February 8, 2019

KEPIMPINAN MOHAMAD HASAN MAKIN MENYERLAH


KEPIMPINAN MOHAMAD HASAN MAKIN MENYERLAH
(Fikrah Bang: 142);
BBB, 03 Jamadil-Akhir 1440H. = 08 Februari 2019M. (Juma`at).
Secara kebetulan pada petang Khamis antara jam  3.00 hingga 4.30 petang Penulis mengikuti siaran langsung wawancara antara Tan Sri Johan Ja`far tokoh koperat dengan Datuk Seri Mohamad Hasan melalui saluran 5. Sebelum ini Penulis belum pernah memberi tumpuan pada tokoh  Mohamad Hasan ini. Memang diketahui dia dilantik menjadi Timbalan Presiden Umno  pada 30 Jun 2018 dan diketahui juga bila Zahid menyerahkan tugas kepadanya memangku Jawatan Presiden pada 18 Disember 2018, tetapi  ada semacam kurang keyakinan terhadap pimpinan Mohamad yang mengambilalih tugas. Wibawa Mohamad Hasan terserlah apabila Umno (BN) memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari 2019 dengan memperoleh 12,038 undi dengan majoriti sebanyak 3,238. Kemenangan ini dilihat adalah merupakan ibawa Mohamad Hasan. Mendengar wawancara dengannya bagi Penulis menyerlahkan kewibawaan. Beliau bercakap dengan gaya orang Negeri Sembilan yang banyak membawa tamsil ibarat, kiasan bahkan sindiran.
Dalam interview  Mohamad mengakui beliau tidak menjangka diberi kepercayaan untuk memimpin Umno. Berhubung dengan kemenangan di Cameron Highlands beliau menyatakan ketepatan memilih calon adalah penting. Pemilihan calonRamli Mohd Nor selepas berunding dengan MIC yang sepatutnya meletakkan calon bagi pilihanraya itu, tapi bagi MCA yang mnengambil tindakan keluar dari BN tidaklah mengambil komitmen sebagai komponan. Calon bersih penting, kalau tidak kita terpaksa menggunakan masa yang pendek  menjawab tuduhan. Calon Umno dari orang asli  dilihat bersih dan mewakili 20%  keseluruhan pengundi di Cameron Highlands.
Beliau menyifatkan Umno kini telah reda dari krisis dan keyakinan rakyat makin pulih. Beliau yakin dengan kemampuan Umno yang mempunyai berpuluh ribu cawangan dengan 3 juta ahli. Apabila ditanya kejayaan PH dalam pilihantraya lepas. Beliau menjawab  secara sindir.  Mereka membuat janji  – mau hapus tol,  hapus hutang PTPTN,  turun cukai dan berbagai-bagai lagi, rakyat percaya, tapi akhirnya katanya,  apa yang dijanji tidak dibuat . Yang dibuat bukan yang dijanji. Mengenai peranan pemuda di dalam mengalahkan Umno, beliau mengibaratkan mereka sebagai kiambang  berubah dengan pergerakan air (suasana). Sebenarnya golongan muda mulai kembali menyokong Umno sebagai contoh di Cameron Highlands. Bahkan kini Umno makin mendapat sokongan intelektual selepas sekatan-sekatan selama ini dirobohkan.
Menurut Mohamad, tugas sekarang ialah memperkasakan parti dan menyusun strategi. Menurut beliau kerjasama dengan Pas adalah strategi. Orang ramai jangan keliru, tidak ada rancangan bersatu dengan Pas. Kita adalah kerjasama. Pas mempunyai prinsip sebagaimana juga Umno, tapi kita mempunyai persamaan seperti  mempertahankan Islam, bahasa Melayu, Kedaulatan Raja-Raja dan Warisan Budaya dengan tidak mengetepikan hak kaum-kaum lain.
Ditanya oleh Tan Sri  Johan Ja`far, apakah yang menggerakkan Umno kini. Beliau menjawab adalah sokongan dan semangat. Walaupun kita kini tidak mempunyai kewangan,  akaun masih disekat (dibeku).  Sokongan rakyat meyakinkan kita. Kini bila kita bersua dengan orang ramai mereka memberi semangat dan menyatakan sokongan. Mereka sedar dan mulai merasa banyak kehilangan dan kehakisan berlaku.
Buila ditanya tentang pilihanraya Semenyih yang akan berlansung pada 2 Mac 2019, bahawa Umno akan bertanding dengan obor dan semangat dari kemenangan di Cameron Hinghland dan beliau berkeyakinan  kawasan sebanyak 62 % pengundi Melayu itu Insya Allah dengan sokongan mereka akan dapat ditawan.
Beliau ditanya mengenai pendapat bahawa Umno akan kehilangan masa depan. Secara sinis beliau menjawab, ``Kita lihat siapa akan terkubur !.
Mohamad dilihat menyerlah kepimpinan, mempunyai keyakinan tinggi dalam merendah diri.
Sekian.

February 7, 2019

SEMENYIH MENGHANGAT KEMBALI POLITIK DI SELANGOR


SEMENYIH MENGHANGAT KEMBALI POLITIK DI SELANGOR
(Fikrah Bangi: 141),
BBB,  02 Jamadil Akhir 1440H. = 07 Februari 2019M. (Khamis):
Selepas pilihanraya ke 14 (9 Mei 2019) PH di Selangor telah menghadapi tiga pilihanraya keci, tapi semuanya dapat dipertahankan oleh PH. Tapi  kekosongan DUN Semenyih dengan kematian penyandangnya Bukhari Mohd Nor (57) pada 11 Januari 2019 lalu akan menggugat kedudukan PH di DUN tersebut. Ini ialah kerana selepas memerintah lebih dari setengah tahun persepsi rakyat dikatakan telah berubah. Banyak perjalanan pemerintahan PH dikritik rakyat. Janji-janji pilihanraya tidak ditunaikan, sementara harga barangan terus meningkat. Rakyat terutama boroh, nelayan, penoreh getah dan penghuni Felda makin tertekan. Sebagai bukti dalam ilihanraya Parlimen Cameron Highlands yang baru lalu PH kalah teruk. Kekalahan PH disifatkan sebagai peringatan dari rakyat.
Selepas kekalahan PH di Cameron Hinglands kepada Umno (BN), Semenyih dianggap ujian seterusnya bagi PH. Ia merupakan maruah bagi PH dan juga negeri Selangor sebenarnya.
Pilihanraya kecil Semenyih yang akan berlangsung pada 2 Mac 2019 mulai hangat selepas cuti panjang Tahun Baru Cina.Kedudukan PH mampu digugat dengan komposisi kaum yang ada di kawasan itu. Ianya boleh digugat oleh Umno (BN) dengan pakatan antaranya dengan Pas. Majoriti yang dimenangi Bukhari 8.964 mampu ditenggelami dengan undi yang dicapai oleh Umno dan Pas yang bertanding secara berasingan yang jika dicampur kedua undi bagi kedua-dua parti mampu mengatasi undi PH.
Kini sebelum tiba hari penamaan calon 16 Februari 2019 berbagai spekulasi timbul berhubung dengan calon. Sememangnya ketepatan memilih calon adalah faktor penting bagi kemenangan sesebuah parti. Pertandingan sebenar kelak adalah antara PH sebagai kerajaan yang memerintah dengan Umno (BN). Agak lucu dikatakan bahawa Siti Nurhaliza akan menjadi calon PH. Ini segera dinafikan oleh Mukhriz  Timbalan Presiden Bersatu. Sementara dari pihak BN bertiup kencang ada yang mengatakan pihak Umno akan mencalonkan Khalid Ibrahim Bekas Menteri Besar Selangor dan seorang tokoh koperat terkenal. Beberapa tokoh akademik tanahair seperti Jeniri Amir, berpendapat pemilihan Khalid adalah tepat. Beliau seorang yang berwibawa.  Adalah dilihat bahawa dalam suasana Umno  bekerjasama rapat dengan Pas dan Khalid sendiri mesra dengan Pas akan memberi kelebihan kepada Umno. Ini akan mengukuhkan azam Umno yang mau membawa  semangat Cameron Highlands ke Semenyih. Walau bagaimana pemerhati-pemerhati politik mau melihat sejauh mana kemampuan PH menonjo;kan calon PH bagi mempertahankan DUN Semenyih,  mempertahankan maruah PH di Selangor, bahkan maruah pemerintah negara.
Sementara itu penggunaan senjata politik bagi menjatuhkan lawan mulai kembali ditonjolkan. Tuduhan sebelum ini bahawa Pas menerima habuan dar i wang IMDB kembali ditonjolkan. Kali ini dikatakan bahawa beberapa individu dari Pas menerima bahagian dari kewangan berkenaan yang disalurkan ke dalam akaun mereka yang dikatakan. Tuduhan ini sekali lagi terpaksa dijawab oleh Pas. Menurut Idris Ahmad Naib Presiden Pas, bahawa Pas sedia disiasat. Sesungguhnya saluran undang-undang merupakan  satu yang efektif dan menjejaskan kedudukan parti dan tokoh politik, lantaran itu pendekatan ini selalu digunakan di dalam politik. Kita menunggu apakan tuduhan terhadap Pas yang bukan kali pertama itu adalah suatu yang factual atau bahan kempen pilihanraya semata-mata.
Pilihanraya Semenyih amat penting, bahkan lebih penting dari Cameron Highland bagi pemerintah. Kemenangan pilihanraya di Cameron Highlands bagi Umno (BN) adalah mempertahankan kerusi yang dimenangi, tapi bagi Pilihanraya Semenyih maruah bagi PH Negeri yang selama ini dapat mempertahankan tiga kerusi DUN yang telah diadakan selepas pilihanraya ke 14. Tetapi bagi Umno (BN), jika dapat mengalahkan PH adalah sebagai merampas kerusi dari PH dan jika menang ia adalah satu kejayaan besar bagi parti itu dalam memulihkan Umno (BN) yang dianggap bukan saja lemah, tetapi disifatkan oleh Pemimpinm tertinggii PH sebagai telah mati itu.
Sekian.

February 6, 2019

DEKORASI: ASPEK ESTETIKA PADA MASJID AL-UMM


DEKORASI: ASPEK ESTETIKA PADA MASJID AL-UMM
(Fikrah Bangi:  140),
BBB, 01 Jamadil-Akhir 1440H. = 06 Februari 2019M. (Rabu).
Dekorasi adalah sebahagian dari elemen estetika. Dekorasi sememangnya menjadi sebahagian daripada espek estetika pada masjid Al-Umm dan banyak kedapatan pada masjid tersebut. Sebagai masjid, maka dekorasinya lebih membawa  dekorasi yang bersifat murni, rohani dan kudus.
Logo Masjid Al-Umm sebahagian  dari hiasan yang terdapat pada banyak tempat di masjid. Logo ini sebenarnya mempunyai ciri estetik yang unik. Walaupunm kelihatan biasa Pada bahagian atas bagi perkataan Al-Umm terdapat bentuk kubah yang menjadi  sebagai kepala yang dijunjung oleh kalimat tersebut. Kubah adalah bahagian yang paling tinggi bagi fizikal masjid. Bulat dan separa bulat adalah mencerminkan kesempurnaan. Ianya melambangkan penujuan dan peningkatan rohani. Perkataan Al-Umm dalam tulisan `Arab atau jawi dari segi maknanya ialah ibu, induk, merujuk kepada nama kitab fiqh Imam Shafie. Ia memaksudkan nama bagi surau pertama di Bandar Baru Bangi (1978) yang dipindah ke masjid, sebelum ada masjid dan surau-surau yang lain. Tulisan Al-Umm, boleh dibaca dengan perkataan `Allah` jika ditarik bahagian bawah  dengan mim sebagai ha`. Mim juga boleh melambangkan Muhammad. Bermaksud pada Al-Umm  boleh di baca dengan Allah dan juga Muhammad.
Sebahagian dari hiasan pada dinging tembok masjid dan dinding-dinding masjid ialah kepingan  besi berbentuk  lengkung bujur sebagai daun. Pada sebahagian  kepingan ini tertulis Al-Umm sebagai hiasan pada tembok pagar kelil;ing masjid dan juga pada dinding masjid. Ianya merupakan kepingan pada tingkap masjid yang banyak terdapat pada bahagian depan masjid, bahagian  belakang  dan juga sesi. Ianya menjadi identiti bagi masjid Al-Umm. Sementara itu bentuk lengkung bujur secara terhad atau memanjang ke bawah juga banyak terdapat pada  bahagian hadapan masjid pada sebelah kanan dan juga kiri mihrab.
Pada bahagian dalam, iaitu pada mihrab ada lengkungan berlapis yang pada lengkungan atas kecil ada bentuk semacam sarang lebah bergantung memantulkan pandangan yang lembut, hening dan kudus sesuai berada pada bahagian depan dan di atas bagi jama`ah. Pada bahagian ini imam memimpin ma`mun bersolat dengan jiwa yang penuh ketenangan, murni dan kudus. Pada bahagian dinding kanan dan kiri berhias dengan hiasan-hiasan berbentuk geometrik dan hiasan dari tumbuhan flora dan fauna. Gabungan antara kedua elemen ini memghasilkan ciri  edtetika tersendiri.
Ruang  jama`ah utama bagi masjid Al-Umm adalah tinggi luas dan lawas.Ia kelihatan terbuka  mudah bagi  kemasukan cahaya dan udara menampakkan bukan sahaja pada bahagian dinding, tetapi juga pada bahagian atas di bawah kubah yang dihiasi dengan bentuk geometrik dan menarik pandangan, di tambah dengan wujud  lampu thurayya yang bergantung dari pertengahan kubah Pada bahagian dinding atas dan keliling, termasuk pada ruang dinding solat muslimat terdapat hiasan khat daripada ayat-ayat Al-Qur`an, tetapi sebagaimana pernah disebutkan bahagian tulisan ayat-ayat Al-Qur`an ini terlempau kecil dan tidak timbul, kerana ditenggelamkan oleh cat, maka ciri estetika pada khat-khat berkenaan kurang terserlah.
Mimbar masjid adalah satu yang tersendiri yang dibuat dan digubah dari luar berdekorasi alam flora. Di tempatkan pada ruang  hadapan di sebelah kanan. Pada bahagian atas bagi mimbar tertulis perkataan Allah. Padanya ada ayat Kursi. Pada bahagian bawah bagi mimbar ini terdapat ruang meja  yang berdekorasi fauna-flora. Meja dapat dimasukkan di bawah  mimbar dan dapat dikeluarkan meja secara berasingan bagi digunakan oleh guru bagi pengajaran, kuliah dan sebagainya.
Pada aras satu dapat dikatakan kurang dari elemen hiasan, Ia lebih bersifat bilik kuliah, seminar, perpustakaan dan IT. Kecuali bilik mesyuarat agak canggih dengan meja dan kerusi-kerusi yang agak selesa. Demikian pada bahagian bawah tanah, ianya lengkap dengan  ruang  yang selesa, latar dinding yang menarik dan nyaman.
Dapatlah dikatakan elemen dekorasi mengindahkan Masjid Al-Umm. Keunikan adalah menjadi tarikan.
Sekian.

February 5, 2019

MUSIM PERAYAAN MAKIN PERLU PENGANGKUTAN ALTERNATIF - ECRL


MUSIM PERAYAAN MAKIN PERLU PENGANGKUTAN ALTERNATIF – ECRL
(Fikrah Bangi: 139),
BBB, 30 Jamadil-Awwal 1440H. = 05 Februari 2019M. (Selasa).
Musim perayaan seperti Tahun Baru Cina kini dan perayaan-perayaan yang lain, musim berlakunya pergerakan manusia secara besar-besaran kerana bali kampung atau ambil peluang cuti untuk berjalan atau melancung, musim yang dikaitkan dengan rehat dan gembira. tapi dari pergerakan yang ramai, pada musim sedemikian juga meningkatnya kemalangan. Pengalaman duka bagi yang mengalaminya. Dari pergerakan yang ramai berlaku kesesakan jalanraya, maka ketika sedemikian, sebenarnya semua masa memerlukan kenderaan alternatif bagi memudahkan pergerakan sebahagian dari mereka. Antara yang diperlukan ialah pengangkutan rel seperti ECRL ke Pantai Timur. Pengangkutan seperti ini sudah ada dari selatan ke utara, walaupun memerlukan kepada peningkatan. Adalah didapati amat wajar ECRL ke Pantai Timur kerana pengangkutan seperti ini yang melalui Pahang ke Terengganu dan Kelantan masih belum wujud. Apa yang dibangkitkan selama ini ialah kerana kos terlampau tinggi dikatakan hingga RM100 bilion. Walau bagaimana dikatakan Kerajaan Cina bersedia berbincang bagi menurunkan kos berkenaan hingga kepada separuh. Lantaran itu, maka wajar  rundingan diterus dan memang  rundingan sedang berjalan bagi mencari keputusan terbaik secara menang – menang antara kedua pihak.
Dengan adanya perkhidmatan rail ke Pantai Timur mewujudkan pengangkutan alternatif yang mengurangkan kesesakan dan penggunaan jalan raya. Kemalangan secara pengangkutan rail relatif lebih rendah. Ini menggalakkan orang ramai menggunakannya kerana lebih selamat. Dengan adanya perkhimatan rail, memberi peluang orang ramai melancung ke negeri-negeri di Pantai Timur yang lebih memajukan negeri-negeri di Pantai Timur. Dengan adanya perkhidmatan ECRL menggalakkan orang ramai berurusan ke Pantai Timur yang selama ini ada yang enggan ke sama kerana tiada kemudahan pengangkutan selamat, manakala penerbangan kosnya terlampau tinggi.
Perlu diingat dengan adanya perkhidmatan ECRL yang merupakan pembukaan jalan baru akan membuka ruang kepada pembukaan penempatan-penempatan baru yang pada jangka panjang akan  bertambah majunya negeri-negeri di Pantai Timur. Dengan ini dapat mengurangkan perbedaan ketara dari segi kemajuan antara negeri-negeri di Pantai Barat berbanding dengan Pantai Timur yang masih ketinggalan.
Adalah difahamkan bahawa jika projek ECRL ini tidak jadi diteruskan, ianya tidak berakhir begitu sahaja, tetapi menurut perjanjian yang dibuat bahawa Kerajaan Malaysia perlu membayar pampasan 20% daripada harga asal. Jika tak jadi bererti negara terpaksa membayar pampasan  RM20 bilion sebagai beban semata-mata tanpa faedah dan pulangan.
Sebab itu bagi mengelak dari menanggung hutang tak diundang, Malaysia harus berunding mencari kaedah terbaik bagi meneruskan pembinaan ECRL yang dapat mengurangkan kos  sehingga ke tahap wajar, sehingga ianya adalah di dalam kemampuan kerajaan, manakala dari satu pihak tidak merugikan Cina.
Antara pendekatan yang dapat diambil ialah:
!)  Mengecilkan projek dalam maksud ianya tidaklah bersifat mewah, bahkan dalam kadar sederhana.
2) Mengubahkan laluan jalan kepada yang lebih mudah dan mengurangkan kos.
3) Mengurangkan stesen hentian kepada yang perlu terkini.
4) Memperuntukkan ruang dan peluang bagi membesarkan laluan pada masa akan datang.
5)  Membeli jenis-jenis keretapi api yang dalam kemampuan, sebelum dibesarkan pada masa akan datang.
Kita berharap rundingan yang sedang berjalan sekarang akan mencapai keputusan yang positf. Andainya tidak jadi, maka  jauhlah pula peluang untuk menghidupkan kembali  projek yang telah dibatalkan.
Sekian.

