November 6, 2009

Sidang Dewan Undangan Negeri Dijangka Lebih Hangat

BBB, 18 Zulkaedah = 6 November (Jumaat):

Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-2 Dewan Undangan Negeri Selangor Darul Ehsan Ke-12 Tahun 2009 yang akan berlangsung dari 9 – 13 November dan 16 – 17 November (Isnin- Jumaat & Isnin – Selasa) dijangka hangat oleh kerana banyak isu-isu yang dijangka ditimbulkan oleh ahli-ahli Dewan.

Persidangan kali ini membentang Bajet 2010 yang jumlah peruntukannya tidak begitu berbeza dengan 2009. Tentulah Bajet menjadi induk bagi perbahasan. Isu dijangka hangat antaranya isu SELCAT yang menimbulkan rasa tidak puas hati tentang cara procedure dijalankan yang dikatakan menjatuh maruah kalangan pegawai-pegawai tadbir yang disoal siasat.

Persoalan ini ditimbulkan oleh kalangan dari Pakatan Rakyat sendiri yang hamper membawa keretakan Pakatan Rakyat. Pertanyaan juga timbul apakah hasil keputusan yang dijalankan itu. Dijangka cara SPRM menjalankan siasatan yang dianggap kasar dipersoalkan sehingga mangsa yang disoalsiasat Tan Beng Hock meninggal dunia dalam masa siasatan SPRM. Isu masih dalam siasatan dan masih belum selesai.

Isu kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam mungkin akan dibangkit sebagai satu contoh bagaimana isu ini dimainkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab hingga mencetuskan perasaan perkauman. Namun isu ini dapat diselesaikan dengan baik. Isu yang menyentuh sentiment juga ialah mengenai penjualan arak secara terbuka di kedai-kedai yang majority masyarakat Islam. Isu ini membawa pergeseran di antara pendukung parti-parti di dalam Pakatan Rakyat itu sendiri. Namun hasil dari sikap hormat menghormati antara satu sama lain isu ini dapat diselesaikan.

Isu keluarnya Badrul Hisham ADUN Pelabuhan Kelang dari PKR dan PR tentu akan dibangkitkan. Beliau akan dikecam hebat. Kita mahu lihat bagaimana Badrul Hisham menyesuaikan diri dengan perubahan dirinya dan kedudukannya di dalam Dewan menjadi ADUN Bebas berpihak kepada BN. Persoalannya adakah beliau hadir ke mesyuarat pada kali ini. Pada masa yang lepas beliau lebih banyak tidak hadir dari hadir.

Dari segi kehadiran ini pada kali ini lima orang pembangkang diketuai Ketua Pembangkang YB Dato` Seri Mohamad Khir bin Toyo tidak akan menghadiri Sidang kerana digantung dari sidang. Barangkali dari satu segi akan mengurangkan kerancakan dari segi perbahasan. Namun isu ini berkemungkinan hebat di luar Dewan, kerana ia mungkin dibangkitkan di luar Dewan dan mungkin pada masa sidang isu ini akan dibawa ke mahkamah bagi membantah penggantungan dan memohon mahkamah membatalkan perggantungan. Kita akan melihat perkembangan lanjut dari isu ini.

Isu paling mutakhir yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat dan dijangka dibangkitkan di dalam Dewan ialah mengenai penahanan Bekas Mufti Perlis Mohd Asri Zainal Abidin yang ditangkap kerana berceramah di Ampang tanpa tauliah. Pihak JAIS dijangka menjadi sasaran utama. Kita akan dapat mengikuti perbahasan di Dewan dan bagaimana isu-isu di atas dikendali dan diselesaikan atau sebaliknya. Sama-sama kita mengikuti.


No comments:

Post a Comment