March 20, 2013

Mengambialih Tugas MPKj ? Masalah Sampah Masih Berterusan !

Bukit Mewah, 07 Jamadil Awwal 1434 = 19 Mac 2013 (Selasa):



Masalah sampah masih berterusan. Ianya masih lagi menjadi isu, misalnya isu ini masih lagi dibangkitkan dalam Pertemuan Mingguan dengan Menteri Besar. Walaupun Exco berkenaan Kerajaan Tempatan memberi jawapan cuba meyakinkan, bahawa tindakan diambil, tetapi isu ini tetap berterusan, menandakan ada masalah yang tidak diatasi oleh pihak PBT-PBT. Keadaan yang sama berlaku di kawasan MPKj. Tidak tahan dengan aduan yang tidak diambil tindakan dan sakit memandang sampah-sampah yang bertimbun, Adun terpaksa berunding dengan pihak yang dapat mengangkat sampah dengan perbelanjaan dari peruntukan Adun. Tindakan sedemikian terpaksa dilakukan contoh seperti dilakukan di Kajang Putra, Jalan 1/3 Bandar Baru Bangi dan beberapa tempat lagi.



Hari ini setelah menerima aduan berkali-kali dari penduduk Seksyen 6 Bukit Mewah, Apartment Senja, Seksyen 9 dan Apartment-Apartment berdekatan dengan Seksyen 9, maka Adun ambil keputusan mengeluarkan peruntukan bagi membersih longgokan-longgokan sampah di tempat-tempat berkenaan. Hari ini pihak kontrektor berurusan berjanji untuk angkat sampah, tapi oleh kerana pada pagi ini Adun mempunyai tugas di Shah Alam (interview pemohon biasiswa/pinjaman Kerajaan Negeri Selangor), Adun amanahkan kepada saudara Shahrum Abdullah Pegawai di Pejabat Khidmat Masyarakat Adun untuk memantau pengangkutan sampah dari lokasi-lokasi pilihan. Adun juga membuat hubungan dari Shah Alam mengenai urusan pengangkatan sampah berkenaan.



Setelah pulang dari tugas di Shah Alam, maka pada petang hari ini Adun turun ke lokasi pengambilan sampah dan berkesempatan melihat pengambilan terakhir sampah yang sedang dilakukan. Adun sempat bertemu dengan kontrektor pengambilan sampah, iaitu En. Raja Raman yang menggunakan Syarikat Pelupusan Sampah berpengalaman. Adun dimaklumkan sebanyak 7 trip lori sampah diangkat (guna dua lori dan satu buldozer), iaitu:

1) Seksyen 6, Bukit Mewah =  5 lori
2) Apartment Senja = 1 lori
3) Apartment Fasa 7 = 1 lori


 


Selepas melihat urusan mengangkat sampah di Apartment Senja, Adun bersama saudara Azizi bergerak melihat tempat penggangkatan sampah di Apartment Fasa 7 yang sudah dibersihkan. Kemudian bergerak ke Seksyen 6 Bukit Mewah dan melihat tempat yang telah dibersihkan. Adun berpuashati dengan kerja-kerja pembersihan, tetapi berharap tempat-tempat ini akan diteruskan oleh pihak kontrektor MPKj mengambil sampah-sampah di tempat-tempat berkenaan. Adun berharap Adun tidak menjadi Pengurus Sampah berterusan! Pihak-pihak berkenaan diharap peka dan mengambil tanggungjawab yang diamanahkan.

Sekian.

1 comment: