November 29, 2009

Apa Itu Golongan BAGAMIS ?

Anekdot:
Apa Itu Golongan 'BAGAMIS' ?

Menurut teori ekonomi, setiap manusia perlu pada tiga perkara asas, iaitu perlindungan, makanan dan pakaian. Berhubung dengan perlindungan manusia memerlukan rumah sebagai tempat perlindungan. Untuk mendapat perumahan pula bergantung pada kemampuan kewangan seseorang. Yang kaya dari golongan atasan bukan saja mampu memiliki rumah banglo, tetapi juga kawasan taman yang luas. Golongan kelas menengah atasan memiliki banglo dengan kawasan terhad, manakala golongan menengah bawah mungkin mampu memiliki rumah berkembar. Rakyat biasa yang berkemampuan sederhana memiliki rumah teres dua tingkat dan rakyat biasa mampu memiliki rumah teres setingkat dan golongan miskin memiliki apa yang diistilahkan 'rumah murah'. Rumah murah ini sebenarnya tidaklah murah. Kalau dulu dalam lingkungan RM15,000 kemudian naik kepada 25,000 dan kini RM45,000! Harga itupun bergantung pada lokasi, kalau di Bandar lebih tinggi dari luar Bandar.

Dua hari sebelum bersidangnya DUN Selangor, tatkala diadakan Mesyuarat Pre-Cauncil pada 6hb. November, jam 2.30 petang di Bilik Gerakan, Tingkat Dua, Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, tatkala ADUN masuk ke Bilik lebih awal dari masa Taklimat dan Mesyuarat, saudara YB. Iskandar Bin A. Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan yang seiring masuk dengan ADUN Bangi memberitahu,

"Ada berita baik untuk ADUN Bangi !"
"Berita apa ?", tanya ADUN Bangi.
"Ada projek perumahan baru untuk rakyat di Bangi !", beritahunya dengan wajah ceria.
"Oh! Perumahan rakyat bertaraf dunia itu ?", kata ADUN Bangi.

Maklumat berkenaan perumahan rakyat bertaraf dunia ini pernah diberitahu kepada ADUN sebelum dari ini. Cuma dalam fikiran ADUN tertanya-tanya,
"Kalau perumahan rakyat bertaraf dunia, bagaimana ya? Mampukah rakyat memilikinya?" Demikian bermain di kepala pemikiran ADUN.
"Sesuatu yang bertaraf dunia logiknya tentulah canggih! Kalau canggih tentulah mahal!"

Itulah persoalan yang ADUN memerlukan jawapan.
Jawapan bertaraf dunia dari ADUN tidak dijawab, sebaliknya katanya,

"Rumah mampu milik!", katanya. ADUN merasakan jawapan yang diberikan tidak sebagaimana dijangka dan diharapkan. Sebaliknya ADUN menghujahkan,
"Semua jenis rumah mampu dimilik bergantung pada kemampuan kewangan seseorang. Rumah banglo mampu milik oleh orang kaya, demikian rumah pangsa mampu milik oleh golongan berpendapatan rendah !" kata ADUN sambil bertanya,
"Berapa jangkaan harganya ?"
"Antara RM60,000 hingga RM70,000", katanya.
"Lebih mahal dari rumah murah!", kata ADUN.
"Itulah rumah mampu milik. Yang berkelayakan lebih dari rumah murah, tapi masih dikategorikan di Bawah Garis Miskin", tambahnya.
"Kalau begitu, mengapa tidak dinamakan saja rumah golongan BAGAMIS bagi mengelak dari kekeliruan ?", cadang ADUN.
"Rumah BAGAMIS ?", Tanya YB Iskandar.
"Ya", kata ADUN. "Rumah BAGAMIS maksudnya rumah bagi golongan Bawah Garis Miskin``, kata ADUN.
"Macam-macam", katanya. "Nanti kita fikirkan", tambahnya.
"Tapi adakah BAGAMIS ini layak dipanggil bertaraf dunia ?", hujah ADUN.
"Tentulah". Katanya, "Semua rumah yang ada didunia, sama ada yang murah atau mahal bertaraf dunia", jawabnya secara bergurau seolah memerli ADUN yang mengatakan semua rumah mampu milik berdasarkan kelayakan seseorang!

Perbualan kami terhenti, kerana YAB Dato Menteri Besar masuk diiringi Tuan Speaker dan pengiring-pengiring yang lain. Kami semua berdiri hormat, seterusnya berdiam diri mengikuti program majlis sebagaimana diatur.

Sekian.

2 comments:

  1. Alhamdulillah, semoga projek perumahan untuk golongan miskin ini menjadi kenyataan di Bdr Baru Bangi.
    Apa yang saya harapkan sebagai rakyat biasa ialah supaya ianya benar-benar dimiliki oleh rakyat dan bukan hanya ahli Pakatan Rakyat sahaja.
    Jangan kita ikut budaya BN dahulu iaitu keutamaan hanya kepada ahli umno dan BN sahaja.
    Bahkan lebih teruk lagi golongan yang berada dan sudah memilik rumah pun boleh membelinya.
    Akhirnya, apabila rumah siap dan sedia untuk didiami, terpampang disana sini perkataan "untuk dijual/disewa".
    Semoga Allah memberikan kemenengan berpanjangan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat.

    ReplyDelete
  2. Amin, InsyaAllah. Teruskan dgn sokongan dan cadangan utk kemajuan bersama..Takbir, Allahuakbar!!!

    ReplyDelete