February 4, 2019

ANALOGI QUR`ANI - DR. SUKKI OTHMAN


ANALOGI QUR`ANI – DR. SUKKI OTHMAN
(Fikrah Bangi: 138),
BBB, 29 Jamadil-Akhir 1440H. = 04 Februari 2019M. (Isnin):
Sejak Masjid Al-Umm didaftar dan mulai bersolat Juma`at pada 12 Oktober 2018 usaha dilakukan dengan mengimarahkan masjid tersebut dengan pengajian dan meningkatkan kualiti  ibadat para jama`ah. Antara kegiatan yang dilakukan ialah dengan menjemput  ulama` dan guru terkenal menyampaikan pengajaran di Masjid Al-Umm. Antara mereka yang dijemput ialah Prof. Madya Dr. Izhan Arif  (Fatwa), Pensyarah dari Fakulti Islam UKM, Dr. Azlan (Tafsir) dari USIM, Ustaz Don Daniyal  (Dakwah) dari KUIS, Dr. Mohd. Zamro (Fara`idh) dari Fakulti Islam, UKM, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd. Al Bakri (Mufti), Wilayah Persekutuan dan mutakhir malam tadi Dr.Mohd. Sukki bin Othman(Ahad 3.2.2019) dalam bidang Tafsir. Beliau adalah pensyarah dari UPM. Beliau kini dalam cuti sebatikal di London dan berulang alik kembali. Pada malam tadi beliau mempunyai masa datang ke Masjid Al-Umm atas jemputan.
Secara kebetulan Dr. Mohd. Sukki Othman baru menerbitkan buku terbarunya berjudul:
``Analogi Qur`ani`` yang baru terbit pada pertengahan Januari baru-baru ini. Penulis sempat bertanya kepada Dr. Mohd. Sukki, kiranya buku yang diterbitkan adalah hasil dari tesis Ph. D beliau. Dr. Mohd Sukki menyatakan tidaklah sepenuhnya. Tesis Ph. D nya ialah mengenai ``Binatang-Binatang Di  Dalam Al-Qur`an` (diterbitkan oleh UPM).  Analogi Qur`ani  merupakan sebahagian dari hasil kajian yang diterbitkan secara mudah untuk orang awam.
Menurut Dr. Mohd Sukki dalam penyampaian kuliahnya antara waktu Madhrib dan Isya` di Masjid Al-Umm,  bahawa ini adalah pertama kali beliau ke Masjid Al-Umm dan inilah pertama kali beliau menggunakan buku yang baru diterbitkan (Januari 2019)  bagi pengajaran. Bererti buku Analogi Qur`ani pertama kali digunakan bagi pengajaran dan bertempat di Masjid Al-Umm.
Buku Analogi Qur`ani  adalah setebal 338 halaman diterbitkan oleh Rimbunan Islamik Media Sdn. Bhd. Bandar Seri Permaisuri, Kuala Lumpur (2019).
Kandungan buku ini ialah berhubung dengan analogi atau kiasan dan bandingan yang terdapat di dalam ayat-ayat Al-Qur`an yang dipetik secara seturut dari surah-surah di dalam Al-Qur`an bermula dengan Surah Al-Baqarah dan analogi terawal yang dipetik dari surah ini  ialah mengenai  `Nyamuk` dengan diikuti analogi-analogi seterusnya menurut seturut surah dengan analogi terakhir dari Surah Al-Fil. Jumlah semua analogi ialah 44. Ini bereti tidak semua surah yang dapat dipetik sebagai analogi.
Pada malam tadi Dr. Mohd Sukki Othman menyampaikan kuliah di Masjid Al-Umm ialah mengenai analogi nyamuk dari Surah Al-Baqarah, ayat 26.
Inti persoalan kafir Quraysh merendah-rendahkan Al-Qur`an yang membicarakan soal-soal kecil yang pada pendapat mereka tidak penting. Sebenarnya apa yang disampaikan oleh Al-Qur`an adalah maklumat benar dan penting. Seekor nyamuk betina (ba`udhah) yang dalam tubuhnya mengandungi victor-victor yang lebih kecil yang boleh membawa penyakit seperti Malaria yang ditemui pengkaji kemudian dan juga boleh membawa penyakit denggi yang kedua-kedua penyakit boleh menyebabkan kematian secara wabak. Kedua-dua penyakit ini berlaku di negara kita dan kini wabak denggi berasal dari nyamuk itu menyerang kembali negara kita.
Menurut kajian Dr. Mohd Sukki terdapat sebanyak 3,530 jenis nyamuk di dunia, yang diketahui dan pernah dikaji secara mendalam hanya beberapa sahaja. Banyak lagi rahsia nyamuk yang belum diketahui tentang bahaya nyamuk-nyamuk berkenaan.
Demikianlah dengan ayat sekecil nyamuk  begitu banyak rahsia yang diketahui yang sebelumnya tidak diketahui. Banyak lagi rahsia-rahsia tentang  nyamuk dan binatang-binatang dan hidupan-hidupan yang lain yang belum diketahu. Ianya terbuka untuk dikaji, Apa yang tersebut di dalam Al-Qur`an adalah kebenaran yang menuntut kita mepelajari dan mengkajinya.
Sekian.

No comments:

Post a Comment