February 27, 2019

SIMPATI MELIBATKAN DIRI DALAM PARTI

SIMPATI  MELIBATKAN  DIRI DALAM POLITIK
(Fikrah Bangi: 161),
BBB,  22 Jamadil-Akhir 1440H. = 27 Februari 2019M. (Rabu).
Telah Penulis kata, sepanjang kerjaya Penulis dalam bidang akademik dari pensyarah biasa hingga Profesor Madya, Penulis tidak melibatkan diri dengan politik, tetapi suasana politik yang gawat pada akhir 1990an mendorong Penulis kepada politik dalam masa yang sama Penulis telah sampai usia bersara, bahkan telah dua tahun berkhidmat secara kontrek. Anak Penulis sebagai anak muda yang kembali dari luar negara – Amerika terlibat  sama mempertahankan rumah Anwar dari diceroboh untuk menangkapnya (diceritakan kepada Penulis) dan peristiwa `Mata Lebam` Anwar dipukul semasa di dalam penjara menarik simpati  orang ramai, termasuk Penulis dan mulai berjinak dengan politik. Kawan-kawan Penulis yang sama berjama`ah di Surau Al-Umm mencadangkan ditubuhkan cawangan Pas.
Maka pada 21 Mac 1999 bersamaan 2 Safar 1420 diadakan pertemuan bagi menubuhkan cawangan Pas. Pertemuan diadakan di rumah Penulis yang dihadiri oleh Dr. Che` Rusli Che Mat YDP Pas Hulu Langat pada masa itu. Turut hadir ialah Dr. Hamirdin Ithnin Ketua Perhubungan Pas Hulu Langat dengan 35 orang yang hadir. Dalam pertemuan pada malam itu ditubuhkan Pas Cawangan 1/3K dengan Ketua Cawangan ialah Penulis sendiri, Tuan Haji Ya`kob Mohd. Nor selaku Timbalan Pengerusi, Setiausaha Tuan Haji Banhawi Mohamad dan Bendahari Tuan Haji Hussin Yunos dengan 12  Ahli Jawatankuasa.

Suasana politik pada masa itu makin hangat  dengan isu Anwar.  Penulis terdorong  menyertai sama hari penubuhan PKR, turut  sama pergi anak Penulis. Hari perasmian penubuhan  PKR ialah pada 4 April 1999 bertempat di Hotel Rainassance di Kuala Lumpur.. Penulis turut mendaftar kehadiran dengan bayaran RM2.00. Perasmian dilakukan oleh Wan Azizah isteri Anwar Ibrahim yang di dalam penjara. Pemergian secara simpati ini tidak bererti melibatkan diri sebagai ahli PKR, kerana Penulis sendiri telah memilih politik yang berideologi Islam. Keadaan yang sama dengan mereka yang berjuang bersama Anwar sebahagian daripada mereka dari segi perjuangan parti memilih Pas seperti Kamaruddin Ja`far, Dr. Hatta Ramli, Ramli Ibrahim dan ramai lagi.
Sungguhpun Penulis mulai terlibat dengan politik, tetapi khidmat dengan UKM masih diteruskan dari segi pengajaran dan penyeliaan tesis pada peringkat Ph. D dan peringkat sarjana, bahkan isu politik semasa turut dirasai di dalam kampus. Misalnya karya SHIT yang dihasilkan oleh Shahnon (Meninggal di Bangi 2017) didiskusikan di dalam Seminar Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK) pada 9 Jun 1999 yang dihadiri begitu ramai peserta. Dan pada 8 Julai 1999 Penulis sendiri membentangkan kertaskerja mengenai SHIT di Kompleks Perdana Siswa di Universiti  Malaya.
Semasa masih bergiat di Kampus UKM, sebagai Ketua Cawangan Pas bagi Kawasan 1/3K, Penulis mulai melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan Pas. Seperti sering ke Markas Tarbiyyah Pas Hulu Langat bertempat di Sungai Merab. Pada 20.6.1999 bersama Mat Sabu berceramah di Taman Kajang Baru, Sungai Jeluk, Kajang.
Pada 10 Julai bersama-sama dalam majlis yang dihadiri Tuan Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Hashim Jasin, Dr. Abdul Rashid Dail dan Dr, Rusli Che` Mat. Dalam majlis Dr. Che Rusli menerima borang pencalonan bagi kawasan Hulu Langat. Pada 18 Julai 1999 menghadiri  Majlis Perhimpunan Graduan yang dianjurkan oleh Ketua Pemuda Pas Mahfuz Omar. Majlis dirasmikan oleh Presiden Pas Dato` Fadzil  Nor. Penglibatan kegiatan tidak setakat Bangi, tetapi meluas ke Hulu Langat. Kawasan ini yang sebelum ini sukar ditembusi Pas, mulai  terbuka dengan penubuhan cawangan-cawangan Pas. Mulai 8 Ogos 1999 hadir ke Bengkel Muslimat di Semenyih. Mulai 12 September 1999 Penulis mulai ke Kg. Sentosa di Semenyih berceramah di sana, juga ke Rincing merasmikan acara sukaneka (29 Ogos). Pendek kata selain dari melawat semua bahagian di Kajang, turut meluaskan lawatan ke kawasan-kawasan di Hulu Langat.
Keterlibatan dalam parti mula meluas.
Sekian.

No comments:

Post a Comment