February 4, 2019

ANALOGI QUR`ANI - DR. SUKKI OTHMAN


ANALOGI QUR`ANI – DR. SUKKI OTHMAN
(Fikrah Bangi: 138),
BBB, 29 Jamadil-Akhir 1440H. = 04 Februari 2019M. (Isnin):
Sejak Masjid Al-Umm didaftar dan mulai bersolat Juma`at pada 12 Oktober 2018 usaha dilakukan dengan mengimarahkan masjid tersebut dengan pengajian dan meningkatkan kualiti  ibadat para jama`ah. Antara kegiatan yang dilakukan ialah dengan menjemput  ulama` dan guru terkenal menyampaikan pengajaran di Masjid Al-Umm. Antara mereka yang dijemput ialah Prof. Madya Dr. Izhan Arif  (Fatwa), Pensyarah dari Fakulti Islam UKM, Dr. Azlan (Tafsir) dari USIM, Ustaz Don Daniyal  (Dakwah) dari KUIS, Dr. Mohd. Zamro (Fara`idh) dari Fakulti Islam, UKM, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd. Al Bakri (Mufti), Wilayah Persekutuan dan mutakhir malam tadi Dr.Mohd. Sukki bin Othman(Ahad 3.2.2019) dalam bidang Tafsir. Beliau adalah pensyarah dari UPM. Beliau kini dalam cuti sebatikal di London dan berulang alik kembali. Pada malam tadi beliau mempunyai masa datang ke Masjid Al-Umm atas jemputan.
Secara kebetulan Dr. Mohd. Sukki Othman baru menerbitkan buku terbarunya berjudul:
``Analogi Qur`ani`` yang baru terbit pada pertengahan Januari baru-baru ini. Penulis sempat bertanya kepada Dr. Mohd. Sukki, kiranya buku yang diterbitkan adalah hasil dari tesis Ph. D beliau. Dr. Mohd Sukki menyatakan tidaklah sepenuhnya. Tesis Ph. D nya ialah mengenai ``Binatang-Binatang Di  Dalam Al-Qur`an` (diterbitkan oleh UPM).  Analogi Qur`ani  merupakan sebahagian dari hasil kajian yang diterbitkan secara mudah untuk orang awam.
Menurut Dr. Mohd Sukki dalam penyampaian kuliahnya antara waktu Madhrib dan Isya` di Masjid Al-Umm,  bahawa ini adalah pertama kali beliau ke Masjid Al-Umm dan inilah pertama kali beliau menggunakan buku yang baru diterbitkan (Januari 2019)  bagi pengajaran. Bererti buku Analogi Qur`ani pertama kali digunakan bagi pengajaran dan bertempat di Masjid Al-Umm.
Buku Analogi Qur`ani  adalah setebal 338 halaman diterbitkan oleh Rimbunan Islamik Media Sdn. Bhd. Bandar Seri Permaisuri, Kuala Lumpur (2019).
Kandungan buku ini ialah berhubung dengan analogi atau kiasan dan bandingan yang terdapat di dalam ayat-ayat Al-Qur`an yang dipetik secara seturut dari surah-surah di dalam Al-Qur`an bermula dengan Surah Al-Baqarah dan analogi terawal yang dipetik dari surah ini  ialah mengenai  `Nyamuk` dengan diikuti analogi-analogi seterusnya menurut seturut surah dengan analogi terakhir dari Surah Al-Fil. Jumlah semua analogi ialah 44. Ini bereti tidak semua surah yang dapat dipetik sebagai analogi.
Pada malam tadi Dr. Mohd Sukki Othman menyampaikan kuliah di Masjid Al-Umm ialah mengenai analogi nyamuk dari Surah Al-Baqarah, ayat 26.
Inti persoalan kafir Quraysh merendah-rendahkan Al-Qur`an yang membicarakan soal-soal kecil yang pada pendapat mereka tidak penting. Sebenarnya apa yang disampaikan oleh Al-Qur`an adalah maklumat benar dan penting. Seekor nyamuk betina (ba`udhah) yang dalam tubuhnya mengandungi victor-victor yang lebih kecil yang boleh membawa penyakit seperti Malaria yang ditemui pengkaji kemudian dan juga boleh membawa penyakit denggi yang kedua-kedua penyakit boleh menyebabkan kematian secara wabak. Kedua-dua penyakit ini berlaku di negara kita dan kini wabak denggi berasal dari nyamuk itu menyerang kembali negara kita.
Menurut kajian Dr. Mohd Sukki terdapat sebanyak 3,530 jenis nyamuk di dunia, yang diketahui dan pernah dikaji secara mendalam hanya beberapa sahaja. Banyak lagi rahsia nyamuk yang belum diketahui tentang bahaya nyamuk-nyamuk berkenaan.
Demikianlah dengan ayat sekecil nyamuk  begitu banyak rahsia yang diketahui yang sebelumnya tidak diketahui. Banyak lagi rahsia-rahsia tentang  nyamuk dan binatang-binatang dan hidupan-hidupan yang lain yang belum diketahu. Ianya terbuka untuk dikaji, Apa yang tersebut di dalam Al-Qur`an adalah kebenaran yang menuntut kita mepelajari dan mengkajinya.
Sekian.

February 3, 2019

PERTAMA KALI HADIR MESYUARAT AGUNG SURAU DI BAWAH AL-UMM


PERTAMA KALI HADIR MESYUARAT AGUNG SURAU DI BAWAH AL-UMM
(Fikrah Bangi:  137),
BBB,  28 Jamadil-Awwal 1440H. = 03 Februari 2019M. (Ahad).
Pada mesyuarat pertama antara Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid Al-Umm dengan pengerusi-pengerusi surau di bawah Al-Umm pada Sabtu 26 Januari 2019 lepas EncikAbdul Malik Ahmad Pengerusi Surau Puncak Bangi Islamic Centre (PBIC) telah menyatakan kepada Penulis selaku Nazir bagi Masjid Al-Umm, bahawa beliau akan menjemput Penulis sebagap pemerhati bagi mesyuarat Agung kali ke IV bagi surau itu dan Penulis menerima jemputan bertulis dan hadir ke mesyuarat pada malam hari Khamis 31 Januari 2019 bersama dengan Penolong Setiausaha saudara Fadzli bin Mohd. Amin.
Surau Puncak Bangi adalah sebuah surau di kawasan elit, terletak di atas tapak yang kurang dari 2 ekar bersebelahan dengan Bangi Golf dan tidak jauh dari Tasik Cempaka sebuah kawasan rekreasi terkenal di Bandar Baru Bangi. Surau Puncak Bangi didirikan pada tahun  2014 dengan kos RM1.8 juta. Penghuni di sini terdiri dari 122 keluarga. Jawatankuasa pertama (2014) diketuai oleh Tuan Haji Nor Azhar dan Pengerusi selepasnya (Sesi 2017-2019)  ialah  Encik Abdul Malik Ahmad.
Penulis telah bertolak  bersama saudara Fadzli ke Surau Puncak Bangi selepas bersolat  Maghrib di Masjid Al-Umm. Ketika tiba jama`ah di Surau Puncak Bangi baru selesai membaca Surah al-Kahfi sempena malam Juma`at. Mesyuarat Agung bermula jam 8.20. Penulis dijemput oleh Pengerusi Encik Abdul Malik memberi ucapan ringkas. Penulis mengucap terima kasih di atas jemputan. Penulis menyatakan ini adalah mesyuarat pertama dijemput menghadiri Mesyuarat Agung Surau di bawah Masjid Al-Umm. Penulis mengucap tahniah kepada Jawatankuasa dan penduduk yang telah berjaya mendirikan Surau Puncak Bangi yang baru siap dan masih di dalam penambahan. Penulis sukacita dimaklumkan surau diimarah dengan baik dan berbagai kegiatan selama 4 tahun telah dijalankan. Adalah menjadi motto bagi Masjid dan surau-surau di bawah Al-Umm  sebagaimana dibincangkan di dalam mesyuarat di Masjid Al-Umm iaitu, ``Bersama Meningkatkan Ilmu, Ibadat dan Mesra Masyarakat``. Bermaksud adalah menjadi hasrat bersama agar masjid dan surau-surau berusaha meningkat pengajian agar dengan pengajiandan keilmuan dapat menyempurnakan ibadat semua pihak secara bermutu dan berharap penduduk dan jama`ah meningkatkan hubungan antara masyarakat agar lebih aman dan harmoni. Ke arah ini masjid dan surau-surau sama berusaha.
Pengerusi memulakan mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 2 Sesi 2017-2019. Beliau mengucapkan terima kasih kepada jama`ah yang hadir dan mengucapkan terima kasih kepada AJK yang telah memberi sumbangan tenaga, masa, buah fikiran dan sumbangan kewangan sehingga surau siap 95%.
Sebagaimana biasa mesyuarat berjalan menmgikut agenda yang disusun dengan pembentangan minit mesyuarat pengesahan dan perbincangan agenda. Antara kegiatan yang pernah dijalankan di Surau Puncak Bangi ialah kuliah, ceramah, pengajaran, korban, khatam Al-Qur`an, khatan, tubuh Tabung Khairat Kematian, kegiatan Ramadhan, bantuan faqir miskin dan sebagainya.
Surau Puncak Bangi yang dapat memuatkan jama`ah seramai 500 orang ini adalah surau yang kukuh dari segi kewangan. Peruntukan dan perbelanjaan tahunan adalah melebihi dari setengah juta. Surau ini mempunyai dua orang imam hafiz. Seorang lulusan Jordan dan seorang universiti tempatan. Bilalnya juga adalah seorang hafiz. Siaknya adalah bekas pegawai tinggi sebuah perbadanan.
Perbincangan puncak ialah untuk menjenamakan semula nama surau dari Surau Puncak Bangi Islamic Centre kepafa nama baru yang lebih sesuai dan ringkas. Berpuluh nama dicadang oleh ramai pencadang. Akhirnya dipersetujui nama Surau Al-Siddiq` -  Sempena nama Khalifah Pertama Abu Bakar Al-Siddiq. Nama ini antara  nama yang dicadangkan oleh Encik Abdul Malik Pengerusi surau. 
Mesyuarat secara ringkat  berakhir pada jam  9.10 malam diikuti dengan solat Isyak dan jamuan.
Sekian.

February 2, 2019

MUFTI WILAYAH TAZKIRAH DI MASJID AL-UMM


MUFTI WILAYAH TAZKIRAH DI MASJID AL-UMM
(Fikrah Bangi:  136),
BBB, 27 Jamadil-Awwal 1440H. = 02 Februari 2019M. (Sabtu):
Terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Zulkifli bin Muhammad Al-Bakry, kerana  dengan  jadual yang ketat dan kesebokannya dapat datang ke Masjid Al-Umm pada petang hari Juma`at semalam. Beliau tiba sebaik maghrib dan berjama`ah Maghrib bersama jama`ah yang penuhdi dalam ruang utama masjid, termasuk muslimat memenuhi ruang muslimat yang sengaja disempadankan  pada bahagianm belakang.
Di dalam tazkirahnya beliau membicarakan tentang masjid berfokus kepada bagaimana mendidik anak-anak ke masjid. Beliau menyebut satu keistimewaan, bahawa masjid adalah Rumah Allah yang boleh didatangi oleh sesiapa dan kita aman selesa di dalamnya, lanya bukan sebagai rumah yang dimiliki pemilik dan bila mengujungi rumah seseorang kita mesti menghadkan diri sebagai seorang luar. Tapi di masjid kita tidak tekekang dan bebas dengan keberadaan.
Masjid adalah rumah utama yang dibina Allah bagi manusia. Pun begitu bagi yang mengunjunginya perlu menjaga adab dari segi pakaian, menjaga percakapan dan penampilan. Sebaiknya mendirikan solat  sunat dan berzikir sebelum tiba waktu solat fardhu berjama`ah.
Mereka yang hatinya selalu terpaut dengan masjid adalah menjadi  pertanda mereka yang mendapat lindungan diakhirat kelak (maksud sebahagian Hadith). Dato Dr. Zulkifli juga menyebut  pertanda keimanan seseorang ialah sering berjama`ah di masjid.
Dr. Zulkifli menyebut pada kebiasaan bagi pemimpin bila memeintah akan sebok membicarakan tentang pembangunan ekonomi dan sebagainya, tetapi bagi Rasulullah tatkala berhijrah ke Madinah memberi tumpuan awal kepada mendirikan masjid, iaitu Masjid Quba`  dan Masjid Madinah. Masjid adalah pusat bagi ibadat, pengajaran dan pengajian, pusat pentadbiran dan segala kegiatan kemasyarakatan. Masjid perlu diimarahkan dengan segala kegiatan yang dapat memajukan umat, termasuk menyelesaikan masalah kekeluargaan.
Dr. Zulkifli berpendapat masjid juga hendaklah menjadi tempat bagi anak-anak dari umur  6 tahun dan umur yang lebih tinggi daripadari itu. Beliau mau anak-anak muda  diberi tugas membahagikan anak-anak kepada beberapa kelompok berlainan yang dikendalikan oleh anak-anak muda mendidik mereka. Meteka diibimbing  di dalam berbagai bidang. Mereka diajar Al-Qur`an, menulis dan membaca dan dididik dalam  bidang akidah, hukum-hukum fiqh dan akhlak menurut kesesuaian dengan taraf anak. Manakala pada peringkat yang lebih tinggi boleh dianjurkan kelas tuisyen bagi mereka.
Bila mendirikan solat anak-anak tidak patut dibiarkan bertabur,  sebaiknya  bagi anak-anak hendaklah diatur pada bahagiann belakang dan perlu diawasi sebelum bersolat  dan selepas bersolat, sebaiknya dikendalikan oleh kalangan anak-anak muda  yang dilantik sebagai pengawas. Anak-anak muda yang terdidik secara teratur akan menjadikan mereka anak yang taat dan berakhlak.
Menurut Dr. Zulkifli pendidikan anak-anak  adalah melalui beberapa tahap.
Tahap ibu bapa membina kekuatan fizikal
Tahap persekolahan membina minda dan intelektual.
Dan tahap yang lebih tinggi membina  minat,  kecenderungan dan kerjaya.
Pada semua tahap ini, jika anak-anak dapat ditanam dengan didikan agama melalui masjid sejak kecil,insya Allah anak-anak sedemian baik dari segi akhlak, maju di dalam bidang akademik dan berkat di dalam kerjaya dan kehidupan masyarakat.
Sekian.