PENDEKATAN TERBAIK PAS DIASAS USTAZ
FADZIL-NIK ANDUL AZIZ
(Fikrah Bangi: 155),
BBB, 16 Jamadil-Akhir 1440H. = 21 Februari
2019M. (Khamis).
Semalam Rabu 20 Februari dalam The Star Nik
Abduh ahli Parlimen Bachok yang juga anak Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata,
``Pas bekerjasama dengan Umno dan Bersatu bertujuan untuk menyekat Dap.`` (The Star, 20.2.2019: 3).
Kalau kita lihat pendirian Nik Abduh ini berbeza,
bahkan bercanggah dengan pendirian Ustaz
Fadzil Noor Bekas Presiden Pas dan bapanya TG Nik Abdul Aziz Bekas Murshidul Am
Pas. Sikap menentang Dap ini adalah sikap Pas selepas Ustaz Fadzil Noor dan TG
Nik Abdul Aziz yang membawa kepada keluarnya Pas dari Pakatan Rakyat dan tertubuhnya Amanah (ditubuhkan 16
September 2015). Sikap inilah juga membawa kepada Pas bersendirian dalam
pilihanraya ke 14.
Kita
berpendapat pendekatan terbaik Pas ialah apa yang diasaskan oleh Ustaz Fadzil
Noor dengan TG Nik Abdul Aziz bersama dengan PKR dan Dap. Kerjasama dirintis
sejak 1997 melalui pada peringkat permulaan dikenali dengan Parti Alternatif
yang kemudian dikenali dengan Pakatan Rakyat. Melalui kerjasama ini Pas mulai
memperkembangkan sayapnya ke Pantai Barat Semenanjung seperti di Selangor,
Perak, Negeri Sembilan, bahkan Johor, Melaka da Pulau Pinang. Sebelum itu lebih
bertapak di negeri-negeri majoriti Melayu.
Melalui pakatan dengan PKR yang diketuai Anwar Ibrahim (semasa di luar tahanan), Lim
Kit Siang dari Dap dapat dijalinkan persefahaman dan kerjasama dengan baik.
Orang-orang Cina dan India memberi sokongan yang baik terhadap Pas dan PKR.
Sebagai contoh Penulis yang bertanding buat pertama kali di DUN kajang (1999) yang majoriti Cina dan lain dari Melayu 51%
dan Melayu hanya 49% mendapat sokongan yang baik dari pengundi-pengundi Cina dan
India melalui Kelab Penyokong Pas. Tokoh-tokoh dari Dap seperti Cikgu Lee (juga
pemimpin NGO) dan kumpulan di Kajang, kumpulan veteran Cina Dap di Semenyih
diketuai Che Lee dan rakan-rakan memberi sokongan yang kuat kepada Penulis yang
menjadi calon Dun Kajang pada pilihanraya ke 10. Dengan sokongan semua kaum
Penulis memenangi DUN Kajang, walaupun dengan majoriti yang rendah iaitu 37
undi saja. Ini adalah pertama kali seorang calon Pas memenangi DUN Kajang yang
majoritinya bukan Melayu.
Kejayaan dengan sokongan berbagai kaum
diulangi apabila Penulis bertanding bagi DUN Bangi pada pilihanraya ke 12, Mac
2008. Kemenangan dengan majoriti besar, iaitu jumlah undi yang didapati ialah
17,240 dengan majoriti sebanyak 6,192. Kalau dilihat peti-peti undi yang paling
tinggi didapati ialah dari peti undi di kawasan majoriti Cina seperti Taman
Bukit Mewah (2,092), Kajang Mewah (sebahagian Sungai Chua) sebanyak (1,634),
manakala tertinggi kawasan Melayu ialah Seksyen Satu – Tempat tinggal Penulis
(1,592) dan Seksyen 5 (1561). Penulis mau tunjukkan bahawa dengan kerjasama
yang baik dengan kaum Cina dan India kita mendapat sokongan yang baik. Pada
pilihanraya kali ini Pas menguasai sebahagian besar kerusi Dewan Undangan
Negerui Selangor (15). Kerjasama diteruskan pada pilihanraya ke 13 dan Pas
mengekalkan sokongan tinggi berbagai kaum.
Sebaliknya apabila Pas berpisah dan bersendiri
dalam pilihanraya ke 14, Pas bukan saja kalah di Bangi (Sungai Ramal), hanya
menang satu kerusi DUN di Selangor iaitu di Sijangkang, bahkan kalah diberbagai negeri
di Pantaii Barat. Pas hanya bertapak di Kelantan, Terengganu dan Kedah (tidak
memerintah) di negeri-negeri yang ramai Melayu.
Kepada NIK
ABDUH, dan Pas diperingatkan untuk
menyokong Umno dan Bersatu, adalah bersifat satu kaum – Bumiputera. Parti
Melayu tidak kukuh dan tidak begitu baik tanpa bekerjasama dengan parti-parti
yang bukan bumiputera. Bersifat anti terhadap satu parti dan kaum adalah tidak
baik. Adalah lebih baik dengan cara bersefahaman dankerjasama, termasuk untuk
berdakwah. Kalau kita anti dan menyerang dari luar, mejadikan mereka liar dan
menjauhkan diri. Peluang untuk berdakwah lebih baik bersama dari dalam dan
bukan menyerang dari luar.
Penulis berpendapat formula yang diasaskan
oleh Ustaz Fadzil Noor dan TG Nik Abdul Aziz adalah formula terbaik yang pernah
dihasilkan oleh Pas bersama dengan kaum-kaum dan parti-parti yang lain. Jika
berterusan Pas sekarang memerintah sama di peringkat Persekutuan dan tidak
lahir Amanah. Untuk masa depan Pas tidak patut bersendirian dan tidak juga wajar
hanya bersama satu kaum. Pas hendaklah sesuaikan diri dengan realiti dan bersifat praktikal bagi perkembangan
Islam dan Pas pada masa hadapan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment