November 2, 2009

Pendapat

Helah Naif Bagi Menutup Kelemahan Diri


BBB, 12 Zulhijjah = 31 Oktober (Sabtu):

Adalah dipersoalkan dari segi moral dan amanah apabila Badrul Hisham, ADUN Pelabuhan Klang mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat pada Khamis 29 Oktober dan berstatus ADUN Bebas, tetapi berpihak kepada UMNO-BN. Kemelut Badrul Hisham telah dikesan seawal beliau menjadi ADUN dan beliau menjadi duri dalam daging bagi PKR dan PR.


Beliau miskin dari menghadiri Sidang DUN. Aduan ketidakpuasan hati penduduk di kawasannya sering terpapar di dada akhbar-akhbar sehingga terpaksa dilantik wakil bagi mengendalikan tugas-tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh beliau. Dalam masa yang sama usaha dilakukan bagi memulihkan kedudukan dan peranan beliau sebagai ADUN, tetapi nampaknya tidak berkesan sehinggalah beliau keluar dari PKR dan PR.

Badrul Hisham nampaknya tidak berpegang pada prinsip dan pertanggungjawaban. Beliau dilantik oleh PKR dan dipilih sebagai ADUN atas kapasiti beliau sebagai calon PKR. Beliau seharusnya bekerja menunaikan amanah dan pertanggungjawaban diberi kepada beliau. Atas dasar dan prinsip bila beliau hilang kepercayaan (alasan beliau) kepada pimpinan yang memberi amanah dan tanggungjawab kepadanya beliau sepatutnya beliau meletakkan jawatan dan mengosong kerusi yang diwakili. Dengan cara sedemikian menunjukkan beliau seorang bermaruah dan mempunyai integriti diri. Dengan keluar dari amanah dan pertanggungjawaban, sebagai bebas dan berpihak pada UMNO-BN, tetapi tidak mengosongkan kerusi bererti beliau mengkhianati prinsip, amanah dan pertanggungjawaban, tetapi dalam masa yang sama masih mahu mengekalkan dan mengambil faedah dari peluang yang diberi oleh PKR selama ini. Ini adalah sesuatu yang bercanggah dengan maruah dan integriti diri.


Kita melihat alasan ketidakpercayaan terhadap kepimpinan adalah merupakan alasan yang dicari-cari bagi menutup kelemahan dan kenaifan diri. Di dalam hal ini UMNO-BN bukan berminat kepada peribadi watak, tetapi semata-mata mengambil peluang menangguk di air keruh. Kita menunggu bagi melihat Badrul Hisham mengambil posisi dan mengisi fungsi beliau sebagai Ahli Bebas. Kita juga ingin mengetahui respon rakyat yang memilihnya tetapi mengubah mandat yang diberi kepadanya.


Sekian.

No comments:

Post a Comment