LAPORAN SIDANG DUN SELANGOR
DUN Selangor, 26 Zulkaedah = 13 November (Jumaat):
Hari Kelima Sidang: Pagi Juma`at sidang dijalankan lebih awal setengah jam (9.30 pagi). Tiba jam 9.10 pagi, ruang parking hampir penuh. Sebagaimana pagi hari-hari lain ADUN Bangi, terus naik ke DUN membuat persediaan terakhir sebelum sidang bermula. Sidang bermula dengan menjawab soalan lisan. Pada hari ini selama tempoh satu setengah jam sebanyak 15 (50-65) soalan sempat dijawab pada hari ini antaranya menyediakan pekerjaan bagi yang dibuang kerja, cuti khas untuk wanita, penambahan tempoh milikan tanah, usahawan, rangsangan ekonomi, pencemaran sumber air, pegawai kerajaan salah laku,, PPRT, masalah gerai, sua rasa Idul Fitri, perusahaan herba, khutbah, pelancongan pendidikan, web tv Selangor, gerai makanan dan peruntukan pembangunan Luar Bandar. Daripada jawapan-jawapan ADUN Bangi sempat membuat
Soalan lisan Tambahan
Soalan 55: Pencemaran Sumber Air:
a) Tapak pelupusan sampah di Sungai Kembong Bangi telah diisytiharkan tutup, tetapi mengapa pembuangan sampah di tempat itu masih dilakukan. Aduan diterima dari penduduk di Bukit Mahkota dan Seri Putra bau busuk dari pencemaran.
b) Mengapa Sungai di Salak Tinggi, Sepang sering mengalami pencemaran menyebabkan logi air di situ sering terganggu.
Jawapan dari Exco Alam Sekitar (Y.B. Elizabeth Wong).
a) Pihak Jabatan Alam sekitar menerima aduan. Pembuangan cara haram. Alam Sekitar dan MPKj akan mengambil tindakan.
b) Sungai Sepang mengalami ammonia yang tinggi yang perlu dibersihkan menyebabkan penutupan loji. Tindakan diambil bagi membersih logi dan mempastikan air tidak tercemar.
Soalan no. 61: Khutbah Tanpa Tauliah
a) Apakah langkah-langkah diambil bagi mengatasi kekurangan mereka yang diberi tauliah yang setakat ini hanya 977 tauliah sahaja dikeluarkan, sedangkan lebih dari 2,200 surau-masjid dan banyak tempat-tempat pengajian memerlukan khatib dan guru-guru bertauliah ?
b) Bagaimanakah kedudukan tauliah dari segi praktikal, kerana orang boleh ikuti ceramah, pengajaran, khutbah dan sebagainya melalui berbagai media, khususnya letronik, bukan saja tempatan, tetapi global dan langit terbuka, bagaimanakah mechanisme kawalan JAIS ?
Jawapan oleh Y.B. Dato` Dr. Hassan Ali, Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infra-Struktur dan Kemudahan Awam.
a) Kursus dilakukan oleh KUIS bagi melahirkan khatib-khatib dan penceramah-penceramah (Tapi dapatkah memenuhi keperluan ?).
b) Tidak diberi jawapan.
Ucapan Penggolongan
Sesi Kedua Selepas Menjawab Soalan-Soalan Lisan ialah ucapan penggolongan dari Exco-Exco bagi menjawab apa yang ditimbulkan dalam ucapan ADUN-ADUN dalam membahaskan Bajet Pembangunan. Penggolongan terakhir dibuat oleh Y.A.B. Dato` Menteri Besar. Semasa penggolongan dibuat ADUN-ADUN boleh meminta penjelasan dari Exco-Exco yang sedang membuat penggolongan yang berhenti sekejap bagi memberi ruang memohon penjelasan dan menjawab, sebelum menyambung semula penggolongan. ADUN Bangi juga turut beberapa kali memohon penjelasan.
a) Memohon penjelasan dari Y.B .Dr. Halimah Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.
- Sejauhmanakah usaha dilakukan bagi meningkatkan kualiti dan prestasi Unisal dan Kuis
- Setakat ini adakah dilakukan audit dalaman dan luaran ?
Jawapan:
1. Melalui kerjasama antara universiti, mengadakan seminar dan mendedahkan tenaga pengajar dengan berbagai kursus
2. Belum dilakukan.
b) Memohon penjelasan dari Y.B. Dr. Xavier Jayakumar Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin
1. Adakah usaha mendapat tapak Sekolah Tamil di Pekan Bangi yang kini masih menumpang di atas tanah milik persendirian ?
2. Apakah sikap kerajaan Selangor mengenai sekatan terhadap ADUN-ADUN dari sekolah-sekolah kerajaan Persekutuan, termasuk sekolah Tamil ?
Jawapan:
1. Tiada komitmen di dalam jawapan
2. Semua menghadapi sekatan, termasuk Exco-Exco.
c) Memohon penjelasan dari Y.B.Rodziah Bt. Ismail Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Sains Teknologi dan Inovasi
1. Apakah pendirian Exco Kebajikan mengenai `Rumah Lindungan Persendirian seperti PERKIP di Hulu Langat
2. Apa pendapat Y.B. Exco mengenai cadangan satu perkumpulan Islam baru-baru ini mencadangkan agar mereka yang berkemampuan seperti Y.B. ADUN-ADUN menambahkan kouta perkahwinan bagi menolong ibu-ibu tunggal ?
Jawapan
- Pihak Exco memberi perhatian dan membuat kajian
- Terpulang kepada masing-masing dan DUN gegak dengan ketawa !
d) Memohon penjelasan dari Y.B.Ronnie Liu Tian Khiew Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan
- Bagaimana keputusan desakan ADUN Bangi agar ADUN-ADUN sepatutnya menjadi ahli PBT-PBT ?
- Wajarkah diadakan pilihanraya Kerajaan Tempatan dengan keadaan tidak seimbang antara penduduk kampung di luar bandar (tak diadakan pilihnraya) yang agak mundur dengan penduduk Bandar yang lebih maju ?.Tidakkah makin ketara mereka ketinggalan ?
Jawapan:
1. Masih kekal tidak dilantik di dalam majlis-majlis PBT.
2. Tiada keputusan untuk mengadakan pilihanraya Kerajaan Tempatan.
e) Ucapan Penggolongan terakhir dari Y.A.B. Dato` Menteri Besar
Tiada gangguan permohonan meminta penjelasan.
No comments:
Post a Comment