March 8, 2013

Mahasiswa Memimpin Bukan Dipimpin!

BBB, 24 Rabiul Akhir 1434 = 07 Mac 2013 (Khamis):

Antara tujuan dan harapan menyambung ke pengajian tinggi hingga ke universiti ialah mendalami ilmu bagi panduan hidup dunia-akhirat. Mahasiswa didorong membina syakhsiah dan peribadi positif - berdikari di dalam kepimpinan, inovasi dan kreatif di dalam kehidupan. Sebagai mahasiswa sulung/peneroka UKM kami belum ada contoh untuk dituruti dan tiada pembimbing untuk diikuti. Untuk makluman juga pada peringkat awal penubuhan UKM belum ada bahagian Perhubungan Pelajar dan tiada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar. Segala-galanya diurus oleh pihak pendaftar.

Suasana sebagaimana di atas benar-benar menjadikan kami berdikari. Dorongan untuk berpersatuan dan mengadakan kegiatan kemahasiswaan datang dari kami sendiri. Pada peringkat awal mendahului penubuhan PMUKM, ialah penubuhan Ahli Jawatankuasa Kolej Pertama UKM (Hanya ada satu kolej sahaja pada peringkat permulaan). Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Dewan Rendah Kolej I, UKM dipengerusikan oleh saudara Che Uda Che Nik (Ahli Parlimen Sik Kedah) dan Setiausaha Cik Rahimah Aziz. Penulis tidak terlibat sebagai AJK Kolej kerana terlibat di dalam AJK PMUKM. Namun aktif sebagai redaksi Majalah Tahunan Kolej misalnya menjadi anggota Redaksi Majalah Tahunan Kolej I, UKM 1971/72 yang dinamakan SEMESTA dan bagi keluaran kedua (1972/73) Penulis menjadi Ketua Pengarang dan Pengurus Umum. Sebagai Pengarang dan Ketua Pengarang Penulis turut menulis di dalam kedua-dua penerbitan. Kami juga berdikari di dalam mengadakan majlis-majlis kemahasiswaan, berdiskusi puisi (Ada Kelab Puisi), Sukan dan sebagainya. Perlu diingat pada masa itu belum ada lagi Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU).



Ironinya makin UKM berkembang, maka bagi keperluan pentadbiran wujudnya Bahagian Perhubungan Pelajar, bahkan wujudnya Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, tetapi nampaknya pelajar makin tersekat dan diikat. Dulu mahasiswa di bawah PMUKM lebih bebas menjalankan kegiatan kemahasiswaan, tetapi peranan mereka yang lebih bebas mau `diperkecilkan`. Mereka seolah-olah dikontrol di bawah Majlis Perwakilan Pelajar yang dikawal oleh Bahagian Perhubungan Pelajar. Contoh nyata ialah apa yang dialami oleh PMUKM sekarang. Sewajarnya pada tahap mahasiswa pelajar digalak berdikari di dalam pentadbiran dan menjalankan kegiatan-kegiatan. Mereka harus lebih bebas membuat pilihan. Pihak pentadbiran seharusnya bersifat pembantu menyediakan kemudahan bagi kegiatan mahasiswa. Mereka tidak harus campurtangan jika pemilihan mahasiswa tidak selari dengan kehendak pentadbiran dan pemerintah. Mereka seharusnya bersifat jujur, mengamalkan demokrasi dan bersifat telus.



Penulis melihat sindrom pengawalan dan tidak bersifat berdikari ini juga melarat kepada bahagian Alumni UKM. Al-maklum bahagian Alumni terletak di bawah Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang mempunyai seorang Timbalan Naib Canselor khusus bagi bahagian ini. Penulis menyangka dan seharusnya berlaku bahawa bahagian Alumni ini benar-benar dipimpin oleh seorang Ketua dan AJK dari Alumni yang bebas dalam memberi pandangan dan keputusan kepada universiti. Ketua ini seharusnya menjadi Ahli Majlis UKM yang mewakili pendapat alumni. AJK Alumni ini seharusnya dipilih dalam Mesyuarat Agung Alumni secara dwi-tahunan. AJK yang terpilih ini seharusnya menjalankan polisi dan kegiatan Alumni yang diputuskan di dalam Mesyuarat Agung dwi-tahunan.

Malang dan rasa kecewa setelah beberapa kali menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh UKM atas nama Alumni UKM, sebenarnya bukan Alumni yang anjur, manakala yang hadir beberapa kerat yang dijemput yang ada hubungan dengan majlis yang diadakan. Yang hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pengarah bahagian Alumni dan kakitangan pejabat Alumni serta mahasiswa-mahasiswa bagi mengisi ruang jangan kekosongan.
 photo 20130301_092747_7_zpsa01a6124.jpg

Mutakhir Majlis Syarahan Jemputan Alumni UKM yang Penulis berpeluang hadir ialah pada 1 Mac 2013 yang lepas bertempat di Bilik Senat UKM. Dua tokoh dijemput.

Iaitu Mr. Anthony Philip Alumni UKM lulusan bidang Microbiology yang sekarang merupakan Training Consultant di Kawasan Asia Pacific berhubung dengan Problems Solving yang menurutnya telah berjaya melatih 5,000 trainers. Pada pagi ini dia membicarakan tiga aspek: iaitu Happiness inside job, the law of attraction dan tentang habit.


 photo 20130301_104054_zpse4492611.jpg

Manakala Mr. Scott Friedman adalah Penceramah Jemputan yang bukan alumni. Beliau membicarakan sifat positif dan ceria dalam pekerjaan dengan menggunakan element Celebrate dan menggunakan Humor For A Change. Beliau bercakap berdasarkan dua buah buku yang dijual di majlis dan Penulis turut membeli kedua-dua buah buku berkenaan.


Kita tidak bertujuan untuk menilai syarahan kedua-dua tokoh berkenaan yang memang baik.

Tetapi majlis ilmu yang seumpama ini nampaknya tidak berbeza dengan majlis-majlis ilmu yang dianjur seperti oleh sebuah fakulti, jabatan atau institute. Apa yang nak ditekankan imej Alumni yang menganjurkan majlis tidak menonjol dan identik. Ia sebenarnya majlis yang dianjur universiti. Persatuan Alumni sebenarnya bagaikan tiada. Bilakah sebenarnya akan lahir Alumni yang benar-benar berfungsi sebagai Persatuan Alumni yang memberi khidmat dan sama mengangkat nama UKM ke persada antarabangsa?

Silapnya selama ini, ialah kerana universiti ada bersifat menekan dan tidak memberi ruang kepimpinan secara berdikari kepada mahasiswa/i, lantaran itu UKM kering dari kepimpinan sebenar berdikari pada peringkat mahasiswa dan alumni.

Sekian.

No comments:

Post a Comment