut jalan yang betul.
Berikutnya dipetik dari berbagai pendapat tokoh sufi yang pendapat mereka sebagai mengulas firman Allah dan sabda Junjungan, bahawa taubat adalah persoalan penting di dalam kehidupan dan setiap orang tidak sunyi dari melakukan kesalahan. Bagi sufi taubat adalah keperkuan awal dan utana sebagai permulaan melangkah ke gerbang kerohanian.

Sekian.

May 12, 2017

AL-SIRR PUNCAK PENUJUAN ROHANI - ISTILAH TERAKHIR SUSUNAN AL-QUSHAIRY


BBB, 14 Sha`ban 1438H. = 11 Mei 2017M. (Khamis):
Al-Sirr ialah istilah terakhir  daripada 29 istilah yang disusun oleh Al-Qushairy. Jumlah ini berdasarkan pecahan, sedangkan sebahagian daripada 29 pecahan ada terdapat lebih dari satu istilah bagi setiap pecahan.
Al-Sirr dari segi bahasa biasa ialah rahsia, tersembunyi, lawan dari terang dan nyata.
Antara maksud daripada ayat Al-Qur`an mengenai istilah ini bermaksud:
``Dan jika engkau menyaringkan suara dengan d o`a permohonanmu, dan yang demikian itu tidaklah perlu, kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.`` (Taha: 7).
FirmanNya lagi bermaksud:
``Selain dari itu aku (berulang-ulang)  menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.`` (Nuh: 9).
Menurut Al-Qushairy `al-Sirr` dari segi kesufian  ialah sesuatu yang latifah bertempat di hati seperti roh. Dia adalah menjadi tempat mushahadah sebagaimana roh adalah tempat mahabbah, manakala hati ialah tempat bagi ma`rifah.
Dan berkata mereka itu dari kalangan sufi bahawa, al-Sirr ialah apa yang bagi engkau  mulia
Dan `al-sirr  al-sirr` ialah sesuatu yang tidak mampu diungkap selain dari Al-Haqq.``
Kalangan kaum sufi melihat bahawa, al-sirr lebih halus daripada roh dan roh lebih mulia daripada hati.
Mereka juga berkata,` `Asrar adalah merdeka yang terlepas dari belenggu dan perhambaan hawa nafsu,  tipu daya dan kesan-kesan darinya.``
Dan dit*laqkan lafaz* al-sirr adalah termaksud kepada hubungan antara hamba drngan Allah Subhanahu wa Ta`ala di dalam hal, sebagaimana difahamkan bahawa mereka  berkata,
``Rahsia kami adalah keperawasan yang tidak luput oleh  tanggapan.``
Bagi menggambarkan  ungkapan diberi ungkapan tambahan yang boleh menjelaskan bahawa,
``Dada-dada jiwa meredaka adalah tersenbunyinya rahsia-rahsia.``
`Al-Sirr` puncak munajat kerohanian ?
Apa yang dapat difahami dan ditnggapi bahawa `AL-Sirr` adalah puncak  kerohanian kalangan sufi yang telah melalui perjalanan kualit rohani.
Perjalanan tersebut mungkin antaranya melalui peringkat lawwamah mencetuskan taubat dan menjalani latihan-latihan kerohanian yang sudah pasti tidak trerpisah dari ibadat dan menginsafkan, sehingga teruji dengan  antara kecenderungan lama dan tumpuan baru, dia berusaha melepaskan diri dari jiwa lwwamah dan mulhamah, iaitu struggle pada tahap jiwa manusia biasa antaranya timbul rasa kemanusiaan dan keinsafan. Perjalanan ini ibarat menyeberangi dan melintasai pada pasir kejiwaan.
Peningkatan yang lebih tinggi daripada itu ialah peringkat rasa mesra yang boleh diibaratkan dari segi perjalanan fizikal, bahawa musafir kerohanian ini tiba ke  kekebun kerohanian yang menghijau dengan pohon-pohon  kerohanian dan mereka merasa mesra di bawah teduhan-teduhan yang menyamankan.
Tahap perjalanan mereka seterusnya tiba kepada peringkat yang bukan saja menarik tetapi mengasyikkan. Ibarat mereka bukan saja berada di bawah pohon-pohon yang rendang,  tetapi kedapatan padanya mata air,  alur dan sungai yang mengalir dengan tenang. Mereka menmgalami tahap jiwa yang disifatkan mut*mainnah`.
Walau bagaimana perjalanan kerohanian tidak terhad di situ, lantara di sana ada peringkat kualiti yang lebih tinggi yang dibaratkan sebagai gunung kerohanian yang menjadi idaman kerohanian mendepaninya, bahkan melonjak bagi mencapai ke puncak tertinggi. Ini dapat digambarkan secara imaginasi yang tidak mungkin dapat meningkat kepadanya secara realiti. Peringkat ini lebih dari roahani sebagaimana dapat dicapai oleh setengah mereka sebagaimna dilambangkan dengan kebun dan taman dengan larian mata air, alur dan sungai. Dan peringkat tertinggi ini diungkapkan dalam istilah `sirr`.  Istilah sirr ini dapat dilambangkan puncak gunung tertinggi yang menyentuh langit rohani. Pejalan  rohani ingin ke kemuncak ini. Perjalanan ini banyak digambarkan oleh kalangan sufi.
Fariduddin al-`Attar menggambarkan secara perlambangan perjalanan rohani ke puncak `sirri` ini  secara alegori di dalam karyanya berjudul `Mantiq al-T*ayr` (Sidang Burung) yang berbeda  burung-burung ini dari segi kemampuan  (rohani). Sekumpulan burung terbang menuju ke langit rohani – `sirri`.   Dalam perjalanan menuuju puncak ini, sebahagian darinya gugur lantaran ketidak mampuan. Sebahagian kecil mampu terbang menuju peringkat tinggi, tapi hampir semua terbakar sebelum sampai ke puncak, manakala yang terakhir  berbaki ghaib dalam cahaya – tanpa penemuan.
Episod merindui hakikat tertinggi yang tidak mungkin dicapai ini digambarkan oleh Jalaluddin Rumi dalam gubahan puisi yang berjudul `Seruling Bambu`. Tiupan bunyi seruling bambu itu adalah perlambangan  bagi jiwa yang rindu mendayu-dayu  yang ingin kembali kepada tempat asalnya – juga bandingan  seruling bambu itu mau kembali kepada rumpun bambu atau buluh kepada perdu yang asal. Bermaksud kita adalah berasal dari Allah dan ingin kembali kepada Allah.
Sebagai kesimpulan bahawa `sirr` adalah ibarat puncak tertinggi yang dapat dicapai di dalam perjalanan kualiti rohani yang menggunakan elemen intuisi, dzauq dan wajdan. Ia adalah mekanisme rohani yang ditempoh para sufi di dalam menuju Ilahi yang tidak mungkin sampai, tapi perjalanan, kepayahan bahkan terbakar itu adalah merupakan kelazatan rohani bagi penujuan rohani berkenaan.

Sekian.