March 3, 2013

Merasmi Forum Adab Dalam Pelupusan Al-Quran Di KUIS

KUIS, 17 Rabiul Akhir 1434 = 27 Februari 2013 (Rabu):


Forum di atas dianjurkan oleh Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dan Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Subjek Pengantar Etika/Business Ethics), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bertempat di Auditorium Pentadbiran KUIS. Hadir ke Forum sebagai Perasmi ialah YB. Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Al-Fadhil Ustaz Imran Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar KUIS, Puan Salina Mohammed Rashid Pensyarah Business Ethics, saudara Ahmad Mu`adz bin Raslan Pengarah Program, tenaga-tenaga akademik dan pelajar-pelajar. Ahli Panel Forum terdiri dari Ustaz Khairul Anwar Pensyarah Al-Quran dan As-Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Datin Sharifah Khasif Fadzilah bt Syed Mohd Badiuzzaman Tokoh Tilawah Al-Quran terkenal. Objektif forum ialah menanamkan kesedaran kepada pelajar tentang tanggungjawab sebagai umat Islam dalam memartabatkan Islam, mendedahkan kepada pelajar tentang kaedah tepat dalam melupuskan Kitab Suci Al-Quran dan memupuk nilai-nilai Syariat Islam di kalangan pelajar.


Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan dari Pengerusi Majlis diikuti dengan Nyanyian Asmaul Husna dan Puncaknya Pembacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran.


Dalam ucapan Perasmian Adun menyatakan antaranya Al-Quran adalah Kitab Suci yang merupakan firman Allah yang menjadi sumber Keislaman dan Perlembagaan Umat Islam. Banyak ayat-ayat Al-Quran yang merujuk tentang Al-Quran. Antaranya bermaksud:

Dia adalah Al-Quran Yang Tertinggi Kemuliaannya, terpelihara sebaik-baiknya di Lauh Mahfuz (Al-Buruj: 21-22)
FirmanNya lagi bermaksud:
Diturunkan Al-Kitab (Al-Quran) dari Tuhan Pemilik sekalian alam (As-Sajdah: 2)
Dan firmanNya lagi bermaksud:
Tidak menyentuhnya melainkan oleh mereka yang suci (Al-Waqiah: 79).

Kesucian Al-Quran ditegaskan agar tidak menyentuhnya oleh yang tidak suci (perlu ada wudhu`). Bila menggunanya hendaklah secara terhormat dengan memberi kedudukan yang lebih tinggi dan tidak meletakkannya di sebarang tempat – jangan di tempat yang dianggap menghina. Menghormati AL-Quran, bila membacanya seeloknya menghadap Qiblat. Lebih dari itu bila membacanya hendaklah dengan cara betul menurut hukum tajwid. Puncak dari itu hendaklah mempelajari Al-Quran dan mengamalkannya di dalam kehidupan.


Al-Quran adalah secara tradisi ialah Kitab bercetak di atas kertas yang tersusun yang dikenali dengan mushaf – Mushaf terkenal ialah Mushaf Uthmani. Mushaf yang diguna secara berterusan dan berlamaan boleh membawa kepada kerosakan dan akhirnya tidak boleh diguna. Di sini adalah sampainya persoalan – Bagaimana melupuskannya. Pendapat biasa ialah dengan membakarnya dan menanam debu ditempat terhormat dan ada juga yang berpendapat debunya dibuang di laut.

Adun menyebut satu usaha dilakukan di Masjid Sungai Ramal Luar sejak 2009 dengan mendirikan Mini Insinarator bagi pelupusan Al-Quran dengan memakan kos RM20,000 –antaranya dengan sebahagian dari peruntukan Adun. Di dalam insinarator bahan mushaf lama dibakar hingga menjadi debu yang hancur. Debu ini disalirkan dengan air ke himpunan yang akan dibuang ke tempat yang terhormat termasuk di laut. Tempat ini memberi khidmat kepada mana-mana yang melupuskan naskhah dengan sedikit bayaran perkhidmatan.


Apa yang mahu ditimbulkan oleh Adun ialah bahawa tidak semua Ayat Suci dalam bentuk naskhah kertas. Adun timbulkan dan diharap dapat dibicarakan bagaimana melupuskan ayat Al-Quran ditulis dikaca, aluminium, plastic. Begitu juga Adun menyebut sekarang ayat Al-Quran di dalam chip telefon. Bagaimana menghapuskannya, bagaimana pula ianya boleh dibawa atau tidak oleh yang berhadas terutama ke toilet dan sebagainya.


Dalam pembicaraan dua panel Datin Sharifah Khasif tidak membicarakan tentang Pelupusan Al-Quran. Sebaliknya beliau melagukan Al-Quran dan menekankan dari segi makhraj dan beliau mengulang pembacaan surah Al-Ikhlas dengan membaca menurut Qiraat 7. Beberapa contoh lain juga dibawa oleh Datin Sharifah. Panel Kedua Ustaz Khairul Anwar membicarakan sejarah pengumpulan Al-Quran pada zaman Khalifah Sayyiduna Uthman Ibn Affan Khalifah Ketiga Dalam Islam. Naskhah susunan pada zaman Khalifah Uthman ini dikenali dengan Mushaf Uthmani. Naskhah sahih dan rasmi digunakan - naskhah Resam Uthmani. Beliau juga membicarakan bagaimana Uthman mengekal Mushaf Uthman dan minta hapus yang lain. Menurutnya percetakan Al-Quran terbesar ialah di Madinah. Beliau menyebut untuk melupuskan Al-Quran yang telah lusuh dan menghimpunkannya sebagaimana dilakukan di Mujamma` Malik Fahd di Madinah ialah dengan mengadakan peti untuk dimasukkan Al-Quran untuk dipungut oleh pihak berkuasa. Cara melupus ialah dengan membakar dan debunya hendaklah dihimpun dan lupuskannya di tempat terhormat. Adapun yang pada logam perlu dikemek dan dilebur dan membuangnya di tempat seperti di laut.


Walau bagaimana soal Al-Quran di dalam bentuk video, chip atau rakaman dan pembawaan di dalam telefon tidak dibicarakan dan tidak berjawab. Sebenarnya persoalan semasa ini yang orang ramai lakukan perlu kepada penerangan dan jawapan yang nampaknya tidak berjawab. Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati.


Sekian.

No comments:

Post a Comment