February 2, 2019

MUFTI WILAYAH TAZKIRAH DI MASJID AL-UMM


MUFTI WILAYAH TAZKIRAH DI MASJID AL-UMM
(Fikrah Bangi:  136),
BBB, 27 Jamadil-Awwal 1440H. = 02 Februari 2019M. (Sabtu):
Terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Zulkifli bin Muhammad Al-Bakry, kerana  dengan  jadual yang ketat dan kesebokannya dapat datang ke Masjid Al-Umm pada petang hari Juma`at semalam. Beliau tiba sebaik maghrib dan berjama`ah Maghrib bersama jama`ah yang penuhdi dalam ruang utama masjid, termasuk muslimat memenuhi ruang muslimat yang sengaja disempadankan  pada bahagianm belakang.
Di dalam tazkirahnya beliau membicarakan tentang masjid berfokus kepada bagaimana mendidik anak-anak ke masjid. Beliau menyebut satu keistimewaan, bahawa masjid adalah Rumah Allah yang boleh didatangi oleh sesiapa dan kita aman selesa di dalamnya, lanya bukan sebagai rumah yang dimiliki pemilik dan bila mengujungi rumah seseorang kita mesti menghadkan diri sebagai seorang luar. Tapi di masjid kita tidak tekekang dan bebas dengan keberadaan.
Masjid adalah rumah utama yang dibina Allah bagi manusia. Pun begitu bagi yang mengunjunginya perlu menjaga adab dari segi pakaian, menjaga percakapan dan penampilan. Sebaiknya mendirikan solat  sunat dan berzikir sebelum tiba waktu solat fardhu berjama`ah.
Mereka yang hatinya selalu terpaut dengan masjid adalah menjadi  pertanda mereka yang mendapat lindungan diakhirat kelak (maksud sebahagian Hadith). Dato Dr. Zulkifli juga menyebut  pertanda keimanan seseorang ialah sering berjama`ah di masjid.
Dr. Zulkifli menyebut pada kebiasaan bagi pemimpin bila memeintah akan sebok membicarakan tentang pembangunan ekonomi dan sebagainya, tetapi bagi Rasulullah tatkala berhijrah ke Madinah memberi tumpuan awal kepada mendirikan masjid, iaitu Masjid Quba`  dan Masjid Madinah. Masjid adalah pusat bagi ibadat, pengajaran dan pengajian, pusat pentadbiran dan segala kegiatan kemasyarakatan. Masjid perlu diimarahkan dengan segala kegiatan yang dapat memajukan umat, termasuk menyelesaikan masalah kekeluargaan.
Dr. Zulkifli berpendapat masjid juga hendaklah menjadi tempat bagi anak-anak dari umur  6 tahun dan umur yang lebih tinggi daripadari itu. Beliau mau anak-anak muda  diberi tugas membahagikan anak-anak kepada beberapa kelompok berlainan yang dikendalikan oleh anak-anak muda mendidik mereka. Meteka diibimbing  di dalam berbagai bidang. Mereka diajar Al-Qur`an, menulis dan membaca dan dididik dalam  bidang akidah, hukum-hukum fiqh dan akhlak menurut kesesuaian dengan taraf anak. Manakala pada peringkat yang lebih tinggi boleh dianjurkan kelas tuisyen bagi mereka.
Bila mendirikan solat anak-anak tidak patut dibiarkan bertabur,  sebaiknya  bagi anak-anak hendaklah diatur pada bahagiann belakang dan perlu diawasi sebelum bersolat  dan selepas bersolat, sebaiknya dikendalikan oleh kalangan anak-anak muda  yang dilantik sebagai pengawas. Anak-anak muda yang terdidik secara teratur akan menjadikan mereka anak yang taat dan berakhlak.
Menurut Dr. Zulkifli pendidikan anak-anak  adalah melalui beberapa tahap.
Tahap ibu bapa membina kekuatan fizikal
Tahap persekolahan membina minda dan intelektual.
Dan tahap yang lebih tinggi membina  minat,  kecenderungan dan kerjaya.
Pada semua tahap ini, jika anak-anak dapat ditanam dengan didikan agama melalui masjid sejak kecil,insya Allah anak-anak sedemian baik dari segi akhlak, maju di dalam bidang akademik dan berkat di dalam kerjaya dan kehidupan masyarakat.
Sekian.

No comments:

Post a Comment