November 4, 2009

Maklumat

Apa Bezanya Antara Majlis Agama Islam Dengan Pejabat Agama Islam ?

JAKIM, Putra Jaya, 11 Zulkaedah = 30 Oktober (Jumaat):


Di setiap negeri di Malaysia terdapat dua entiti di atas, iaitu Majlis Agama Islam dan Pejabat Agama Islam. Mengapa kedua-duanya diwujudkan yang kedua-dua dikaitkan dengan Islam. Jika kedua-dua berfungsi menjalankan kegiatan yang berkait dengan agama Islam, mengapa tidak disatukan, jika tidak apakah perbezaannya ?

Perkara di atas diberi penerangan oleh Y.Bhg. Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor selaku Pengerusi Lepai sebelum memulakan mesyuarat di JAKIM. Menurut beliau,

``Ramai yang tidak memahami dan tidak dapat membezakan antara Majlis Agama Islam dan Pejabat Agama Islam dan fungsi setiap satu daripadanya.``

Memang benar, penulis sendiri pada satu masa, sama tidak memahami perbezaan dan fungsi antara keduanya.

Menurut Tan Sri, ``Majlis Agama Islam diwujudkan sejak sebelum Merdeka di negeri-negeri Melayu dan kuasanya terletak di bawah kuasa raja yang memerintah sesuatu negeri itu.``

Tambahnya, ``Persoalan Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu adalah di bawah kuasa Raja-Raja Melayu.``.

Manakala Pejabat Agama Islam menurut Tan Sri, ``Pejabat yang ditubuhkan oleh negeri yang memerintah dengan tujuan menjalankan pentadbiran segala perkara yang berhubung dengan hal ehwal Agama Islam.``,
``Walaupun tidak dinafikan juga adalah di bawah Raja Melayu``, katanya

``Majlis Agama Islam bersifat autonomous di bawah kuasa Tuanku dan mempunyai asset tersendiri yang kebanyakannya bergantung pada zakat dan harta waqaf. Ia teguh dengan kedudukan asset dan kewangannya, tetapi kadang-kadang ia memerlukan peruntukan tahunan dari kerajaan yang memerintah.``

Beza ketara, menurut Tan Sri,``Majlis Agama Islam di bawah pentadbiran ahli-ahli Majlis yang dilantik oleh Tuanku boleh menjalankan perniagaan dan menubuhkan perbadanan.``

Sebagai contoh Majlis agama boleh membangunkan tanah-tanah waqaf dengan mendirikan bangunan untuk disewakan atau hotel untuk diperniagakan. Majlis juga melibatkan diri melabur di dalam bidang pendidikan seperti mendirikan kolej, kolej universiti swasta secara komersil di samping untuk kebajikan.

Adapun Jabatan Agama Islam menurut Tan Sri ialah, ``Pejabat sebagaimana pejabat-pejabat yang lain ditubuh dan dikendalikan oleh kerajaan negeri yang memerintah bagi menjalankan pentadbiran yang Pejabat Agama ialah menjalankan pentadbiran agama Islam di negeri berkenaan.``

Menurutnya lagi, ``Pegawai-pegawai dan pekerja-pekerjanya dilantik bekerja sebagaimana pegawai-pegawai dan pekerja-pekerja yang lain. Bagi setengah negeri kakitangannya boleh ditukar atau dipinjamkan sebagaimana di jabatan-jabatan yang lain.``

Tambah Tan Sri,``Pejabat Agama mendapat peruntukan tahunan dari bajet tahunan kerajaan negeri.``.

Dalam kata yang lain ianya menjalankan pentadbiran bagi kerajaan negeri di dalam bidang-bidang yang diperuntukkan baginya. Contoh menjalankan pentadbiran masjid, surau, sekolah-sekolah agama yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri, mengeluarkan fatwa, perundangan syariah, termasuk undang-undang keluarga. (Berlaku pemisahan pentadbiran bagi Jabatan Mufti dan Kehakiman Syar`I, tetapi juga masih di bawah kuasa negeri dan mendapat peruntukan dari kerajaan negeri).

Adapun LEPAI (Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam), ialah Badan yang berada di bawah JAKIM yang terletak di bawah Kuasa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung Malaysia yang menyelaras pendidikan antaranya pendidikan sepanjang hayat, pendidikan kolej, tahfiz, ta`mir dan sebagainya. JAKIM sebagai satu Jabatan pada peringkat Persekutuan bagi memajukan Islam di Malaysia tentulah mempunyai banyak lagi bidang dan fungsi di bawahnya..

Terima kasih di atas penerangan Tan Sri yang memberi kefahaman kepada kita. Walau bagaimana mungkin masih ada kekeliruan tanggapan dari kita akibat dari kurangnya penerangan sebelum ini.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment