February 25, 2019

PERANAN SASTERA: SHIT, KRITIK SOSIAL


PERANAN SASTERA: SHIT,  KRITIK SOSIAL
(Fikrah Bangi: 159),
BBB, 20 Jamadil-Akhir 1440H. = 25 Februari 2019M. (Isnin).
Sastera berfungsi selain dari  sebagai media pendidikan, ia juga bersifat kritik sosial. Sebagaimana telah diperkatakan semalam, apabila janji menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan pada tahun 1967 tidak kesampaian, maka aktivis penulis telah memprotes secara langsung seperti mengungkapkan puisi  dan mengadakan perakan memprotes.
Sastera juga menjadi medium protes secara halus tetapi tajam seperti menggunakan kaedah `Satira`. Kaedah ini banyak digunakan oleh penulis-penulis termasuklah Shahnon Ahmad sasterawan Negara. Shahnon menulis banyak novel. Antaranya bersifat realisme seperti novelnya yang berjudul Ranjau Sepanjang Jalan dan Srengenge. Sebuah novel terkenal ialah Shit.
Menurut Shahnon, ``Shit adalah sebuah cerita rekaan yang tidak ada kaitan dengan sesiapa; baik yang masih hidup mahu pun yang sudah meninggal dunia.``
Tetapi sebuah novel tidak lahir dari kekosongan, ada latar yang ditimba. Demikianlah dengan Shit. Shit secara imaginatif dan kreatif mengambil situasi semasa (1999) yang berlaku kemelut politik dalam mana pada masa itu Anwar Ibrahim dipenjara kerana kes liwat. Rakyat tidak berpuashati terhadap pimpinan. Sebagai melahirkan sokongan tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat (PKR), ditubuhkan pada 4 April 1999 bersamaan 18 Zul-Hijjah 1419 hasil dari perhimpunan yang diadakan di Hotel Renaissance di Kuala Lumpur. Wan Azizah adalah Perasmi dan dilantik mengetuai, lantaran Anwar Ibrahim di dalam penjara.
Hasil dari protes rakyat menghasilkan Barisan Alternatif dari PKR, Pas dan Dap yang kemudian melahirkan Pakatan Rakyat yang memasuki pilihanraya 1999 yang mengurangkan kerusi BN dan membawa kepimpinan pemerintah pada masa itu berundur (2003).
Kegawatan politik dan sosial pada masa itu menjadi tema novel Shit dan diolah secara kreatif. Beliau membandingkan situasi politik pada masa itu sebagai seketul Najis (taik) di dalam perut yang  kata Shahnon,
``Seketul taik yang memberontak bernama Wirawan. Cerita dalam Shit sebahagian besarnya adalah perjuangan barisan taik untuk  mengemutkan keluar Wirawan dari usus besar melalui berbagai tektik kotor yang sama busuknya dengan taik yang kini sudah menjadi budaya barisan taik. Dan akhirnya Wirawan terkemuk keluar melalui lobang keramat.`` ( Shit, 1999: V).
Persoalan di atas diolah oleh Shahnom secara kreatif kepada 15 pecahan yang temanya diolah kepada Yang Busuk, Lobang Keramat, Shit @ PukiMak, Gerangan Siapa Aku Ini, Senandika-Solilokul, Igau, Idila,  Gebang-Gebangan, Sewaktu Masih Berada Dalam Kemutan Lobang Keramat,, Selamat Tinggal Lebuhraya  Kebusukan, Dinihari dan Strategi, Sembang-Sembangan, Rekonaisansi dan Anabasis.
Tema penceritaan berhubung dengan kejijikan, sebab itu apa yang terkandung di dalam cerita yang bergerak begitu perlahan penuh kejijikan.
Menurut Shahbon, tujuan Shit yang utama sama juga dengan satira politik di mana-mana ialah mengkoreksi penyelewengan yang dilakukan oleh orang-orang politik dalam organisasi parti politik dengan kelucuan yang berbaur dengan ketajaman kritikan yang pedas dan kecaman demi kecaman agar akhirnya semua termaklum dan mencari peleraiannya.``(hlm. Iii).
Dari segi realitinya Shahnon sebagai seorang sasterawan kreatif, ahli akademik pernah mencebur diri dalam Parti Pas dan pernah memenangi pilihanraya, tetapi perjuangan politiknya tidaklah menonjol.
Beliau terkenal dengan identitinya sebagai Sasterawan Negara. Shit diharap memberi ingatan kepada otang-orang politik.
Sekian.

No comments:

Post a Comment