DUN SEMENYIH: LATAR DAN PENGALAMAN
(Fikrah Bangi, 143),
BBB, 04 Jamadil-Akhir 1440H. = 9 Februari
2019M. (Sabtu).
Pilihanraya DUN N24 Semenyih yang akan
berlangsung pada 02 Mac 2019, menarik
perhatian. Ini adalah DUN keempat berlaku pilihanraya kecil di Selangor selepas
pilihanraya ke 14 (9 Mei 2018). Pilihanraya telah berlangsung pada peringkat
negeri Selangor, ialah DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. Semua
pilihanraya kecil berkenaan yang berlaku di negeri Selangor itu dimenangi
kembali – dipertahan oleh PH sebagai kerajaan yang memerintah baik pada
peringkat Persekutuan atau pada peringkat negeri Selangor. Tapi apakah
pilihanraya kecil DUN Semenyih bakal berlangsung itu akan terus dimenangi dan
dipertahan oleh PH ? Suasana politik tanahair sebenarnya terus berubah Land
marks politik terbaru yang semacam `Arus
Balik`, ialah kekalahan PH pada pilihanraya Parlimen Cameron Highlands
dimenangi oleh BN dengan majoriti yang besar. Dengan kemenangan ini
semangat BN khususnya dari pimpinan Umno
yang dipimpin oleh Mohamad Hasan kembali bersemarak. Banyak pihak melihat
pilihanraya ini merupakan mempertahankan maruah bagi PH, tetapi juga peluang
bagi BN, khususnya Umno untuk merampas
DUN Semenyih bagi memperkukuhkan kembali kedudukan Umno. Khir Toyo Bekas Menteri
Besar Selangor berpendapat bahawa, ``BN berpeluang menang di DUN Semenyih.`` diperkukuh dengan obor Semangat Cameron Highlands, juga
realiti pengundi di Dun Semenyih serta situasi politik semasa negara.
Dun Semenyih N24 adalah berbeza dari
pilihanraya sebelum 2014. Persempadanan baru bagi DUN Semenyih kini memasukkan
sebahagian kawasan yang dahulu di bawah DUN Bangi menjadi sebahagian dari DUN
Semenyih, dua kawasan penting yang dimasukkan ialah Seri Putera dan Bukit
Mahkota. Kedua-dua kawasan ini adalah mirip DUN Bangi, atau lebih khusus ialah
Bandar Baru Bangi. Bermaksud kawasan ini adalah perluasan dari kawasan Bandar
Baru Bangi yang telah penuh dari segi kependudukan, maka kependudukan berkembang hingga ke Seri Putera dan Bukit Mahkota. Pola kependudukan adalah
menyerupai Bandar Baru Bangi. Kependudukan
di kedua Bandar ini sebagaimana Bandar Baru Bangi adalah lebih 95% adalah
Melayu. Mereka yang menghuni di kedua bandar ini kebanyakan berkhidmat di institusi-institusi
pengajian tinggi yang berada di bandar-bandar itu atau sekelilingnya.
Sebahagian pula adalah pegawai-pegawai dari jabatan kerajaan dan swasta. Pendek
kata penduduk di Seri Putera dan Bukit Mahkota adalah dari kalangan menengah
atas. Kedua-dua bandar ini sebagaimana Bandar Baru Bangi mementingkan kehidupan
beragama dan bermasyarakat sejahtera. Selain dari dua bandar ini, kawasan
Semenyih yang lain ialah kawasan sedia ada seperti Pekan Semenyih itu sendiri
yang sebahagian daripada mereka ialah orang Cina,, manakala yang lain adalah
kawasan tradisional Melayu seperti perkampungan dari Bangi Lama ke Semenyih,
Beranamg, kampung Pasir ke Tekali dan
kawasan Broga.
Pola pengundi memperlihatkan bahawa kawasan N24
adalah didominasi oleh kaum Melayu. Dari
segi jumlah pengundi adalah sebagaimana berikut:
Jumlah pengundi DUN Semenyih ialah 54,503 orang. Daripada jumlah di atas:
Pengundi Melayu 36,857
merupakan 69.256 peratus
Cina 8,939 merupakan 18.896 peratus
India 7,062
merupakan 13.396 peratus.
Penulis sendiri amat kenal rapat dengan
kawasan kependudukan DUN Semenyih dan penduduknya, kerana semasa Penulis
bertanding sebagai ADUN Kajang
(1999-2004), maka sebahagian dari Dun Semenyih sekarang termasuk
sebahagian Pekan Semenyih adalah sebahagian DUN Kajang yang Penulis menjadi
ADUN pada masa itu, manakala semasa Penulis menjadi ADUN Bangi (2008-2013),
maka Seri Putera dan Bukit Mahkota adalah menjadi sebahagian dari DUN Bangi
yang Penulis memenangi DUN Bangi (2008-2013). Pendek kata kawasan DUN Semenyih
adalah kawasan yang rapat dengan hati Penulis. Penulis bukan setakat
menjadi ADUN bagi Kajang dan Bangi, tetapi pernah menjadi YDP Pas Hulu
Langat dan juga YDP Pas Serdang yang merangkumi semua kawasan berkenaan..
Penulis akan menulis sebagai memoir Penulis berhubung
dengan DUN Semenyih dan yang berhubung dengannya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment