Dewan Dato` Fadzil Noor tidak dapat menampung kehadiran para perwakilan PAS yang melempah ruah keluar. Kehadiran tidak berkurangan dari pagi hingga jam 6.00 petang. Ini menunjukkan para perwakilan dari seluruh negeri amat memberi perhatian dan mahu kepastian bagaimanakah tindakan diambil bagi mengatasi kemelut politik di dalam PAS yang melibatkan kepimpinan pada peringkat Pusat dan Negeri. Mereka bimbang dengan gembar-gembur politik yang dimainkan oleh musuh politik dan media. Atas hasrat memperjelaskan kedudukan dan mendapat pandangan perwakilan, maka diadakan seminar pada hari ini.
Format seminar pada hari ini didahului dengan ucapan Presiden, pembentangan dua kertas kerja, sesi sumbang saran dari perwakilan negeri-negeri dan dewan-dewan dan penggulungan. Presiden YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang meyakinkan perwakilan soal Kerajaan Perpaduan tidak lagi timbul. Ujian terhadap kepimpinan dan kemantapan parti bukan perkara baru. Selama ini al-hamdulillah kita dapat mengatasi dan insya Allah kemelut yang dihadapi kini akan dihadapi dengan baik. Beliau mahu Pas, bukan saja dimantapkan, tetapi pengisian yang lebih memperkasakan parti. Presiden menekankan kerjasama dalam Pakatan akan tetap diteruskan. Usaha memantapkan Pakatan dilakukan. Pas akan menghadapi pilihanraya ke 13 bersama Pakatan.
Jemputan dua orang tokoh akademik membentangkan kertas kerja, iaitu Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dari UIAM dan Profesor Dr. Abu Hassan Hasbullah dari UM adalah tepat. Pandangan Dr. Abdul Aziz Bari mengenai kepimpinan dalam Pas amat tidak menyenangkan. Walau bagaimana pandangan dari luar ini dianggap suatu yang menyedarkan kepimpinan dan parti dan berusaha untuk memperbaiki parti. Kita menganggap adalah tidak wajar dan tidak adil perwakilan yang mengecam pandangan Abdul Aziz dan menganggapnya sebagai pandangan orang luar. Siapa dari dalam yang mampu memberi pandangan tentang masalah kepimpinan dan parti secara objektif ? Tidak akan ada keberanian dari kalangan dalaman, Jika ada beliau akan dikecam, dipandang serong dan tentu ada yang menuntut agar diambil tindakan. Kita tidak mau kita hanya menerima pandangan yang memuji pimpinan dan parti. Lantaran ini kita memuji dan menyanjung orang memberi pandangan sedemikian. Sebaliknya kita kecam dan keji apabila pemberi maklumat tidak menyenangkan kita. Kita perlu objektif dan bersifat terbuka dan sedia menerima kritikan, menilai dan meneliti serta bersedia memperperbaiki sebarang kekhilapan.
Banyak pandangan dan cadangan yang bernas disampaikan oleh para perwakilan negeri-negeri dan dewan-dewan, tetapi rumusan yang dibuat tidak konkrit dan merangkumi. Apa yang dibimbangkan, cadangan dan rumusan yang dibuat di dalam seminar sekadar budaya seminar biasa. Ianya disimpan di dalam fail, tetapi tidak disusuli dengan tindakan segera secara berkesan, keadaan kembali kepada asal dan tiada tindakan positif diambil.
No comments:
Post a Comment