March 19, 2013

RM2,665,000 Sumbangan Disampaikan Kepada SRJK(T) Fasa Ke 2 Tahun 2013

Shah Alam, 03 Jamadil Awal 1434 = 15 Mac 2013 (Jumaat):


Setelah menyampaikan bantuan kepada SRJK(T) bagi Fasa Pertama awal 2013 melalui Adun-Adun bagi Dun masing-masing, maka pada hari ini semua Pengerusi PIBG/Guru Besar SRJK(T) seluruh Selangor dijemput hadir ke Dewan Jubli, Perak, Bangunan SSAAS, Shah Alam jam 8.30 malam bagi menerima bantuan kali kedua 2013.

Bagi upacara penyampaian cek seharga RM2,665,000 bagi kali kedua ini Y.A.B.Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim dijemput hadir bagi menyampaikan sumbangan di atas. Turut datang meraikan Majlis penyerahan cek kepada Pengerusi/Guru Besar SRJK(T), oleh Dato` Menteri Besar ialah YB Dr. Xavier Jayakumar Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, YB Dr. Halimah binti Ali Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, YB Ronnie Liu Exco Kerajaan Tempatan, Kajian Dan Penyelidikan, YB. Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, YB Tuan Philip Tan Choon Adun Teluk Datuk, YB Tuan Khasim Bin Abdul Aziz Adun Lembah Jaya, YB. Tuan Lee Kim Sim Adun Kajang, YB. Tuan Muthiah Adun Bukit Melawati, YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, YB. Charles Santiago Ahli Parlimen Klang, YB Ravi Ahli Parlimen Port Dickson dan YB. Senator Chandra Mohan.


Majlis yang didominasi orang India itu sesuai dengan peruntukan disampaikan kepada Sekolah-sekolah Tamil bermula dengan jamuan dan tayangan-tayangan tentang kejayaan Pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor kemudian dituruti dengan ucapan-ucapan. YAB Dato` Menteri Besar menegaskan bahawa Pakatan Rakyat telah mengemukakan kumpulan wakil rakyat terbaik dan membuktikan pemerintahan negeri terbaik sebagaimana dibuktikan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Tidak terjadi salah laku di kalangan wakil-wakil rakyat Pakatan dan tidak ada yang terlibat dengan rasuah. Kata Menteri Besar, ``Kita benar-benar menguruskan kewangan rakyat dengan telus dan amanah.`` Dato` Menteri Besar menempelak kata-kata Muhyiddin Yassin, bahawa kita gagal ? ``Gagal apa ?`` tanya Menteri Besar. Katanya lagi, ``Kita bina Sekolah lebih murah dari Sekolah yang dibina Kementerian Pelajaran, tapi lebih baik dari segi kualiti. Contoh Sekolah di Bukit Jelutung.`` Tambah YAB Dato` Menteri Besar, ``Penanaman Modal dari Dalam dan Luar Negeri bertambah dan reserve negeri makin bertambah, gagal apa ?`` ulangnya lagi.

Sebelum daripada itu YB. Dr. Halimah berucap, ``Kita membuat keputusan membantu sekolah-sekolah Tamil dan Cina sehingga kini berjumlah RM20 juta. Terbukti pencapaian murid-murid makin meningkat. Ramai daripada mereka mencapai 8A dan 7A. Tahniah kepada murid-murid, guru-guru dan Sekolah-sekolah.

YB. Dr. Xavier berucap menyatakan, ``Selama 5 tahun kita buktikan kita prihatin terhadap Sekolah-sekolah Tamil. Beri mandate kepada kita, Kita akan lakukan lebih baik lagi dari apa yang telah kita lakukan selama ini.``

Dalam majlis pada malam itu, ``Penyampaian anugerah pencapaian cemerlang UPSR & PMR disampaikan oleh YAB Dato` Menteri Besar kepada Pelajar-Pelajar Cemerlang dari berbagai Sekolah Tamil, sebagai bukti dengan insentif diberi Sekolah-sekolah berkenaan makin meningkat dari segi pencapaian – khususnya dalam bidang akademik.


Berikutnya YAB. Dato` Menteri Besar menyampaikan cek-cek kepada semua Sekolah Tamil di Selangor yang berjumlah 88 buah Sekolah dengan jumlah peruntukan bagi semuanya berjumlah RM2,665,000.

Jumlah bantuan bagi setiap Sekolah tidak sama, banyak sedikit bergantung kepada jumlah murid dan kewajaran permohonan. Misalnya untuk membaiki bangunan, kerosakan dan sebagainya lebih banyak peruntukan diberi dari permohonan biasa. Justeru kita dapati ada Sekolah yang tinggi jumlah yang diberi. Misalnya Sekolah Tamil Sungai Manggis, Teluik Datuk, Simpang Morib dan Jugra setiap Sekolah diberi RM85,000, yang lebih rendah daripada itu Simpang Lima RM60,000, Jalan Meru dan Semenyih RM50,000. Jumlah normal antara RM20,00 hingga RM30,000 dan paling minimum ialah RM10,000.

Majlis pada malam ini diserikan juga dengan pertunjukan kebudayaan India.

Sekian.

No comments:

Post a Comment