February 24, 2019

MEREKA MULAI BERSATU DAN BERSUARA !


MEREKA MULA BERSUARA !
(Fikrah Bangi:  158),
BBB,  19 Jamadil-Akhir 1440H. = 24 Februari 2019M. (Ahad).
Nasionalisme Melayu banyak dicetuskan oleh isu bahasa dan pendidikan. Apabila rang undang-undang mengenai perkara 152 diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1967 – iaitu sepuluh tahun janji kerajaan melaksanakan bahasa Kebangsaan dan rasmi  selepas kemerdekaan , tetapi ada kekecualian boleh meneruskan bahasa Inggeris, jika perlu, maka pejuang-pejuang bahasa seperti Syed Nasir, Uthman Awang, pelajar-pelajar kolej Islam memprotes dan mengarakkan `Keranda 152`  sebagai protes terhadap kerajaan yang tidak menunaikan janji.
Apabila pelajar-pelajar menengah Melayu seperti dari Sekolah Alam Shah, Sekolah Tun Razak dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman, tidak mempunyai saluran ke peringkat universiti, maka pejuang-pejuang bahasa Kebangsaan bersatu mendesak agar didirikan Universiti Kebangsaan Malaysia. Pemimpin  seperti Tunku Abdul Rahman dan Khir Johari Menteri Pelajaran pada masa itu cuba melengah-lengahkan, maka rakyat memprotes dan akhirnya UKM  didirikan pada 18.5.1970 yang Canselor pertamanya ialah Tun Abdul Razak.
Kini ada pertanda-pertanda rasa tidak puashati Melayu dan parti Melayu yang berseteru, iaitu Umno dan Pas mulai bersatu. Mereka bersatu bukan saja kerana Kerajaan PH tidak menunaikan janji dalam manifesto mereka, tetapi mereka mulai rasa dan sedar agenda tersirat dari tangan-tangan ghaib  mulai mengancam mereka.
Pada mulanya PH melalui Ketua Pemudanya menyatakan `Tidak ada Ketuanan Melayu.` Ungkapan ini melukakan hati orang Melayu. Ungkapan ini bukan setakat kata-kata, tetapi secara senyap mulai terkesan pada terutama orang Melayu. Antaranya sebagaimana di dalam Mingguan Malaysia hari ini, keluhan Sasterawan Negara Ahnad Kamal  Abdullah  tentang bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan mulai terpinggir. Media letronik jika diperhati mulai menjalankan polisi persamaan bahasa, bahkan di kebanyakan saluran lebih mengutamakan bahasa Inggeris, walaupun isu dan topik lebih sesuai digunakan bahasa kebangsaan. Persidangan, forum dan perhimpunan lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris daripada menggunakan bahasa Melayu. Keutamaan untuk mendapat pekerjaan lebih mengutamakan bahasa Inggeris dari bahasa Melayu. Mereka merasa ketuanan Melayu dicabar apabila ada yang mempersoalkan kedudukan Agong dan Raja-Raja Melayu. Ketaatan tidak disebut lagi kepada agama, Raja dan Negara, tetapi kini hanya kepada Negara !
Orang Melayu merasakan identiti mereka tercabar dan jika berterusan akan menghakiskan kedudukan bahasa dan ketuanan mereka.
Orang Melayu bukan menafikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, tetapi penggunaannya perlu  secara bertempat dan sesuai. Penggunaan bahasa kebangsaan adalah perlu dihormati.
Orang Melayu melihat institusi yang berhubung dengan bahasa diabaikan. Misalnya dulu Dewan Bahasa dan Pustaka dilihat sebagai institusi berwibawa dan berperanan di dalam menyebarkana bahasa dan ilmu pengetahuan. Kini institusi itu, makin terpinggir dan dipersoalkan apakah yang dilakukan oleh institusi itu. Orang bertanya apakah peranan Kementerian Pendidikan di dalam memperkasakan institusi bahasa dan pendidikan itu. Kalau tidak mampu beri kuasa autonomi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dan letakkan dia terus berada di bawah Parlimen. Gantikan pemimpin di institusi itu dengan lebih berwibawa. Galakan memperkembangkan bahasa seperti hadiah-hadiah sastera tidak diperhebatkan, sebaliknya terbiar dan diperlekehkan.
Yang anihnya institusi-institusi pengajian tinggi yang semuanya sepatutnya sama berusaha mempertingkatkan bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa berwibawa di dunia, menyepi dan hanyut dalam suasana lama dan biasa.  Tiada peningkatan.
Pengabaian terhadap perjuangan bahasa, wibawa dan budaya  mencetuskan semangat dan kebangkitan bagi  mempertahankan keduduka. Penyatuan Umno dan Pas adalah salah satu fenomena yang sepatutnya menyedarkan pihak yang memerintah. Tuntutan mereka bukan setakat tol dan janji-janjiu pilihanraya, tetapi mempertahankan maruah dan identiti yang kelihatan makin terhakis !
Sekian.

No comments:

Post a Comment