November 12, 2009

Sidang DUN Selangor 23 Zulkaedah = 11 November (Rabu)Hari Ketiga

Usul Tergempar Meminta JAIS Menarik Balik Kes Penangkapan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin



Selepas Soalan Lisan dan sebelum perbahasan terhadap Enakman Perbekalan (2010) pagi ini, sebuah Usul Tergempar dikemukakan oleh YB Saari bin Sungib ADUN Hulu Kelang (N.18) menuntut JAIS menarik balik kes penangkapan terhadap Mohd Asri Zainal Abidin Bekas Mufti Perlis pada 1 November lepas di Ampang jaya kerana berceramah tanpa tauliah.


Speaker DUN YB Teng Chang Khim membaca usul berkenaan dan membuat keputusan sungguhpun usul mustahak dan berkait dengan kepentingan orang ramai, tetapi ianya tidak memerlukan tindakan segera. Sebab itu usul berkenaan ditolak.


Sebelum itu ketika ADUN Bangi mengemukakan soalan tambahan bagi pertanyaan mulut ADUN Dusun Tua (YB Tuan Ismail Bin Sani) yang dijawab pada pagi ini berhubung dengan Pembaca Khutbah Tanpa Tauliah JAIS, iaitu seorang ulama` dan bekas Mufti Perlis ditangkap. Tidakkah beliau berkelayakan berceramah ? Soalan ini juga ditolak oleh Tuan Speaker dengan alasan soalan tidak berkaitan.


2) Jawapan Soalan Lisan:


Pagi ini selama 14 soalan dijawab di dalam sesi menjawab soalan selepas sidang bermula. Berbagai soalan dikemukakan antaranya khutbah tanpa tauliah, Hasil Cukai Tanah, pemutihan kilang haram, pencemaran udara, negeri berkebajikan, penguatkuasaan tempatan, kewangan, kebakaran tapak pelupusan sampah, CCTV, pelajar di Mesir dan Jordan. Satu soalan dari ADUN Bangi juga keluar sebagai soalan kedua dari ADUN susunan ke 30, iaitu mengenai Skim Pinjaman Pelajaran Tinggi Kerajaan Negeri Selangor yang tidak begitu diketahui ramai. Pinjaman disediakan bagi pelajar anak Selangor yang berjaya masuk ke IPTA.


Sebelum dari itu ADUN Bangi juga berkesempatan membuat dua kali soalan tambahan berhubung dengan jumlah tauliah yang dikeluarkan oleh JAIS apakah berkecukupan dengan jumlah masjid-surau dan tempat-tempat yang memerlukan ceramah dan pengajaran. Jumlah yang dikeluarkan setakat ini 977. Jumlah inl tidak mencukupi dengan jumlah surau-masjid melebihi 2,300 buah. Ini tidak masuk tempat-tempat memerlukan pengajaran dan ceramah. Cara mengatasinya ialah dengan membanyakkan pengeluaran tauliah kepada mereka yang berkelayakan. Demikian jawapan dari YB Exco Agama, Adat-Adat Melayu, Infra Struktur dan Kemudahan Awam.


3) Perbahasan Terhadap Enakmen Perbekalan


Pagi ini perbahasan terhadap Enakmen Perbekalan, iaitu Anggaran Pembangunan 2010 berjumlah RM590,400,000.00 bermula dengan YB Azmin Ali dari pihak Kerajaan diikuti oleh YB Muhamad Satim bin Diman mewakili pihak Pembangkang. Selain dari mereka berdua tiga orang lagi berkesempatan membahaskan peruntukan. ADUN Bangi berpeluang membahaskan peruntukan sebagai orang kelima bermula jam 4.00 petang. Jam 4.30 petang Speaker menangguhkan perbahasan dan ucapan ADUN Bangi akan disambung pagi esok.


Perbahasan secara meluas boleh disentuh apa saja topik yang berhubung dengan peruntukan, khususnya yang berkait dengan topik-topik pecahan bagi peruntukan seperti Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, perbendaharaan, jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan, Kerjaraya, Pengairan dan Saliran, Jabatan Agama Islam, Perancang Bandar dan Desa, Veterinar, Kehakiman Syariah dan Perbandaran. Perbahasan dijangka memakan masa selama dua hari. Perbahasan disiarkan secara langsung melalui Tv Internet Selangor.

2 comments:

  1. assalamualaikum YB,

    Boleh tak bawakan isu pencemaran udara akut yang kini merupakan masalah kepada warga Bukit Mahkota?.kami telah pun membuat aduan demi aduan kepada pihak JAS N9 & MPN. Apakah langkah kerajaan negeri untuk memantau bahaya yang terhasil daripada pencemaran udara akut yang terhasil daripada industri kitar semula bateri terpakai?. Cuba-cunalah selitkan pertanyaan ini.

    ReplyDelete
  2. Salam anakmuda-bukitmahkota,

    Kalau tak silap saya, Bukit mahkota dibawah pentadbiran Bangi. Oleh itu saya cadangkan sdr kemukakan aduan kepada JAS Selangor bukan Negeri Sembilan, walaupun mungkin sumber pencemaran itu daripada kawasan Negeri Sembilan.
    Kedua saya cadangkan sdr juga buat aduan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH), kerana mereka yang boleh membuat pemeriksaan dalam kilang yang mungkin menjadi punca kepada masaalah ini.Kedua-dua Jabatan ini bidangkuasanya tidak sama.
    Yang lebih efektif ialah kalau kita boleh keluar duit sikit untuk membuat pemantauan udara (air monitoring) untuk menunjukkan bukti udara persekitaran kita memang kotor. Sekian dimaklumkan, terima kasih.
    - Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety Officer).

    ReplyDelete